Oleh pada 30 May 2019 kategori

Gula-gula getah atau dalam bahasa Inggerisnya chewing gum merupakan sejenis makanan popular yang digemari kanak-kanak mahupun orang dewasa. Gula-gula getah hanyalah makanan ringan dan ia biasanya dikunyah untuk menghilangkan rasa mengantuk ketika memandu dan bekerja.

Dikenali dengan ciri-cirinya seperti getah yang kenyal, makanan ini semamangnya dicipta untuk dikunyah dan bukannya ditelan . Atas sebab inilah, ibu bapa selalunya tidak membenarkan anak-anak mereka yang masih kecil memakan gula-gula getah kerana dikhuatiri anak-anak akan sengaja menelannya atau tertelan ketika mengunyah gula-gula ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gula-gula getah diperbuat daripada bahan yang tidak boleh dihadam oleh sistem pencernaan manusia. Oleh itu terdapat sebuah teori dimana sekiranya anda tertelan gula-gula ini, ianya mungkin akan mengambil masa sehingga 7 tahun sebelum ianya dapat dicerna dan dikeluarkan daripada tubuh badan kita.

Sejauh manakah benarnya dakwaan ini?

Pendapat yang mengarut

gula gula getah

Tidak dapat dipastikan daripada manakah asalnya dakwaan yang mengatakan gula-gula getah memerlukan sehingga 7 tahun untuk dicernakan oleh tubuh badan. Untuk memahami mengenai gula-gula getah, kita mestilah tahu apakah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sebiji gula-gula getah itu sendiri.

Dr. David Milov, seorang doktor pakar atau ahli padeatrik gastroenterologi dari Orlanda menjelaskan, sekiranya gula-gula getah memerlukan 7 tahun untuk dihadam, sudah tentu setiap orang yang pernah menelan gula-gula getah akan dapat dilihat kewujudan gula-gula tersebut dalam usus mereka apabila discan.

Menurut beliau lagi, dalam banyak prosedur kolonoskopi dan kapsul endoskopi yang dijalankannya, beliau tidak pernah menemui kewujudan gula-gula getah ini. Jikalau ada sekalipun, ianya akan hilang (dikeluarkan dari tubuh badan) tidak lebih daripada 1 minggu sahaja.

Dalam erti kata lain, tiada bukti saintifik dapat membuktikan bahawa gula-gula getah memerlukan sehingga 7 tahun untuk dicernakan, pendapat yang sering berlegar-legar dalam kalangan masyarakat sejak sekian lamanya.

Memahami bahan pembuatan gula-gula getah

bahan gula gula getah 570

Untuk memahami lebih lanjut mengenai perkara ini, ada baiknya kalau kita lihat satu persatu bahan kandungan dalam pembuatan gula-gula getah di pasaran. Secara umumnya, gula-gula getah komersial menggunakan bahan-bahan seperti gum base, perisa asli/tiruan, pewarna, gula, glicerin, minyak sayuran dan sebagainya.

Suatu ketika dahulu, pengeluar gula-gula getah biasanya akan menggunakan perkataan "indigestible" yang bermaksud tidak boleh dihadam bagi membezakannya dengan gula-gula biasa. Ini menimbulkan persepsi kepada orang ramai bahawa sekiranya sekiranya tertelan, maka gula-gula getah ini tidak dapat dihadam dan kekal di dalam tubuh badan.

Jika dilihat pada senarai bahan-bahan yang biasa digunakan untuk menghasilkan gula-gula getah, kesemua bahan tersebut sememangnya boleh dihadam kecuali bahan utamanya iaitu gum base. Bahan utama inilah yang memberikan sifat kenyal seperti getah bagi gula ini.

Realitinya, walaupun tidak boleh dicerna sepenuhnya dalam tubuh badan, gula-gula getah tetap akan melalui saluran penghadaman dan dikeluarkan daripada badan melalui najis. Bezanya, ia tidak dicerna dan "dihancurkan" disini, sama seperti fiber. Biasanya ia hanya mengambil masa 2 hingga 3 hari sahaja, jadi tidak pasti daripada datangnya idea bahawa gula-gula getah ini mengambil masa bertahun lamanya untuk dibuang oleh tubuh badan.

Larangan menelan gula-gula getah dengan sengaja!

gula getah 744

Walaupun gula-gula getah boleh dikeluarkan daripada tubuh secara semula jadi, ini tidak bermakna anda boleh menelannya dengan secara sengaja. Sekiranya anda sengaja menelan gula-gula getah dalam kuantiti yang banyak bersama dengan bahan-bahan lain yang tidak boleh dihadam, ia mungkin akan menyebabkan masalah penghadaman yang serius.

Pada tahun 1998, Dr. David Milov dan pasukannya pernah menerbitkan satu kajia terhadap 3 kanak-kanak yang mempunyai masalah kronik untuk "mengeluarkan" gula-gula getah daripada tubuh badan mereka.

Kajian tersebut melaporkan mengenai 3 orang kanak-kanak yang mempunyai masalah gatrousus tersumbat disebabkan menelan gula-gula getah. Salah seorangnya adalah kanak-kanak berusia 4 tahun yang mengalami sembelit selama 2 tahun. Kanak-kanak ini mempunyai tabiat memakan 5 hingga 7 biji gula-gula getah setiap hari dan kerap menelannya.

telan gula getah 726

Setelah pelbagai ubat dan usaha dilakukakan tidak berjaya, doktor akhirnya terpaksa mengeluarkannya melalui pembedahan dan menemui gumpalan gula-gula getah dalam rektumnya (usus akhir). Kanak-kanak kedua juga mempunyai tabiat menelan gula-gula getah dalam kuantiti yang banyak dan mengalami masalah sama.

Sementara itu, pada kanak-kanak ketiga doktor telah menemui 4 keping duit syiling dengan gumpalan gula-gula getah padanya dalam perutnya. Gula-gula getah ini tidak dapat dikeluarkan secara semulajadi memandangkan ia telah melekat dengan duit syiling dan membentuk satu gumpalan yang tidak boleh melalui saluran pencernaan.

Kesimpulannya, usah khuatir sekiranya anda tertelan gula-gula getah namun jangan telannya dengan sengaja. Teori yang mengatakan gula-gula getah akan kekal lama dalam usus sememangnya tidak benar daripada segi saintifik namun ibu bapa mungkin menggunakannya sebagai larangan terhadap anak-anak mereka supaya jangan menelannya dengan sengaja.

Kredit:

  1. BBC News
  2. Scientific American 
  3. Live Science
  4. Reader's Digest



Hakcipta iluminasi.com (2017)