Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Sidang media bagi memperkenalkan peserta Gegar Vaganza 5 (GV5) telah berlangsung sebentar tadi.
Membawakan kelainan dengan turut menampilkan penyanyi berkumpulan, mereka yang memenuhi kuota itu ialah kumpulan Forteen, Elite serta penyanyi duo, Billy Zulkarnain.
Manakala, seperti lazimnya penyanyi solo yang pernah menempa populariti suatu ketika dahulu turut melengkapkan senarai 12 peserta.
Mereka ialah Zamani (Slam), Shafie (Rio), Hetty Sarlene, Noryn Aziz, Safura, Amelina, Dia Fadila, Farawahida dan Maya Matahari.
Kehandalan kesemua penyanyi yang terlibat sememangnya tidak diragui lagi kerana cukup dikenali dengan karakter vokal yang tersendiri.
Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza
Sementara itu, pengarah muzik Datuk Ramli MS masih dikekalkan sebagai juri tetap, bersama penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim.
GV5 yang bermula 30 September ini akan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam, dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Rancangan yang dikendalikan Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu memberi ganjaran wang tunai RM100,000 kepada juara, RM50,000 kepada naib juara serta RM30,000 kepada pemenang tempat ketiga.
Manakala tangga keempat, kelima dan keenam masing-masing bakal membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000. Kesemua pemenang turut menerima trofi sumbangan Astro.
Sebagai rekod, musim pertama hingga keempat Gegar Vaganza dijuarai Ayai (Ilusi), Siti Nordiana, Azharina Azhar dan Aishah.