Vaksin telah lama dianggap sebagai salah satu pencapaian kesihatan awam yang terhebat oleh manusia.
Ia dihasilkan untuk tujuan melindungi kita dari jangkitan mikroba virus atau bakteria.
Dengan penghasilan vaksin, beratus-ratus juta penyakit dan kematian telah berjaya dicegah terutamanya dalam pembasmian cacar dan mengurangkan jangkitan polio serta campak dengan ketara.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, proses penghasilan vaksin boleh memakan masa sehingga 2 tahun, dari mula hinggalah selesai.
Terdapat pelbagai jenis vaksin pada ketika ini dan masing-masing memerlukan proses yang berbeza untuk dihasilkan.
1. Melemahkan virus
Kaedah ini digunakan untuk melemahkan virus-virus, sekaligus membuatkan proses pembiakannya di dalam badan menjadi sangat rendah.
Biasanya badan kita akan terkena jangkitan penyakit apabila virus-virus membiak berkali-kali ganda di dalam badan.
Dari segi perbandingan, virus semula jadi membiak beribu-ribu kali ganda ketika jangkitan berlaku manakala virus vaksin yang dilemahkan ini biasanya membiak kurang daripada 20 kali sahaja.
Dan oleh kerana virus-virus vaksin tidak membiak dengan begitu banyak, ianya tidak akan menyebabkan penyakit.
Malah, virus-virus vaksin membiak dengan begitu baik sehinggakan menghasilkan "sel-sel memori B", yang melindungi tubuh badan daripada jangkitan pada masa akan datang.
Kelebihan virus hidup yang dilemahkan ini adalah satu atau dua dos sahaja sudah dapat memberikan imuniti sepanjang hayat.
Namun, ia mempunyai kekurangan di mana ia biasanya tidak dapat diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit kanser atau AIDS.
Vaksin campak, beguk, campak Jerman (rubela), rotavirus, polio mulut, cacar air (varicella) dan vaksin influenza (versi intranasal) dibuat dengan cara ini.
2. Menyahaktifkan virus
Vaksin virus nyahaktif dihasilkan dengan menyahaktifkan atau membunuh virus sepenuhnya menggunakan bahan kimia.
Dengan membunuh virus, ia mustahil untuk membiak atau menyebabkan penyakit.
Antara vaksin yang dihasilkan menggunakan teknik ini adalah vaksin polio, hepatitis A, influenza dan rabies (anjing gila).
Disebabkan virus masih dapat "dilihat" oleh badan, sel-sel sistem imun yang melindungi badan daripada penyakit akan terhasil.
Terdapat dua kelebihan menggunakan teknik iaitu:
- Vaksin ini tidak akan menyebabkan pesakit mengalami penyakit yang dicegahnya walaupun secara ringan
- Vaksin ini dapat diberikan kepada pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah
Walau bagaimanapun, kekurangan kaedah penghasilan vaksin ini adalah ia biasanya memerlukan beberapa dos untuk mencapai tahap imuniti.
3. Menggunakan sebahagian daripada virus
Menggunakan kaedah ini, hanya sebahagian daripada virus akan dihapuskan dan digunakan sebagai vaksin.
Vaksin ini terdiri daripada protein yang berada di permukaan virus.
Strategi ini boleh digunakan apabila tindak balas imun terhadap satu bahagian daripada virus itu bertanggungjawab ke atas perlindungan terhadap penyakit.
Vaksin ini boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan imuniti untuk tempoh yang lama dicapai selepas dua dos.
Vaksin hepatitis B, kayap dan human papillomavirus (HPV) dihasilkan menggunakan kaedah ini.
4. Menggunakan sebahagian daripada bakteria
Sesetengah bakteria menyebabkan penyakit dengan menghasilkan protein berbahaya yang dikenali sebagai toksin.
Beberapa jenis vaksin dihasilkan dengan mengambil toksin dan menyahaktifkannya menggunakan bahan kimia.
Toksin yang dinyahaktifkan dikenali sebagai toksoid.
Dengan menyahaktifkan toksin, ia tidak lagi dapat menyebabkan penyakit.
Vaksin yang dihasilkan menggunakan kaedah ini termasuklah difteria, tetanus dan pertussis.
Satu lagi strategi untuk menghasilkan vaksin bakteria adalah dengan menggunakan sebahagian daripada salutan gula atau polisakarida dari bakteria itu.
Perlindungan terhadap jangkitan daripada sesetengah bakteria adalah berdasarkan imuniti terhadap salutan gula ini dan bukannya keseluruhan bakteria tersebut.
Walau bagaimanapun, disebabkan kanak-kanak tidak menghasilkan tindak balas imun yang begitu baik terhadap salutan gula ini sahaja, salutan ini akan terhubung dengan protein yang tidak berbahaya dan dikenali sebagai vaksin "konjugasi polisakarida".
Antara vaksin yang dihasilkan dengan cara ini adalah Haemophilus influenzae jenis B atau Hib, pneumococcal dan sesetengah vaksin meningococcal.
Sama seperti vaksin virus nyahaktif, vaksin bakteria boleh diberikan kepada pesakit dengan sistem imun yang lemah, tetapi ia biasanya memerlukan beberapa dos untuk menghasilkan imuniti yang mencukupi.
Rujukan: