Kredit foto Malaysiakini dan Elewsmart
Kami yakin ramai suka membeli-belah, kerana membeli-belah merupakan satu pengalaman yang mampu memberikan kita keseronokan yang sukar diceritakan.
Sedar tak, semua gedung dan pasar raya dikategorikan kepada 3 jenis kategori yang akan membezakan ketiga-tiganya dalam bermacam aspek?
Pernahkah anda terfikir kenapa ada pasar raya dilabelkan sebagai gedung beli-belah, ada supermarket dan ada juga yang dikenali sebagai sebuah hypermarket?
BESARKAN TEKS A- A+
Memahami konsep gedung beli-belah
Gedung beli-belah atau boleh juga dikenali sebagai gedung serba-serbi, merupakan satu konsep perniagaan yang pernah menjadi pilihan utama masyarakat di negara kita satu masa dahulu sebelum kemunculan pasar raya berkonsepkan 'hypermarket.'
Lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai 'departmental store', ada klasifikasi khusus yang menentukan sebuah pusat perniagaan untuk layak dikategorikan sebagai departmental store.
Susun atur dan pelan lantai sesebuah gedung beli-belah haruslah dibuat berdasarkan jenama ataupun jenis produk. Sebagai contoh nama besar seperti Parkson dan Sogo merupakan gedung beli-belah yang menggunakan konsep ini.
Barangan yang dijual biasanya tidak melibatkan produk keperluan asas seperti makanan dan minuman, sebaliknya lebih tertumpu kepada barangan seperti pakaian, barangan sukan, alat tulis, perkakasan, aksesori wanita, kasut dan sebagainya.
Gedung beli-belah juga biasanya bersifat lebih mewah serta masih menempatkan pembantu kedai, bagi membantu pelanggan mendapatkan produk yang diingini. Hiasan dalaman ruang niaga juga akan diubah-ubah mengikut musim dan perayaan tempatan.
Gedung beli-belah pertama dunia dibuka pada tahun 1796 di St. James, London atas nama Harding, Howell & Co’s. Perniagaan itu yang bermula sebagai gedung berasaskan majalah pada awalnya, mula menjual barang kemas, jam, peralatan menjahit dan beberapa produk lagi yang dibahagikan kepada empat bahagian berbeza.
Apa itu pasar raya?
Pasar raya atau supermarket lebih memfokuskan kepada jualan produk keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan rumah yang kita perlukan setiap hari.
Susun atur kedai biasanya dibuat menggunakan rak mengikut kategori, di mana pelanggan boleh mengambil barangan yang diperlukan secara sendiri. Tidak ada pembantu jualan ditempatkan kecuali di beberapa bahagian khas - seperti kaunter timbangan atau kaunter ujian perkakasan barangan elektrik.
Biasanya perniagaan pasar raya dijalankan dalam ruangan besar satu tingkat, terletak khususnya di kawasan-kawasan kediaman atau kawasan padat penduduk bagi meningkatkan potensi kehadiran pelanggan.
Antara pasar raya yang terkenal di negara kita adalah rangkaian Village Grocer, Cold Storage dan juga Hero. Sementara rangkaian pasar raya AEON pula unik kerana menawarkan bukan saja jualan berkonsepkan supermarket bahkan turut sama mempunyai gedung beli-belah, semuanya dalam satu bangunan.
Bagaimana pula dengan pasar raya besar?
Pasar raya besar atau hypermarket pula merupakan gabungan di antara gedung beli-belah dan sebuah pasar raya dari aspek kategori jualan yang ditawarkan.
Ini bermakna sebuah hypermarket bukan saja menawarkan barangan segar, makanan, minuman dan perkakasan biasa - mereka juga menjual produk yang biasanya dijual di gedung beli belah seperti pakaian, kasut, peralatan sukan, alat tulis, aksesori wanita dan sebagainya.
Untuk menempatkan kesemua produk tadi di bawah satu bumbung memerlukan ruangan yang besar, jadi hypermarket biasanya mempunyai mengekalkan rekabentuk mirip sebuah gudang gergasi.
Identiti dan konsep rekaan dalaman juga kurang 'mewah' jika dibandingkan dengan pasar raya yang masih mampu membawakan imej yang lebih menyelesakan kita.
Dalam aspek harga jualan, sebuah hypermarket mampu menawarkan harga jualan lebih rendah berbanding sebuah supermarket.
Apa beza kompleks, pusat dan gedung?
Daripada aspek bahasa Melayu, pasti ramai sering tertukar-tukar di antara gedung beli-belah, pusat beli-belah dan kompleks beli-belah kan?
Gedung beli-belah merupakan konsep jualan yang dilakukan dalam satu bangunan, dengan susun aturnya mengikut jenama atau kategori produk, tidak dipecahkan mengikut lot kedai serta dimiliki oleh satu syarikat atau pemilik.
Kompleks beli-belah pula merupakan bangunan yang menempatkan banyak lot-lot kedai berbeza jenama dan pemilik, di mana setiap lot menawarkan jualan dan perkhidmatan secara berasingan walaupun duduk di bawah satu bumbung.
Sementara itu, pusat beli-belah merupakan istilah am yang akan kita gunakan bagi merujuk lokasi di mana aktiviti beli-belah boleh berlaku boleh melibatkan gabungan di antara mana-mana gedung beli-belah, supermarket atau hypermarket dan juga lot-lot kedai kecil yang membentuk sebuah kompleks.
Kebanyakan shopping mall besar di negara kita adalah pusat beli belah. IOI City Mall sebagai contoh, mempunyai kompleks beli-belah, pasar raya segar serta gedung beli-belah serentak.
Secara peribadi, penulis lebih gemar ke pasar raya berbanding pasar raya besar kerana penulis tak suka perlu berjalan merata hanya untuk mencari sebungkus mee segera. Suasana pasar raya juga lebih enak pada pandangan penulis berbanding konsep gudang gergasi yang ditawarkan sebuah hypermarket.
Bagaimanapun disebabkan rumah penulis sendiri tak jauh daripada hypermarket - terpaksalah penulis ke hypermarket berdekatan dan lupakan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan.