Bagi peminat sukan bola sepak, peluang mengunjungi lokasi-lokasi stadium kelab yang diikuti mereka merupakan satu pengalaman yang diimpikan ramai.

Stadium gergasi yang beridentiti unik serta menyimpan 1001 kisah dan sejarah, merupakan simbol paling ikonik dalam sejarah sesebuah kelab bola sepak, termasuklah nama-nama stadium yang membangkitkan semangat pemain serta mengundang gerun mereka yang bertandang; disebabkan legasi di sebalik nama tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah sejarah ringkas lima stadium yang kami rasakan menarik untuk dibentangkan kepada anda.

1. Santiago Bernabeu

santiago barnebeu real madris stadium

Dibuka pada tahun 1947, stadium terkenal yang digunakan kelab Sepanyol, Real Madrid sering menjadi impian ramai pemain profesional untuk berkesempatan beraksi di padangnya.

Kini stadium ini mempunyai kapasiti pada tahap 85,454 tempat duduk selepas dua kali proses renovasi dilakukan. Santiago Bernabeu mengambil nama bekas pemain Real Madrid, Santiago Bernabeu yang beraksi sebagai penyerang sebelum naik menjadi pengurus kelab itu, dalam karier panjang dari tahun 1911 sehinggalah tahun 1927.

Tamat perang saudara Sepanyol mengakibatkan Real Madrid mengalami masalah pengurusan, sebelum Bernabeu dilantik sebagai presiden pada tahun 1943.

Dia memulakan rancangan jangka masa panjang menstrukturkan semula kelab serta pembinaan stadium baru mereka.

New Chamartin Stadium dibuka pada tahun 1947, sebelum jasa Bernabeu memulihkan Real Madrid diabadikan dengan pertukaran nama stadium itu kepada Estadio Santiago Bernabéu, pada tahun 1955.

2. Camp Nou

asal usul nama stadum terkenal dunia

Kapasiti Camp Nou pernah mencecah 120,000 sebelum renovasi dijalankan bagi membolehkan semua penonton duduk, mengurangkan kapasitinya 'hanya' kepada 99,354 orang.

Walaupun dengan penurunan itu, Camp Nou yang menjadi rumah kelab Sepanyol, Barcelona tetap adalah stadium terbesar di Eropah sehingga kini.

Kisah bagaimana stadium ini mendapat namanya agak lucu, kerana namanya muncul secara tidak sengaja.

Pada awalnya stadium ini dirancang untuk dinamakan sebagai Stadium Joan Gamper sempena nama pengasas kelab Barcelona dari Switzerland, sebelum pengurusan kelab memilih untuk menamakannya sebagai 'Estadio del FC Barcelona' atau...Stadium Kelab Barcelona. Hambar bukan?

Nama itu jarang digunakan, sebaliknya istilah 'nou camp' atau 'camp nou' yang digunakan bagi merujuk kepada 'padang baru yang dibuka', bagi menggantikan stadium lama mereka mula popular.

Sejak pembukaannya pada tahun 1957, nama stadium itu bertukar-tukar di antara 'Camp Nou' atau 'Nou Camp', sebelum undian pada tahun 2001 menamakan stadium itu sebagai 'Camp Nou' secara rasmi - menoktahkan penggunaan nama 'Estadio del FC Barcelona' dan 'Nou Camp' selamanya.

3. Old Trafford

old trafford football ground

Stadium kelab bola sepak England, Manchester United mempunyai gelaran yang sangat terkenal di seluruh dunia sebagai 'Theatre of Dreams.'

Dikenali dengan nama rasmi Old Traffod sejak pembukaannya pada tahun 1910, stadium ini mempunyai kapasiti 74,140 orang menjadikannya stadium kelab terbesar di England.

Old Trafford dinamakan sempena kawasan di mana stadium itu dibina serta berkongsi nama dengan sebuah lagi stadium sukan lain, iaitu Lapangan Kriket Old Trafford.

Sejak abad ke 11, sebuah keluarga bangsawan bernama de Trafford menduduki kawasan tersebut dan membina sebuah rumah agam yang dinamakan Trafford Hall.

Selepas perpindahan pewaris keluarga itu ke Trafford Hall baru sekitar abad ke 17, rumah asal mereka mula dirujuk sebagai 'Old' Trafford Hall.

Masyarakat setempat mula merujuk kawasan sekitarnya sebagai Old Trafford, sebagai nama lokasi utama kawasan tersebut yang akhirnya kekal sehingga ke hari ini.

4. Stade Velodrome

stade velodrome stadium outside photo

Salah satu perkara yang membingungkan penulis berkait dengan nama stadium kelab Marseille di Perancis; yang dikenali sebagai Stade Velodrome.

Stadium bola sepak yang mempunyai kapasiti 67,000 orang ini dinamakan sempena velodrom perlumbaan basikal. Kenapa ya?

Sejarahnya : seperti kebanyakan stadium di Perancis yang dibina beberapa dekad dahulu, stadium dibangunkan untuk pelbagai kegunaan untuk mampu menjadi tuan rumah kepada acara olahraga, bola sepak dan juga....perlumbaan basikal.

Disebabkan oleh keperluan untuk pemasangan trek basikal, kapasiti penonton di stadium juga agak terhad.

Usaha untuk memfokuskan penggunaan Stade Velodrome kepada sukan bola sepak mula dijalankan pada tahun 1971, dengan pengurangan kawasan digunakan untuk velodrom basikal sebelum keputusan menjadikan stadium ini stadium bola sepak sepenuhnya dibuat pada tahun 1985.

Berikutan perubahan ini, kapasiti stadium ini juga meningkat disebabkan pembukaan ruangan baru yang boleh digunapakai. Perubahan ini menjadikan Stade Velodrome sebagai sebuah stadium bola sepak khas, yang menjadi rumah kelab gergasi Marseille.

Nama asal stadium ini kekal digunakan tanpa perubahan walaupun fungsinya sebagai velodrom perlumbaan basikal sudah tiada.

5. Stadio Giuseppe Meazza/Stadium San Siro

san siro stadium kongsi kelab milan

Stadio Giuseppe Meazza atau lebih dikenali dengan nama lainnya San Siro merupakan antara lokasi unik di mana dua kelab besar berkongsi satu stadium yang sama.

AC Milan dan Inter Milan merupakan dua kelab berjiran serta seteru utama yang saling bersaing merebut takhta kejuaraan liga Itali, berkongsi stadium yang mampu memuatkan 75,923 orang dalam satu-satu masa - menjadikannya stadium terbesar di Itali.

Walaupun ramai merujuk stadium ini sebagai San Siro yang merupakan nama kawasan stadium ini dibina, nama rasminya pula diambil daripada nama Giuseppe Meazza; bekas pemain bola sepak yang aktif sekitar awal abad ke 20 dan pernah menyertai kedua-dua kelab.

Bagaimanapun, Meazza lebih disanjung peminat kelab Inter Milan berikutan statusnya sebagai salah seorang pemain legenda kelab tersebut. Oleh sebab itulah wujud pertelingkahan tentang penamaan stadium ini yang berterusan sehingga kini, khasnya dipihak penyokong AC Milan.

Peminat tegar kelab AC Milan akan merujuk stadium ini hanya sebagai San Siro tanpa mahu menggunakan nama rasminya, sementara penyokong Inter Milan pula nampak tidak kisah menggunakan kedua-dua namanya.

Sekiranya anda rujuk laman web rasmi kelab AC Milan, langsung tidak ada disebutkan nama rasmi stadium itu dalam sejarah stadium mereka. Bagi mereka stadium itu hanya layak dikenali dengan nama Stadium San Siro.




Hakcipta iluminasi.com (2017)