Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Konsert kedua Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan tiga peserta berada di kedudukan tiga teratas hasil penilaian juri profesional.
Mereka ialah Noryn Aziz yang menampilkan persembahan memukau menerusi Trauma (nyanyian asal Elite), Amelina memberi kelainan dalam Kembali Terjalin (Slam) dan Shafie Rio yang menghiburkan dalam Vida (Phyne Ballerz).
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Tidak ketinggalan, sembilan lagi bintang tak kurang hebatnya iaitu Zamani (Andai), Maya Matahari (Hilangkan Segalanya), Dia Fadila (Cerita Cinta), Forteen (Manisnya Senyumanmu) dan Hetty Sarlene (Ah! Rindu Lagi).
Juga Farawahida (Rindu Aku Rindu), Safura (Diari Biru), Billy Zulkarnain (Mentari Muncul Lagi) dan Elite (Bulan Cinta).
Namun nasib tidak menyebelahi Safura yang diumumkan tersingkir di penghujung konsert dengan pungutan markah terendah sebanyak 39.7 peratus.
Juri jemputan, AC Mizal sewaktu memberi kritikan selepas selesainya persembahan penyanyi itu mengakui ada kelemahan daripada segi tempo nyanyian.
“Persembahan sangat bagus tadi, cuma masa menyanyi macam ada terlambat masuk sedikit. Namun saya tetap puji,” ulasnya.
Selain itu, peserta turut diadili juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim.
Sementara itu, Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini dianugerahkan kepada kumpulan Elite.
Konsert kedua itu membawakan tema ‘Dalam Diam Aku Mencintaimu’.
Bersiaran selama lapan minggu dan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam. Dibawakan dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).