Salah satu bahagian tubuh manusia yang paling unik adalah anak mata. Ada individu yang mempunyai anak mata berwarna hitam, coklat gelap, coklat cerah, biru dan sebagainya. Secara umumnya, warna anak mata ini diwarisi secara turun temurun dan kebiasaannya kedua-dua anak mata akan mempunyai warna yang sama.

Namun ada juga manusia yang mempunyai kedua anak mata yang berlainan warna. Keadaan ini juga dikenali sebagai Heterochromia iridium (dua mata berbeza warna dalam satu individu) dan heterochromia iridis (pelbagai warna dalam satu iris).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum ini, kami juga pernah menulis mengenai keunikan mata biru etnik Buton di Indonesia akibat mutasi genetik yang diwarisi secara turun temurun dalam sesetengah keluarga dalam etnik itu. Warnanya sungguh memukau dan unik. Persoalannya, apakah yang memberikan warna kepada anak mata manusia?

Fungsi melanin pada tubuh manusia

Melanin adalah apa yang menjadikan kulit dan rambut kita kelihatan lebih gelap atau mempunyai warna tertentu seperti perang, putih dan sebagainya. Setiap kumpulan melanin  masing-masing "bertanggungjawab" untuk warna mereka.

Yang paling memberi kesan kepada penampilan luaran kita ialah eumelanin coklat, eumelanin hitam, dan pheomelanin pigmen kuning dan merah. Eumelanin adalah yang paling biasa dan paling banyak, dan lazimnya adalah yang "hilang" dalam kes albinisme.

Malah, jumlah melanin pada manusia juga boleh berubah selari dengan pertambahan usia. Sebagai contoh, eumelanin adalah sebab kita mendapat uban apabila umur kita meningkat usia. Rambut kita secara umumnya kurang telus dan melaninlah yang memberikannya warna.

Apabila badan semakin tua, ia berhenti menghasilkan eumelanin coklat tetapi terus menghasilkan eumelanin hitam, maka rambut akan menjadi kelabu. Pada usia yang lebih tua, warna hitam pada rambut akan menjadi lebih pudar menyebabkannya menjadi tanpa warna (rambut kelihatan putih kerana kesan optik).

Melanin pada iris

bahagian mata

Apa yang memberikan setiap manusia warna pada mata mereka adalah bahagian iris yang terdapat pada mata. Warna iris ini pula ditentukan oleh jumlah pigmentasi melanin. Semakin banyak pigmen, semakin gelap iris. Mata biru, kelabu dan hijau lebih cerah kerana terdapat kurang melanin di dalam iris.

Iris anda adalah struktur nipis, bulat di mata dengan anak mata di tengahnya. Ia menindih kanta dan bertanggungjawab untuk saiz bukaan (pupil), menentukan berapa banyak cahaya yang menembusinya ke kanta. Jika menggunakan analogi kamera digital, iris diumpakan bahagian yang berfungsi seperti "diaphragm" sementara "pupil" pula umpama apertur. 

Kawasan berpigmen iris terdiri daripada beberapa lapisan: lapisan fibrovaskular hadapan yang dikenali sebagai stroma (mengandungi unsur berpigmen warna coklat atau kuning) dan, di bawah stroma, sel epitelium berpigmen (terutamanya hitam).

warna mata unik

Setiap warna yang boleh dilihat dan dirasakan adalah hasil gabungan kesan pigmentasi, tekstur dan jalinan tisu dan saluran darah dalam iris. Pigmentasi masih merupakan faktor yang paling memberi kesan, jadi jika terdapat banyak melanin dalam mata, ia akan kelihatan berwarna gelap.

Jika tiada pigmen sama sekali, iris akan kelihatan merah jambu (warna saluran darah) atau keunguan (salur darah ditambah dengan serakan cahaya). Pada mata yang mempunyai sedikit melanin dalam stroma, pelbagai fenomena optik terjadi seteruskan akan menghasilkan warna biru dan hijau.

Mata dengan warna kuning muda atau amber (coklat-kuilt) berlaku apabila sel stromal berpigmen mengandungi pheomelanin dengan sedikit eumelanin. Jika anda hanya melihat kuning pada penguncupan "pupil" yang kuat (contohnya apabila anda merenung cahaya terang), ia mungkin hanya warna otot mata yang mengecut.

Taburan warna mata

pewarisan warna mata

Setakat ini, warna mata yang paling banyak di dunia ialah coklat, dengan lebih 55% daripada populasi manusia termasuk dalam kategori ini. Bergantung pada tempat seseorang dilahirkan, demografi warna mata boleh berbeza-beza. Sebagai contoh, hampir semua orang keturunan Afrika dan Asia mempunyai mata coklat.

Dipercayai sehingga 10,000 tahun dahulu, semua manusia mempunyai mata coklat sahaja. Kemudian berlaku mutasi yang menukar pigmentasi pada bahagian depan iris. Anggaran terdapat 5 hingga 8 peratus penduduk dunia bermata "hazel" (mempunyai kedua-dua warna hijau dan coklat).

Warna mata yang paling biasa seterusnya ialah biru, kelabu dan hijau (mengikut susunan ini). Dianggarkan bahawa hanya 2% daripada penduduk dunia mempunyai mata hijau. Terdapat juga warna mata yang dipanggil 'amber'. yang lebih jarang daripada mata hijau.

Akhir sekali, penghidap albinisme, keadaan yang menyebabkan kekurangan atau tahap pigmen yang sangat rendah pada kulit, rambut dan mata, kadangkala mempunyai anak mata yang kelihatan berwarna merah ungu atau merah. Kerana orang albino pada dasarnya kekurangan pigmen dalam iris, cahaya hanya dipantul dari belakang mata.

Kredit:

  1. ZME Science
  2. Scientific American
  3. World Atlas



Hakcipta iluminasi.com (2017)