Ada banyak benda yang kita guna tetapi jarang sekali untuk kita ambil peduli istilah yang betul, bagi mewakili barang atau perkara tersebut.
Penulis pun akui perkara sama dilakukan oleh penulis dan tak salah kalau penulis andaikan, ramai juga di luar sana melakukan perkara serupa. Untuk itu, apa kata kita belajar tentang 8 istilah yang mewakili 8 benda atau perkara harian kita yang sebenarnya wujud dalam bahasa Inggeris; tetapi tak pernah pun kita gunakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami cabar anda supaya minta 'zarf' lebih bila anda beli minuman nanti. Mesti lucu wajah mereka mendengar permintaan anda.
1. Ferrule - "Simpai logam"
Perasan tak pada semua batang pensil yang mempunyai pemadam kecil di bahagian hujungnya, pasti ada besi yang akan mengikat pemadam tersebut supaya terletak kuat di situ? Itulah 'ferrule' atau 'simpai logam,' besi yang dipasang untuk memperkukuhkan bahagian kayu atau alat agar tidak mudah pecah - tidak hanya mewakili pensel.
2. Aglet
Ini adalah bahagian yang kerap rosak pada kasut. Jika anda gemarkan kasut bertali, pasti anda sedar betapa pentingnya bahagian plastik yang membalut bahagian hujung tali kasut anda - agar mudah dimasukkan serta tidak berjurai-jurai. Itulah aglet, plastik yang digunakan untuk memperkemaskan bahagian hujung tali kasut.
3. Tittle
Bila anda menulis huruf 'i' atau 'j' dalam format kecilnya, mesti anda akan letakkan tanda titik pada tulisannya. Titik itu dikenali dengan nama 'tittle'. Bagaimanapun, 'title' boleh merangkumi bukan saja titik, malahan turut sama digunakan pada simbol -simbol kecil yang ditulis, tanpa membawa apa makna seperti tanda sempang.
4. Zarf
Apabila anda membeli kopi atau air minuman dari sesetengah kedai (yang harganya tinggi), anda akan menerima cawan minuman anda beserta dengan pembalut - bagi melindungi jari anda daripada haba cawan. Itulah 'zarf'. Pada zaman dahulu, 'zarf' diperbuat daripada besi dengan ukiran, tetapi kita sekarang lebih kerap menggunakan 'paper zarf' atau pembalut yang dibuat daripada kertas.
5. Keeper
Individu yang gemar memakai atau menggayakan tali pinggang, pasti bersyukur dengan kewujudan 'keeper' pada tali pinggang yang mereka pakai. 'Keeper' adalah gelang pada tali pinggang yang boleh bergerak bebas, menjadi pengikat terakhir tali pinggang anda agar kelihatan kemas dan tidak terjuntai keluar.
6. Tines - "hujung runcing"
Cuba ambil sebatang garfu. Boleh anda tunjukkan di mana 'tines' pada bahagian garfu? 'Tines' adalah bahagian batang tajam yang ada pada garfu, kebiasaannya empat. Selain garfu, peralatan lain yang menyerupai garfu juga menggunakan istilah serupa bagi mewakili bahagian sama, seperti peralatan berkebun dan sebagainya.
7. Overmorrow - "Lusa"
Dalam bahasa Melayu, kita ada sistem esok, lusa dan tulat bagi menggambarkan dengan mudah kiraan 3 hari yang akan datang. Dalam bahasa Inggeris? Lusa atau pada hari kedua selepas hari ini, boleh ditulis sebagai 'overmorrow' sebenarnya, tapi takut pula nak digunakan kerana penggunaannya tak meluas. Sehinggakan ada filem menggunakan istilah 'The Day After Tomorrow' dan bukannya 'Overmorrow.'
8. Frit- "frit"
Apabila anda masuk ke dalam kereta, cuba lihat di sekeliling cermin depan kereta - anda akan nampak bahagian tersebut ditutupi dengan titik-titik halus yang berubah kepadatannya. Itulah frit. Frit merupakan bahagian yang penting, menjadi penyambung kukuh di antara kaca dengan badan kereta. Frit juga melindungi bahagian gam yang diletakkan daripada sinar radiasi UV, agar tidak mudah lekang.