Tahukah anda bahawa masalah sistem pernafasan dan kanser merupakan dua penyebab utama kematian rakyat Malaysia?

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, penyakit yang berpunca daripada masalah sistem pernafasan menyumbang 18.54% kepada jumlah kematian manakala kanser pula menyumbang 13.56% daripada keseluruhan kes.

Antara faktor utama yang menyebabkan kematian ini? Tidak lain dan tidak bukan, rokok. Sudahlah menghisap rokok, pemakanan juga tidak dikawal. Bersenam pun tidak. Memang gali lubang kubur sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada sesetengah perokok yang berdegil dan suka benar menggunakan ayat "Aku hisap rokok dari sekolah rendah, masih hidup sihat je lagi sampai sekarang." Ya, anda patut bersyukur dengan nikmat kehidupan yang Allah SWT masih beri kepada anda. Jadi kenapa perlu disia-siakan kehidupan itu dengan menghisap rokok? Bukankah sebagai orang Islam kita patut menjauhkan diri dari kemudaratan?

Apa berlaku bila berhenti merokok?

Tahukah anda, apabila anda mula berhenti merokok dan tidak lagi menyedut asap mengandungi 4,800 bahan toksik dengan 60 karsinogen pencetus kanser yang terdapat di dalamnya, badan anda sebenarnya akan mula bertindak balas secara positif seawal 20 minit.

Kali ini kami kongsikan perubahan demi perubahan yang akan berlaku kepada tubuh anda sekiranya anda berhenti merokok sekarang.

merokok boleh menyebabkan anda mati awal banyak penyakit

Selepas 20 minit

Tekanan darah dan kadar denyutan jantung mula menurun. Peredaran darah di bahagian tangan dan kaki mula bertambah baik.

Selepas 8 jam

Kadar karbon monoksida dalam darah berkurang dan tidak lagi menghalang oksigen daripada memasuki sel darah. Anda boleh melakukan aktiviti fizikal dengan lebih baik kerana bekalan oksigen bertambah. Jika anda seorang ibu mengandung, anak dalam kandungan juga mendapat bekalan oksigen dengan lebih baik.

jogging dapat jumpa awek berhenti merokok

Selepas 24 jam

Karbon monoksida disingkirkan dari badan. Bekalan oksigen di jantung meningkat dengan ketara dan mengurangkan sakit dada ketika melakukan aktiviti fizikal. Risiko untuk mendapat sakit jantung telah berkurang.

Selepas 48 jam

Nikotin disingkirkan sepenuhnya dari badan. Deria rasa dan bau kembali normal. Pernafasan menjadi bertambah baik dengan ketara.

Selain itu, rerambut halus pada paru-paru (silium) pulih seperti biasa untuk memindahkan partikel dari paru-paru. Salah satu tandanya ialah anda kerap batuk kerana lebih banyak kotoran dan bahan toksik disingkirkan dari paru-paru.

Selepas 14 hari

Peredaran darah menjadi lebih efisien.

Selepas 1 bulan

Keadaan kulit bertambah baik.

Selepas 3 bulan

Fungsi paru-paru semakin pulih dan kapasiti meningkat sebanyak 39%. Masalah pendek nafas juga berkurang selain tona kulit menjadi lebih baik dan tidak terlalu kusam.

Selepas 1 tahun

Risiko untuk mendapat sakit jantung berkurang sehingga 50%. Jika anda pernah mendapat serangan sakit jantung, anda telah mengurangkan 25% risiko untuk mendapat serangan berikutnya yang sepatutnya boleh membawa maut.

Selepas 5-10 tahun

Bergantung kepada berapa lama dan berapa banyak anda telah merokok, dalam tempoh ini, anda telah menurunkan risiko penyakit kardiovaskular, sakit jantung dan strok menjadi kembali sama seperti orang yang tidak merokok.

hisap rokok bakar duit berhenti merokok

Jadi, apa yang anda tunggu lagi. Jika anda sayangkan keluarga anda, mulakanlah sekarang. Jangan tunggu esok, minggu depan atau tunggu kotak yang baru dibeli itu habis. Itu hanyalah alasan semata-mata.

Kalau nak menghisap sangat, apa kata anda gulung dan bakar sahaja duit kertas. Sekurang-kurangnya kandungannya tidaklah merbahaya dan beracun seperti rokok. Duit habis sama juga, yang penting anda sihat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)