Sekiranya anda perhatikan tabiat ibu bapa atau atuk nenek anda yang berusia lanjut, anda akan mendapati wujud banyak perbezaan di antara bagaimana anda dan mereka hidup dalam pelbagai sudut.
Mereka sudah menjalani perubahan fizikal yang menyebabkan tubuh mereka semakin tidak berdaya, berbeza dengan kita yang mungkin lebih muda tetapi mereka nampak kurang terpengaruh dengan apa yang berlaku setiap hari - tak macam kita yang sibuk nak buat itu ini dalam mencari makna hidup kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa? Apakah perubahan yang akan berlaku apabila kita semakin berusia? Kenapa orang tua tampak lebih gembira, walaupun ada masanya kehidupan mereka sekadar ala kadar alah bisa tegal biasa.
1. Otak anda semakin mengecil
Kajian yang dijalankan mendapati organ otak kita akan semakin mengecil, bergantung pada tahap kesihatan seseorang. Semakin cepat otaknya mengecil, semakin mudah dia hilang memorinya dan keupayaan untuk mengingati sesuatu akan berkurangan. Proses pengecilan ini kebiasaannya bermula pada usi 60 ke 70 tahun seseorang individu.
2. Anda akan menjadi lebih rendah
Apabila sendi-sendi yang menyambungkan tulang-tulang anda semakin lemah, tinggi anda pun akan berkurangan dan perubahan ini boleh bermula pada usia 30 tahun sehinggalah 70 tahun. Lelaki secara purata akan merendah 1 inci dan perempuan pula akan mengecil 2 inci.
3. Wajah anda akan berubah
Perubahan pada wajah merupakan sesuatu yang tak dapat kita elakkan. Semua perubahan ini akan mula ketara pada usia 30 tahun apabila muka kita mula hilang kelembapan semulajadi, secara beransur-ansur. Ini akan menyebabkan semua tanda pada wajah mula kelihatan termasuklah di bahagian leher. Pada usia 40 tahun, kulit kita semakin mengering menyebabkan kedutan dan garis halus semakin terserlah - jadi rajin-rajinkan pakai pelembap kulit.
4. Lidah jadi kurang sensitif
Kenapa ada sesetengah individu semakin tua dia, semakin gemuk dia jadi? Ini kerana deria rasa pada lidahnya semakin berkurangan, menyebabkan dia akan menambahkan jumlah gula dan garam pada makanan - untuk membolehkan dia rasa makanan itu. Pada usia 60 tahun, separuh daripada deria pada lidah kita akan hilang menyebabkan banyak makanan dan minuman rasa tak sedap.
5. Badan jadi lembik
Kemampuan otot pada badan kita akan mula berkurangan bermula pada usia 30 tahun lagi. Masalah yang akan berlaku pada mereka yang tidak menjaga pemakanan dan kesihatan mereka apabila perkara ini berlaku, adalah otot-otot tadi akan mula digantikan dengan lapisan lemak menggeleber. Pada usia 75 tahun, secara puratanya jumlah lemak pada badan kita akan berada pada tahap dua kali ganda jumlah lemak kita pada usia muda.
6. Anda akan kurang diserang penyakit demam selesema
Walaupun penuaan membawa banyak kelemahan dan kekurangan pada kita, ada juga faedah yang akan berlaku pada kita. Kita tidak akan mudah kena penyakit demam selesema, disebabkan oleh kemampuan badan kita yang sudah matang. Bagi kaum wanita yang kerap menghidapi migrain pula, penyakit itu akan mula berkurangan kesannya dan majoriti wanita tidak lagi menghidap migrain selepas proses menopause.
7. Anda akan lebih bahagia
Proses penuaan merupakan satu paradoks yang sangat unik, kerana sudah terbukti semakin tua kita dan badan kita mula kehilangan kebolehannya sedikit demi sedikit - kita pula akan jadi semakin bahagia. Psikologi manusia ni unik sekali, semasa zaman kanak-kanak kita rasa seronok saja sepanjang masa sebelum zaman dewasa tiba, membuatkan kita sedar realiti hidup ni tak seindah mana.
Apabila kita semakin menua bermula pada usia 30 ke 35 tahun, sikit demi sikit kepuasan diri kita terhadap hidup akan kembali menyebabkan tahap mental kita lebih stabil dan seimbang. Kita rasa hidup lebih bermakna dan tenang menghadapi dugaan kita.