Setiap haiwan memiliki keunikan dan ciri khas yang dikurniakan Allah SWT untuk hidup di dunia ini. Antara kelebihan yang diberikan kepada haiwan adalah seperti mempunyai bulu lebat dan berkulit tebal untuk bertahan dalam cuaca sejuk yang melampau seperti di negara beriklim sejuk ataupun kutub utara dan selatan.
Namun, ada antara mereka mempunyai usia tidak begitu panjang dan ditemui mati sejuk beku dalam keadaan menyayat hati. Kami kongsikan 9 jenis haiwan yang pernah dijumpai mati di bawah paras beku:
BESARKAN TEKS A- A+
1. Musang
Seorang pemburu, Franz Stehle, dari Jerman telah mengeluarkan satu blok ais yang mengandungi seekor musang di dalamnya. Menurut Franz, musang itu telah jatuh ke dalam Sungai Danube yang sejuk sehingga mati lemas.
Sejak dikeluarkan pada Januari 2017, musang sejuk beku itu dipamerkan kepada orang ramai di luar hotel milik keluarga Franz di Fridingen. Menurut pemburu terbabit, kejadian seumpama itu agak biasa terjadi kerana dia pernah nampak haiwan lain seperti seekor rusa dan babi hutan yang beku.
2. Ikan kap
Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat telah berkongsi gambar yang diambil oleh seorang pengunjung tetap ke Tasik Andes, Kelly Preheim yang diambil pada tahun 2015.
Kejadian seperti ini berlaku kerana hidupan kekurangan oksigen akibat pembekuan permukaan air. Apabila permukaan air membeku, sinaran matahari akan terhalang dan seterusnya alga dan tumbuhan tidak dapat menjalani proses fotosintesis untuk menghasilkan oksigen. Apabila ikan-ikan ini mati, lebih banyak oksigen yang digunakan kerana proses penguraian yang berlaku.
3. Rusa elk
Pada tahun 2014, elk ini dijumpai di tengah tasik berdekatan Bodo di utara Norway oleh Inger Sjøberg yang sedang meluncur ais. Elk ini dipercayai terjatuh ke dalam tasik sebelum ais mengeras sepenuhnya.
4. Koyote
Gambar koyote beku di Kanada ini ditangkap oleh seorang jurugambar bernama Sabine Cane. Beginilah keadaan haiwan ini semasa dijumpai - di tepi jalan dalam keadaan duduk dan membeku. Menurut Sabine, kawasan itu mengalami suhu di bawah 30C selama dua minggu berturut-turut semasa musim sejuk pada tahun 2008.
5. Keldai
Sekumpulan keldai dijumpai dilitupi salji dan ais di kawasan pedalaman Turkey berdekatan Sanliurfa yang menghadapi cuaca paling sejuk di negara itu.
Semasa pasukan penyelamat menjumpai keldai-keldai ini, beberapa ekor daripadanya tidak dapat berjalan kerana kaki yang hampir beku akibat cuaca yang terlalu sejuk. Namun kesemua keldai ini akhirnya dapat diselamatkan dan dihantar ke pusat perlindungan.
6. Katak
Walaupun nampak seperti ia sedang tidur, sebenarnya katak ini tidak akan lagi melompat kerana ia sudahpun tidak bernyawa.
Dipercayai katak ini terpedaya dengan suhu yang naik mendadak secara tiba-tiba dan keluar daripada hibernasi untuk mencari teman persenyawaan di sekitar tasik di Oslo. Ketika itulah tasik menjadi beku dan katak ini tidak sempat pulang ke pangkal jalan.
7. Moose
Semasa berjalan di perkampungan Alaska pada tahun 2016, pendaki bernama Brad Webster dan rakan-rakannya terserempak dengan dua ekor moose jantan yang mati beku ketika dalam posisi sedang bertarung.
Ketika moose itu dijumpai, ia merupakan penghujung musim mengawan. Barangkali kedua-dua ekor moose ini sedang berkelahi berebutkan wilayah jajahan atau moose betina.
Seorang bekas ahli biologi, Bill Samuel dari University of Alberta memberitahu National Geographic bahawa beliau tidak pernah menyaksikan situasi seumpama itu. Sungguh menakjubkan.
8. Ikan hering
Pada musim sejuk tahun 2014 di Norway, satu fenomena ganjil terjadi di mana ais membeku dengan terlalu cepat sehingga terlalu banyak ikan hering yang tidak sempat menyelamatkan diri.
Ingolf Kristiansen sedang bersiar-siar bersama anjing peliharaannya di sepanjang teluk Lovund ketika dia ternampak keadaan air yang dipenuhi ikan beku itu.
9. Ikan pameran
Haiwan terakhir ini mati beku bukan disebabkan alam semula jadi tetapi berpunca daripada perbuatan manusia.
Sebuah gelanggang luncur ais di Jepun mempamerkan 5,000 ekor ikan yang beku di dalamnya. Gelanggang yang dibuka di dalam taman tema Space World di Kitakyushu pada November 2016 kononnya ingin mendidik pengunjung berkenaan hidupan laut.
Walau bagaimanapun pihak pengurusan menerima kecaman hebat daripada netizen dan orang ramai kerana dikatakan menyokong penderaan dan kekejaman ke atas haiwan. Gelanggang itu ditutup selepas hanya beberapa minggu dibuka.
Kesian sangat tengok. Apalah agaknya yang haiwan-haiwan ini fikirkan sebelum mati itu kan.