Otak adalah bahagian tubuh manusia yang luar biasa. Adalah dipercayai bahawa otak manusia boleh menjana kira-kira 23 watt kuasa elektrik, cukup untuk menyalakan mentol kecil. Walaupun terdapat beberapa fakta menakjubkan tentang otak, masih banyak yang masih kita cuba pelajari.
Maklumat yang salah dari masa lalu telah membawa kepada beberapa mitos tentang otak manusia. Kali ini, pihak Iluminasi ingin kongsikan pula senarai 7 mitos popular tentang otak manusia yang biasa kedengaran dalam masyarakat kita di Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Saiz Otak Mempengaruhi Kepintaran
Saiz sama sekali tidak mempengaruhi kepintaran apabila ia dikaitkan dengan otak manusia. Kecerdasan tidak ditentukan oleh saiz otak tetapi sebaliknya oleh sinaps, yang merupakan sambungan antara neuron dalam otak.
Beberapa kajian telah cuba menghubungkan individu yang lebih tinggi kepada saiz otak yang lebih besar. Data telah menunjukkan bahawa orang yang lebih tinggi mungkin mempunyai otak yang sedikit lebih besar daripada orang yang lebih pendek, tetapi itu tidak semestinya bermakna orang yang tinggi adalah lebih bijak.
2. Kita Hanya Menggunakan 10% daripada Otak Kita
Mitos umum tentang otak ialah kita hanya menggunakan sebahagian kecil daripada potensi otak. Anda mungkin pernah melihat beberapa filem yang memberi peluang kepada manusia untuk membuka potensi penuh otak mereka, tetapi ini hanyalah fiksyen.
Sebenarnya kita sentiasa menggunakan lebih daripada 10% otak kita. Mitos ini biasanya digunakan oleh guru dan penceramah motivasi untuk menggalakkan pendegar berminat dengan ilmu yang disampaikan tetapi mitos 10% ini tidak lebih daripada mitos yang mungkin wujud sejak awal 1900-an.
3. Permainan Otak Meningkatkan Kemahiran Ingatan dan Penaakulan
Permainan latihan otak mungkin menyeronokkan untuk dimainkan, tetapi terdapat sedikit bukti yang menunjukkan ia meningkatkan ingatan atau kecerdasan. Permainan ini telah muncul sebagai salah satu cara terbaru dan menghiburkan untuk mengasah otak anda dan diiklankan untuk memberi pengguna pelbagai manfaat otak.
Terdapat banyak perdebatan tentang sama ada permainan otak ini menawarkan peningkatan kuasa otak kepada pengguna. Dalam laporan konsensus oleh Stanford Center on Longevity, mereka mendapati bahawa permainan otak tidak menunjukkan bukti peningkatan dalam kebolehan kognitif.
Dakwaan-dakwaan ini mungkin dibuat oleh pembangun permainan tersebut untuk melariskan jualan permainan tersebut.
4. Orang Otak Kiri dan Otak Kanan Berbeza
Setiap orang mempunyai bakat dan personaliti yang berbeza, tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan perbezaan ini disebabkan oleh penguasaan separuh daripada otak. Bahagian kanan dan kiri otak memang pakar dalam tugas yang berbeza.
Bahagian kanan lebih kreatif, manakala bahagian kiri lebih analitikal. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Utah pada tahun 2013 tidak menemui bukti bahawa manusia mempunyai bahagian otak yang dominan. Bacaan ebih lanjut di artikel lama kami : Mitos otak dominan kiri kanan
5. Otak Berfungsi Lebih Baik Di Bawah Tekanan
Anda mungkin percaya bahawa anda bekerja lebih baik di bawah tekanan, tetapi adakah dakwaan ini benar? Tekanan untuk menyiapkan kerja sebelum tarikh hantar mungkin mendorong anda untuk melakukan lebih banyak kerja, tetapi itu tidak semestinya bermakna ia akan menghasilkan prestasi yang lebih baik daripada otak anda.
Sebaliknya, tekanan boleh "menekan" otak manusia, mengakibatkan tugas-tugas yang tidak dilaksanakan dengan betul. Kajian telah menunjukkan bahawa tekanan mewujudkan persekitaran yang lebih sukar untuk otak anda berfungsi, yang mengganggu keupayaan otak untuk belajar dan menterjemah idea kepada maklumat yang bermakna.
Kajian ini telah menunjukkan bahawa orang yang suka berlengah-lengah menyiapkan kerja cenderung membuat lebih banyak kesilapan berbanding orang yang bekerja pada skala masa yang lebih panjang.
6. IQ Kekal Sama Sepanjang Hayat
IQ seseorang berkemungkinan akan naik dan turun apabila mereka berumur, membuktikan bahawa IQ mereka tidak akan kekal sepanjang hayat mereka. Keupayaan kita untuk mengingat kembali maklumat akan memuncak pada usia 18 tahun, tetapi kecerdasan emosi mungkin bertambah baik sehingga umur 30 tahun.
Kajian menunjukkan bahawa pengalaman hidup kita dan pengalaman berkaitan mengubah cara otak kita berfungsi dan boleh menyumbang kepada skor IQ yang berubah-ubah ini.
7. Bayi Yang Mendengar Muzik Klasik Lebih Bijak
"Mozart Effect" hanyalah satu lagi mitos yang cukup popular selama bertahun-tahun lamanya. Mitos itu mengatakan bahawa bayi yang mendengar Mozart atau muzik klasik lain boleh meningkatkan kecerdasan mereka. Wanita hamil telah diketahui memainkan Mozart dengan kuat atau menekan fon kepala dengan ketat ke perut mereka untuk didengari oleh bayi.
Malangnya, tiada bukti sahih untuk menyokong kaedah ini. Pada tahun 1993, kajian kecil (36 pelajar) menunjukkan bahawa pelajar kolej yang mendengar Mozart menunjukkan peningkatan dalam penaakulan khas. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan sebarang peningkatan akan dilihat pada kanak-kanak atau bayi yang belum lahir
Kredit: