Seorang wanita Rusia dengan penyakit unik telah menua dengan sangat cepat sejak dia dilahirkan. Ketika dia masih bayi, ibunya sudah mula dapat memerhatikan keadaannya yang menua setiap hari. Ayahnya pula menjadi sangat takut melihat keadaan muka anak yang berkedut-kedut sehingga sanggup meninggalkan kedua-dua ibu dan anak.

Walaupun mendapat ejekan "nenek tua" semasa membesar, dia belajar menjadi seorang yang positif dan tidak mengendahkan kata-kata orang. Sikap positif itulah yang telah berjaya mengubah hidup Katja Nezhentseva.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika Katja dilahirkan lebih dua dekad yang lalu, ibunya mula mengesan sesuatu yang tidak kena dengannya. Dia mula mempunyai kedutan walaupun baru berusia beberapa bulan. Semua kedutan itu menjadi semakin jelas kelihatan tahun demi tahun.

zaman kanak kanak katja diejek menjadi nenek bermain dengan budak kecil

Tidak lama selepas itu, Katja telah dikenal pasti menghidapi gangguan genetik yang sangat jarang berlaku iaitu progeria. Progeria membuatkan tubuh seseorang menua lapan kali lebih pantas daripada biasa. Hanya satu dalam setiap lapan juta bayi yang menghidapi penyakit ini. Buat masa sekarang, tidak ada rawatan atau ubat yang mampu membantu pesakit dan kebiasaannya, penghidap hanya dapat bertahan hidup tidak melebihi usia 13-14 tahun.

Ayah Katja tidak tahan melihat wajah anaknya dan memilih untuk meninggalkan keluarga itu. Nasib masih menyebelahi Katja kerana ibunya, Irina Nezhentseva menyayangi Katja seadanya dengan penuh kasih sayang. Semasa membesar, Katja tidak menyedari hakikat yang dia adalah berbeza dengan kanak-kanak lain sehinggalah dia mula pergi ke sekolah.

zaman kanak kanak katja diejek menjadi nenek tua

Semua kanak-kanak di kawasan kejiranan sentiasa mempersendakan dirinya. "Hey nenek tua, kenapa awak memakai skirt mini? Kenapa awak bermain dengan budak kecil?" Ketika itu Katja sedar yang tidak ada seorang pun yang suka berkawan dengannya. Apabila sesiapa melihat wajah Katja, mereka serta-merta berasa takut.

Katja mula terfikir, jika tidak ada orang yang menyayanginya, dia sendiri perlu menerima diri seadanya dan belajar menyayangi diri sendiri. Menurutnya, di dalam dunia ini, mungkin hanya ada 20 orang sahaja yang senasib dengannya sekali gus menjadikan Katja seorang yang unik dan menarik. Sikap inilah yang menjadikan wanita berusia 23 tahun ini lebih yakin dan berfikiran positif.

katja wanita muda yang kelihatan tua seperti nenek

Tambahan pula, Katja berkenalan dengan seorang lelaki bernama Denis yang telah menghubunginya secara tidak sengaja. Dia tersilap mendail nombor Katja apabila ingin membuat satu panggilan telefon. Tidak lama selepas itu, mereka pun jatuh cinta dan membuat keputusan untuk berkahwin serta membina keluarga. Katja hamil sesudah majlis perkahwinan dan 9 bulan kemudian, lahirlah seorang anak lelaki yang sihat.

usia wanita ini baru 22 tahun tapi kelihatan seperti seorang nenek

Menurut Katja, dia berasa sangat bangga dan lega kerana mempunyai keyakinan untuk melalui liku-liku kehidupan. Walaupun berwajah seperti seorang warga emas, dia memiliki seorang suami yang menyayanginya dan dikurniakan seorang anak comel yang sihat. Tiada apa yang dia inginkan lebih daripada itu.

Mungkin penghidap penyakit ini adalah makna sebenar "tua sebelum usia". Apa-apapun, tak baik mengejek dan memandang hina pada orang lain. Semua ciptaan Allah itu indah dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Sumber: Youtube




Hakcipta iluminasi.com (2017)