Di kalangan ahli masyarakat kita, masih banyak kekeliruan berlegar-legar berkenaan prosedur sebenar tangkapan khalwat.
Kekeliruan ini akhirnya mewujudkan pelbagai salah tanggapan, sehinggakan ada yang menuduh pegawai penguatkuasa dari jabatan agama memang meronda ke lokasi-lokasi tertentu setiap hari setiap masa; hanya untuk menangkap pasangan yang sedang melakukan maksiat.
BESARKAN TEKS A- A+
Tangkapan secara operasi bersepadu
Bagaimana sesebuah kes khalwat boleh berjalan operasinya? Ada dua cara bagaimana operasi penangkapan khalwat boleh bermula.
Yang pertama adalah operasi bersepadu yang dijalankan, atas arahan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri masing-masing. Jika anda membaca laporan khalwat yang berjaya menangkap banyak pasangan dalam satu-satu masa, tangkapan sebegitu adalah berlandaskan operasi sebegini.
Operasi bersepadu yang melibatkan pihak-pihak berkuasa termasuklah wakil majlis perbandaran atau dewan bandaraya, pegawai penguatkuasa agama, pegawai polis serta wakil Jabatan Agama Islam negeri biasanya mensasarkan lokasi dan tarikh tertentu, dianjur bagi memastikan tiada kegiatan maksiat berlaku.
Kalau anda dengar ada hotel atau rumah tumpangan kena gempur sehingga tertangkap 4 ke 5 pasangan dalam satu-satu masa, inilah hasil operasi sebegini.
Tangkapan akibat aduan diterima
Dalam kes-kes lebih terpencil yang biasanya hanya melibatkan satu pasangan, operasi serbuan dan tangkapan khalwat akan bermula hasil daripada maklumat yang disampaikan kepada badan terlibat sama ada secara bertulis ataupun lisan.
Pemberi maklumat atau 'tukang report' yang ingin melaporkan kejadian khalwat, boleh menghubungi pihak berkuasa lebih awal, mengisi borang dan mengisytiharkan dirinya sebagai pemberi maklumat melalui penurunan tandatangan.
Dalam pengesahan, pemberi maklumat haruslah mendeklarasikan identiti dirinya, lokasi di mana kejadian bakal berlaku lebih baik dalam bentuk alamat lengkap, identiti orang yang disyaki serta siapa saja yang dirasakan terlibat dan apa saja bentuk maklumat yang dirasakan membantu memudahkan serbuan.
Semua maklumat yang diterima kemudiannya membawa kepada pembentukan operasi tangkapan dan bergantung sama ada tertuduh yang dikatakan berkhalwat berjaya ditangkap atau tidak.
Seandainya dapat dicekup, prosedurnya selepas itu lebih mudah. Seandainya dikategorikan sebagai tak boleh tangkap atau gagal diserbu, pegawai penyiasat berhak untuk menentukan sama ada mahu meneruskan siasatan atau tidak, bergantung kepada kemunasabahan kes yang didakwa berlaku.
Katakanlah siasatan dilakukan mendapati memang ada bukti kukuh khalwat berlaku tanpa tangkapan berjaya dilakukan, orang yang disyaki boleh dikenakan waran bagi membantu siasatan.
Siapa yang boleh menangkap khalwat?
Dalam internet, popular perkongsian berkenaan 'operasi serbu' pasangan curang secara tidak rasmi, di mana individu meminta tolong saudara, jiran atau kenalan untuk membantu menangkap pasangannya yang dirasakan melakukan maksiat.
Berada dalam situasi sebegini memang getir, kerana silap-silap ada yang kena belasah akibat rasa amarah yang tidak terhingga melihat kesetiaan diri dikhianati.
Realitinya, marah-marah macam mana pun seseorang, sebarang bentuk tangkapan sebegini tidak sah di sisi undang-undang kerana tiada kehadiran individu yang ditauliahkan atau ada kuasa melakukan tangkapan.
Dalam peringkat paling bawah, hanya seorang pegawai masjid yang mempunyai tauliah majlis agama negeri dibenarkan melakukan penangkapan tanpa memerlukan waran, seandainya dia menerima laporan khalwat berlaku dalam kariahnya.
Ini bermakna seandainya anda ada mengesyaki pasangan anda telah berlaku curang dan anda ingin menangkap dia secara terang-terangan tetapi bimbang masa tidak cukup untuk serbuan dilakukan secara lebih formal, dapatkan bantuan pegawai masjid sebelum melakukan tangkapan.
Selepas tangkapan berjaya (harapnya), pegawai masjid itu akan menyerahkan pihak yang disyaki kepada pegawai penguatkuasa untuk penangkapan semula.
Apa yang kita tidak mahu berlaku terjadinya kes di mana serbuan dan tangkapan berjaya dilakukan. Namun akhirnya yang menangkap itu ke penjara kerana telah mencederakan orang yang disyaki serta pasangan secara membabi buta.