Setiap hari kita dihamburkan dengan berita-berita bagaimana golongan minoriti baik dalam berita tempatan ataupun berita antarabangsa, terpaksa hidup dalam tekanan akibat tekanan masyarakat atau desakan kerajaan yang ada.
Jika diukur di atas kertas, ada 1001 kelemahan menjadi kumpulan minoriti yang hidup dalam sesebuah negara. Ekoran itulah banyak mesej dimainkan agar kita lebih mengutamakan kaum minoriti untuk dibantu dan diangkat - sedangkan realitinya bukan hitam atau putih sedemikian rupa.
BESARKAN TEKS A- A+
Kumpulan majoriti dalam sesebuah masyarakat atau negara pun sebenarnya berdepan banyak kekangan, mungkin bukan dalam bentuk dasar tetapi kesan psikologi akibat corak hidup yang ditentukan hanya kerana tergolong dalam kumpulan minoriti.
1. Kurang pengetahuan bahasa
Ini adalah contoh paling jelas berlaku di kalangan semua kelompok majoriti di seluruh dunia dan juga di Malaysia.
Secara zahirnya sifirnya mudah. Orang Melayu biasanya boleh bercakap bahasa Melayu dan ada juga yang mahir berbahasa Inggeris. Orang India boleh bertutur tiga bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris. Cina pula Melayu, Mandarin dan Inggeris.
Secara amnya memang begitu kan?
Situasi sama juga berlaku di negara barat, seperti di Amerika Syarikat di mana kumpulan majoriti hanya mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris tetapi kaum minoriti pula mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa ibunda mereka.
2. Mudah dilihat menindas jika mempertahankan kedudukan
Salah satu perkara yang sukar untuk dibicarakan, adalah bagaimana persepsi negatif yang terbentuk setiap kali kaum majoriti bangkit mempertahankan apa yang telah mereka perolehi.
Bersuara saja dikatakan menindas. Meminta-minta dikatakan tak bersyukur dengan apa yang ada. Dapat sesuatu dituduh tak berhak mendapatkannya.
Persepsi ini telah menjadi senjata utama pihak-pihak tertentu dalam melemahkan mentaliti dan pegangan kelompok majoriti, bukan saja di Malaysia bahkan menjadi senjata ampuh memecahkan kekuatan kelompok majoriti di banyak negara.
Di barat, agenda woke yang mencabar kedudukan kuasa masyarakat kulit putih di sana telah menyebabkan perang psikologi di kalangan ahli masyarakat semakin berleluasa. Kami melihat taktik sama juga sedang cuba digunakan di Malaysia.
3. Kurang rasa mahu bersaing
Percaya tak, menjadi majoriti mengakibatkan ramai di kalangan ahli kelompok itu kurang rasa mahu bersaing? Bukan kerana mereka malas dan sebagainya, sebaliknya disebabkan oleh ketiadaan rasa kebimbangan yang setiap masa menghantui golongan minoriti.
Perkara ini bukan melibatkan masyarakat Melayu saja, sebaliknya menghantui keseluruhan kelompok majoriti di seluruh dunia. Apabila kita menjadi kelompok majoriti, minda kita menjadi lebih tertutup untuk menerima idea baru dan cara berfikir yang berbeza.
Kita tidak dicabar untuk mencapai sesuatu kerana kita tahu ramai yang akan menyokong apa saja yang kita buat. Seorang penjaja tepi jalan berbangsa Melayu di Malaysia pasti sangat berbeza cara dia meniaga, berbanding jika dia meniaga di negara luar kan?
Jika di luar, dia perlu bersaing tanpa sokongan kaum majoriti lain yang memerlukan dia untuk terus berinovasi dan berubah mengikut permintaan yang ada. Di Malaysia, semuanya kekal serupa.
4. Mudah dipecah belahkan mengikut ideologi
Lebih besar sesuatu kelompok atau kumpulan, lebih banyaklah bentuk pemikiran yang ada. Oleh sebab itulah lebih mudah sesebuah kelompok majoriti dipecah-belahkan kepada beberapa sub-kumpulan yang berbeza.
Ini disebabkan ketiadaan unsur penyatuan atau matlamat yang benar-benar jitu. Setiap sub-kumpulan mungkin mempunyai perspektif, idea dan gagasan yang tidak selari antara satu sama lain - menyebabkan perpecahan lebih kerap berlaku jika kita bandingkan dengan kumpulan minoriti.
Kumpulan minoriti pula yang dihantui perasaan bimbang masa depan sendiri, melihat penyatuan sebagai satu-satunya jalan untuk ke hadapan.
Rasa perlu beralah, merendahkan ego serta memberi jalan walaupun berlainan pendapat lebih mudah berlaku dalam kelompok lebih kecil, berbanding kelompok yang lebih besar jumlahnya.
5. Kita selalu menafikan kejayaan diri sendiri
Apabila kedudukan majoriti selalu dipertikaikan oleh kumpulan minoriti, akan wujud satu fenomena yang memberi kesan besar kepada psikologi serta pemikiran kaum majoriti.
Kami tidak tahu apa nama rasminya dalam bidang kajian psikologi, tetapi ekoran serangan demi serangan kaum minoriti yang menidakkan hak kaum majoriti - akan meningkatlah bilangan individu dalam majoriti yang mula serba salah untuk meraikan kejayaan sendiri.
Sebagai contoh paling mudah, ada beberapa kes di mana pelajar bukan Melayu di Malaysia yang mendapat keputusan baik dalam peperiksaan gagal mendapat kursus pilihan mereka di universiti. Bila mesej sebegini tular, jelas sekali kesalahan diletakkan ke atas kaum majoriti kerana 'merampas tempat' individu cerdik sebegini.
Anda tahu tak betapa sakitnya rasa didakwa sebegitu rupa?
Dan yang lebih penting, anda tahu tak walaupun kaum majoriti sekalipun - yang majoriti ini masih lagi perlu berusaha untuk mendapatkan keputusan yang baik. Tidak ada jalan senang pun. Yang membuatkan isu ini nampak senang adalah mainan persepsi.
Bagaimanapun dakwaan sebegini berkesan. Semakin ramai kaum majoriti 'malu' diterima masuk bekerja kerajaan, ditawar masuk ke universiti dan sebagainya hanya kerana mereka 'majoriti.'
Apa yang baik boleh kita perolehi daripada mainan persepsi sebegini, entahlah. Yang jelas, majoriti semakin rugi.