Mutiara merupakan antara perhiasan kecantikan bagi seorang wanita. Rupanya yang cantik dan seakan-akan bercahaya menjadikannya sebagai bahan yang sesuai untuk dibuat aksesori perhiasan wanita seperti rantai dan gelang. Malah, terdapat juga produk kosmetik yang turut menggunakan mutiara sebagai salah satu bahan dalam produk mereka.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, secara umumnya terdapat dua jenis mutiara iaitu mutiara asli yang diperolehi secara semulajadi dan mutiara tiruan. Mutiara asli semestinya lebih cantik dan mahal kerana kesukaran mendapatkannya. Mutiara yang asli ini diperolehi daripada tiram yang dikutip di dasar laut.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda tertanya-tanya, bagaimanakah tiram mampu menghasilkan mutiara yang sangat cantik ini?
Tindakbalas sebagai ancaman daripada luar
Apabila sesuatu bendasing seperti parasit atau pasir dari luar masuk ke dalam cengkerang tiram, tiram akan menganggapnya sebagai sebuah ancaman. Sentuhan bendasing daripada luar ini dengan organ dalaman tiram boleh merosakkan organ dalam tiram.
Oleh itu, sebagai tindakbalas semulajadi, tiram akan menghasilkan sejenis lapisan yang dipanggil nacre yang akan menyelaputi bendasing tersebut. Nacre merupakan sejenis cecair yang terdiri daripada kalsium karbonat dalam bentuk mineral aragonite dan calcite. Ianya juga terdiri daripada protein conchin dan perlucin yang akan menghasilkan sejenis bahan dikenali sebagai conchiolin yang berfungsi sebagai gam untuk menyatukan lapisan ini.
Sementara itu, mineral aragonite pula mempunyai struktur kristal. Gabungan antara mineral aragonite dan conchiolin yang berliang ini akan menghasilkan mutiara yang seakan-akan bercahaya. Lama kelamaan, lapisan nacre ini akan semakin menebal menyelaputi bendasing dan terjadilah pembentukan mutiara.
Sekiranya ada membeli mutiara yang asli, elakkannya daripada terkena cecair berasid. Kalsium karbonat, iaitu bahan utama mutiara sangat mudah dilarutkan oleh asid lemah. Sebagai contoh, sekiranya mutiara asli diletakkan di dalam cuka, kalsium karbonat akan bertindakbalas dengan cuka tersebut dan menghasilkan kalsium acetate dan karbon dioksida. Dalam kata lain, mutiara tersebut akan dilarutkan oleh cuka tersebut.
Walaupun kebanyakan mutiara yang dijual adalah berbentuk sfera, realitinya tidak semua mutiara yang dihasilkan secara semulajadi ini berbentuk sfera. Mutiara yang berbentuk sfera ini biasanya dianggap mempunyai nilai lebih tinggi berbanding mutiara yang berbentuk bujur dan tidak sekata.
Penghasilan mutiara tiruan
Mutiara yang asli sememangnya dijual pada harga yang lebih mahal kerana kesukaran mendapatkannya. Walau bagaimanapun, kerana permintaan yang tinggi terhadap mutiara, banyak mutiara tiruan yang telah dihasilkan dan dijual secara berleluasa.
Kebiasaannya, mutiara tiruan dihasilkan dengan menyelaputi lapisan luar manik yang diperbuat daripada gelas dengan pelarut organik yang mempunyai ciri-ciri berkilat. Maka, tidak hairanlah mutiara tiruan permukaannya sangat licin dan seakan-akan bercahaya.
Di Kota Kinabalu, terdapat sebuah kawasan yang popular menjual mutiara yang dikenali sebagai Pasar Filipina. Apabila anda ke kedai untuk membeli mutiara, pastikan anda mengetahui cara mengenalpasti antara mutiara asli dan tiruan. Elakkan daripada menjadi mangsa penjual yang menjual mutiara tiruan pada harga mutiara asli.
Untuk mengenalpasti mutiara asli adalah mudah. Ambil dua ketul mutiara dan gosokkannya antara satu sama lain. Apabila digosok antara satu sama, mutiara yang asli akan menghasilkan serbuk putih. Serbuk ini terhasil kerana lapisan nacre yang berliang dan bergerigi ini akan menghasilkan habuk apabila digesel antara satu sama lain.
Kredit: