Ramadan adalah lebih daripada sekadar bulan yang diwajibkan orang Muslim berpuasa, ia adalah bulan suci yang berakar pada budaya, iman dan sejarah orang Islam. Di seluruh dunia, sesetengah umat Islam menandakan kedatangan bulan kali ini dengan pelbagai tradisi meriah yang unik di rantau mereka dan diwarisi turun-temurun.

Diraikan oleh berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia, Ramadan disambut setiap tahun pada bulan kesembilan dalam kalendar Islam. Berlangsung selama kira-kira 30 hari – bergantung kepada penampakan anak bulan – ia menandakan bulan Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pada tahun 610 Masihi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berpuasa merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan wajib bagi semua umat Islam yang mampu dan biasanya bulan ini diimarahkan lagi dengan amalan seperti bersedekah, tadarus Al-Quran, memperbanyak solat, berzikir dan sebagainya. Kali ini, mari lihat bagaimana sesetengah budaya atau negara mempunyai tradisi unik tertentu bagi meraikan kedatanga bulan Ramadan.

1. Padusan (Upacara mandi) - Jawa

padusan

Di seluruh Indonesia, umat Islam melakukan ritual yang berbeza untuk 'membersihkan' diri mereka pada hari sebelum Ramadan. Beberapa kawasan di Jawa Tengah dan Jawa Timur mengekalkan tradisi penyucian yang dipanggil padusan (bermaksud 'mandi' dalam dialek Jawa), di mana orang Islam Jawa merendam badan mereka dari kepala hingga kaki.

Amalan ini dipercayai disebarkan oleh Wali Songo, sekumpulan pendeta yang dihormati yang merupaka pendakwah pertama menyampaikan ajaran Islam ke seluruh Jawa. Bertahun-tahun yang lalu, adalah menjadi amalan biasa bagi orang tua dan ketua agama tempatan untuk memilih dan menetapkan mata air suci untuk padusan.

2. Midfa al iftar (Tembakan meriam) - Lebanon

midfa al iftar

Di banyak negara di seluruh Timur Tengah, tembakan meriam dilepaskan setiap hari pada bulan Ramadan untuk menandakan berakhirnya puasa pada hari itu. Tradisi ini, yang dikenali sebagai midfa al iftar, dikatakan telah bermula di Mesir lebih 200 tahun yang lalu, ketika negara itu ditadbir oleh pemerintah Uthmaniyyah Khosh Qadam.

Semasa menguji meriam baru pada waktu matahari terbenam, Qadam secara tidak sengaja melepaskannya, dan bunyi yang bergema di seluruh Kaherah mendorong ramai orang awam untuk menganggap bahawa ini adalah cara baharu untuk menandakan tamatnya puasa pada hari itu.

Ramai penduduk yang berterima kasih atas inovasinya dan anak perempuannya, Haja Fatma, menggesanya untuk menjadikan upacara tembakan meriam ini sebagai tradisi masyarakat tempatan. 

3. Festival Chaand Raat - Pakistan

chaand raat

Penampakan anak bulan menandakan berakhirnya Ramadan dan permulaan Aidilfitri, maka bermulalah festivalChaand Raat di Pakistan. Selepas berbuka puasa terakhir mereka, ramai wanita dan gadis berpusu-pusu ke bazar tempatan untuk membeli gelang berwarna-warni dan melukis tangan dan kaki mereka dengan inai.

Pekedai akan menghias gerai mereka dan terus dibuka sehingga awal pagi. Wanita tempatan biasanya akan membuka kedai inai sementara berhampiran dengan kedai barang kemas, supaya mereka boleh menarik pelanggan membeli-belah dan memakai inai di tempat itu. 

4. Nafar untuk kejut sahur - Maghribi

nafar

Semasa Ramadan, kawasan kejiranan Maghribi dijelajahi oleh nafar - seorang tukang kejut sahur yang memakai pakaian tradisional gandora, selipar dan topi, menandakan permulaan fajar dengan melodinya. Dipilih oleh penduduk bandar kerana kejujuran dan empatinya, nafar berjalan di jalan sambil meniup hon untuk membangunkan penduduk untuk sahur.

Tradisi ini, yang tersebar di seluruh Timur Tengah hingga Maghribi, bermula pada abad ketujuh, apabila seorang sahabat Nabi Muhammad akan berkeliaran di jalanan pada waktu subuh menyanyikan doa yang merdu. Apabila muzik nafar menyapu seluruh bandar, ia disambut dengan rasa syukur dan terima kasih, dan dia secara rasmi diberi pampasan oleh masyarakat pada malam terakhir Ramadan.

5. Seheriwalas (Tukang kejut sahur) - India

seheriwalas

Seheriwalas (atau zohridaars) Delhi adalah sebahagian daripada tradisi Muslim yang telah bertahan dan mewakili budaya dan warisan Mughal lama di bandar itu. Pada bulan Ramadan yang mulia, para seheriwala berjalan di jalan-jalan kota pada waktu pagi, sambil menyebut nama Allah dan Rasul, untuk menjadi panggilan bangun kepada umat Islam untuk sahur.

Mereka memulakan pusingan seawal 2.30 pagi dan sering membawa kayu atau rotan untuk mengetuk pintu dan dinding rumah. Tradisi ini semakin berkurangan namun amalan ini masih berleluasa di bandar Old Delhi yang mempunyai kadar populasi Muslim yang tinggi.

6. Fanous (tanglung berwarna-warni) - Mesir

mesir fanous

Setiap tahun, rakyat Mesir menyambut Ramadan dengan fanous berwarna-warni iaitu tanglung yang melambangkan perpaduan dan kegembiraan sepanjang bulan suci. Walaupun tradisi ini lebih kepada budaya daripada keagamaan, ia telah dikaitkan dengan bulan suci Ramadan.

Kisah tentang asal-usulnya berbeza-beza, tetapi kisah yang terkenal menyatakan kelahiran fanous pada satu malam semasa dinasti Fatimiyah, ketika orang Mesir menyambut Khalifah Al-Muʿizz li-Dīn Allah ketika beliau tiba di Kaherah pada hari pertama Ramadan.

Untuk menyediakan pintu masuk bercahaya untuknya, pegawai tentera mengarahkan penduduk tempatan untuk memegang lilin di jalan-jalan yang gelap, melindungi lilin tersebut dalam bingkai kayu untuk mengelakkannya daripada ditiup angin. Dari masa ke masa, struktur kayu ini muncul menjadi tanglung bercorak, dan kini dipamerkan di seluruh negara.

7. Persembahan ballad - Albania

ketukan ballad

Selama berabad-abad, ahli masyarakat Islam Roma, yang berasal dari Empayar Uthmaniyyah, telah mengumumkan permulaan dan akhir puasa dengan lagu tradisional.

Setiap hari untuk bulan Ramadan, mereka akan berarak turun naik di jalanan dengan bermain lodra, gendang buatan sendiri yang dilitupi kulit biri-biri atau kambing. Keluarga Islam selalunya akan menjemput mereka masuk ke dalam rumah mereka untuk bermain balada tradisional bagi meraikan permulaan berbuka puasa.

Kredit:

  1. The Culture Trip
  2. The Muslim Vibe



Hakcipta iluminasi.com (2017)