Sejak kemunculan papan kekunci yang lebih sensitif dan lebih kecil saiznya, masyarakat dunia kini tidak terlepas daripada melakukan kesalahan tipografi semasa menaip atau lebih dikenali sebagai "typo."
Bagi pengguna media sosial, sudah menjadi lumrah sesetengah individu 'tersalah tekan' semasa menaip dengan laju apabila berbual dengan rakan-rakan di Whatsapp atau memuat naik hantaran ke akaun Facebook. Jika tersalah eja sekalipun, ia hanya sekadar suka-suka dan anda masih mampu bergelak ketawa dengan rakan-rakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, apabila typo yang terjadi melibatkan urusan rasmi atau berkaitan dengan individu berprofil tinggi, ia boleh menjatuhkan maruah dan menunjukkan tahap ketelitian seseorang menyempurnakan tugas mereka.
Presiden Donald Trump pernah membingungkan seluruh dunia dengan hantaran Twitter di tengah malam mengandungi perkataan "covfefe" yang telah menjadi satu fenomena sehingga penggunaannya diharamkan oleh sebuah universiti.
Di negara kita sendiri misalnya, pihak Kementerian Kewangan pernah dilanda kontroversi kerana membuat kesilapan titik perpuluhan semasa mengumumkan baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM1.486 bilion. Namun, nilai sebenarnya hanyalah RM148.6 juta. Ramai yang mengatakan kesalahan sedemikian tidak boleh diterima kerana ia berkaitan kenyataan rasmi negara dan seharusnya melepasi tapisan semakan oleh beberapa pegawai terlebih dahulu sebelum diluluskan.
Dalam satu artikel berkaitan kesilapan tipografi yang kami pernah kongsi sebelum ini, empat buah organisasi turut kerugian jutaan ringgit disebabkan kesalahan yang hampir serupa. Kali ini, kami senaraikan pula kejadian typo paling tidak munasabah yang membabitkan individu dan syarikat berprofil tinggi:
1. Presiden FIFA vs Kerajaan Afrika Selatan
Selepas Presiden FIFA Joseph "Sepp" Blatter memberikan penghormatan pada Afrika Selatan untuk menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia 2010, mereka telah memutuskan untuk memberikan anugerah kepada Presiden tersebut sebagai tanda terima kasih. Kerajaan Afrika Selatan mengurniakan kepadanya anugerah yang dikenali sebagai "Order of the Companions of O R Tambo."
Walau bagaimanapun, ketika hari penganugerahan, para penonton tidak memberikan tepukan gemuruh malah berasa geli hati semasa pengumuman namanya dibuat.
Rupa-rupanya, gaya kepimpinan Blatter telah mewujudkan beberapa musuh yang bersifat pasif-agresif. Perosak Internet dengan niat jahat telah mengedit maklumat berkaitan Blatter di laman Wikipedia. Disebabkan tidak begitu banyak maklumat dalam talian yang boleh dicari mengenai presiden tersebut, maka para pegawai kerajaan Afrika Selatan terus menyalin dan menggunakan nama penuhnya dari laman tersebut untuk digunakan pada hari bersejarah itu.
Begitulah kisah pedih bagaimana kerajaan Afrika Selatan telah memberikan sebuah anugerah berprestij kepada Joseph "Sepp Bellend" Blatter. Perkataan "Bellend" yang ditambah itu sebenarnya merupakan terma slanga bagi istilah "zakar" di banyak tempat di seluruh dunia dan sudah semestinya bukan nama tengah Presiden FIFA itu. (Sumber)
2. Penasihat Kanan Komunikasi Presiden Barack Obama
Penggunaan media sosial amat berisiko bagi individu berprofil tinggi kerana ia kebiasaannya boleh dilihat oleh seluruh dunia serta berpotensi untuk ditularkan jika tercetusnya sebarang kontroversi. Apabila tular, berita itu akan terus kekal berlegar di Internet buat selama-lamanya dan amat sukar dipadam.
Pada 8 Oktober 2013 misalnya, Dan Pfeiffer iaitu Penasihat Kanan Strategi dan Komunikasi bagi Presiden berkulit hitam pertama Amerika Syarikat iaitu Barack Obama sedang berbincang mengenai politik dengan beberapa pengikut Twitternya. Setelah beberapa balasan dan hantaran dibuat berkaitan polarisasi politik, Pfeiffer ingin memberikan respons dengan menulis "also a much bigger factor on the right."
Malangnya, jari Pfeiffer tidak sengaja tertekan butang "n" menggantikan huruf "b" dalam perkataan "bigger." Dia telah membuat hantaran kepada pengikutnya yang ramai dan tidak menyedari kesalahan berbaur rasis tersebut. Setelah ditegur, barulah dia tersedar dan mengaku bahawa ia adalah kesalahan tipografi yang jelas sangat dahsyat. Sebagai Penasihat Kanan Komunikasi bagi seorang Presiden berkulit hitam, kejadian itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan Pfeiffer. (Sumber)
3. Kamus Bahasa Inggeris
Di Amerika Syarikat, pelajar yang berbahasa Inggeris di sana kebiasaannya merujuk kepada Kamus Webster untuk mengetahui makna sesuatu perkataan. Kamus tebal ini telahpun digunakan di negara tersebut selama berpuluh tahun lamanya kerana ketelusannya yang amat dipercayai.
Namun demikian, dalam Kamus Antarabangsa Baru Webster (edisi kedua) yang diterbitkan pada tahun 1934 telah menyenaraikan sepatah perkataan baru iaitu "Dord" yang memberi makna "density" atau ketumpatan.
Rupa-rupanya, ketika fasa penyelidikan penyiapan kamus tersebut, sekeping kad indeks kecil yang tertulis "D or d, cont/ density" telah disalah tafsir oleh kesemua pegawai yang terlibat.
Pengunaan sistem yang sangat cermat untuk menandakan bahawa ia adalah sejenis singkatan bagi ketumpatan telah gagal, terutama sekali kerana melibatkan penjarakan cetakan. Akhirnya, singakatan "D or d" tersebut dihimpun menjadi rapat dan tersenarai di dalam kamus sebagai perkataan.
Perkataan mengarut itu kemudian kekal berada dalam kamus kepercayaan orang ramai untuk beberapa tahun berikutnya sebelum disedari. (Sumber)
4. Syarikat Jepun tergadai
Dunia perdagangan saham ada pada masanya boleh menjadi amat mengelirukan. Ia melibatkan terlalu banyak nombor dan digit di mana ramai orang membeli dan menjual serta kiraan keuntungan atau kerugian. Dalam erti kata lain, jika anda berada dalam bidang ini, anda mungkin ingin memeriksa dan menyemak setiap maklumat sehingga tiga atau empat kali untuk memastikan ia adalah benar.
Malang bagi sebuah firma saham Jepun iaitu Mizuho Securities kerana para eksekutifnya tidak sengaja melakukan kesilapan besar semasa syarikat baru di bawahnya, J-Com Co., mula tersenarai. Setiap unit saham syarikat tersebut sepatutnya dijual pada harga 610,000 yen. Sebaliknya, mereka telah menjual sebanyak 610,000 unit saham (41 kali lebih banyak daripada jumlah saham sebenar) pada harga 1 yen setiap satu.
Setelah menyedari kesilapan yang dilakukan, mereka cuba membatalkan transaksi sebanyak tiga kali namun peraturan Bursa Saham Tokyo menyatakan "segala urusan jualan adalah muktamad." Maka, mereka tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya duduk menunggu dengan pasrah kerana telah 'menyerahkan' syarikat itu bulat-bulat. Tidak cukup terseksa sedemikian, mereka perlu membayar pula nilai saham lebihan yang tidak wujud berjumlah $225 juta kepada para pembeli. (Sumber)
5. Bayam kegemaran Popeye
Hampir semua orang tahu bahawa sayuran hijau terutamanya bayam merupakan sejenis makanan yang sangat berkhasiat. Dari kita kecil sehinggalah meningkat dewasa, ramai orang mendakwa bayam adalah makanan ajaib. Malah, satu animasi terkenal di dunia iaitu "Popeye" juga menggunakan bayam sebagai senjata rahsia untuk mendapatkan kuasa luar biasa.
Namun, tahukah anda, kepercayaan bahawa dedaun hijau ini mempunyai khasiat yang jauh lebih tinggi berbanding makanan lain sebenarnya adalah sebuah cerita palsu? Salah faham mengenai khasiat ajaib bayam bermula pada tahun 1870 apabila seorang ahli kimia Jerman bernama Erich von Wolf membuat penyelidikan tentang kandungan nutrisi makanan berlainan, termasuk sayur bayam.
Semasa menguji kandungan zat besi, dia telah tersilap meletakkan titik perpuluhan bagi bayam. Nilai sebenar iaitu 3.5 gram telah naik mengejut menjadi 35 gram. 'Penemuan' Erich ini telah dipercayai warga seluruh dunia sehingga tahun 1937 apabila kesalahan Erich itu telah dikenal pasti. Para saintis cuba membetulkan fakta sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap bayam, namun populariti watak Popeye yang mendapat kuasa superpower melalui bayam telah mengaburi mata semua orang selama zaman-berzaman. (Sumber)
6. Vatican dan Jesus
Pada tahun 2013, pihak Vatican ingin memperingati hari bersejarah Pope Francis mula menjadi paus. Jadi, mereka telah mengarahkan syarikat pengeluar syiling dan logam berharga, Italian Mint untuk menghasilkan satu siri syiling emas, perak dan gangsa. Token-token kecil ini memaparkan imej Jesus dan mengandungi frasa Latin yang diminati paus baru.
Syiling-syiling ini berjaya dijual di Dataran St. Peter, namun jualan hanya berlangsung selama kira-kira lima minit sahaja. Hal ini disebabkan mereka mula menyedari berlaku kesilapan yang amat dahsyat pada syiling-syiling yang dihasilkan.
Walaupun frasa Latin yang ditulis mengandungi pelbagai huruf kompleks dan pelik, ia dicetak dalam keadaan sempurna. Walau bagaimanapun, satu-satunya perkataan dengan ejaan yang salah adalah "Jesus." Sebanyak 6,200 keping syiling yang dikeluarkan itu mengandungi nama tokoh Kristian yang paling dihormati yang dieja sebagai "Lesus."
Apa yang lebih mengejutkan, tidak ada seorang pun wakil Vatican yang menyedari kesilapan ini. Mereka memulakan penjualan pada hari tersebut dan sebanyak empat unit syiling telah terjual sebelum perkara ini terbongkar. Dilaporkan harga keempat-empat syiling tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi pada masa kini. (Sumber)
7. Google terpadam Internet
Tiada siapa dapat menyangkal bahawa Google adalah sebuah enjin carian yang sangat hebat. Dengan berbilion jumlah carian serta perlindungan keselamatan daripada mengakses ke laman web berbahaya, ia merupakan sebuah perkhidmatan mega yang digunakan pelbagai lapisan manusia di seluruh dunia. Namun, ia tidaklah sesempurna yang kita sangkakan. Adakalanya, bebanan kerja seorang pemprogram di Google untuk menapis dan memantau jutaan kandungan-kandungan baru di Internet boleh menyebabkan mereka kehilangan fokus.
Pada pagi 31 Januari 2009, semasa mengemas kini senarai laman web berbahaya yang perlu disekat, seorang pekerja Google secara tidak sengaja telah menyenaraihitamkan "/" sebagai salah satu laman web. Jika anda memahami Internet, sudah pasti anda sedar bahawa hampir kesemua laman web yang wujud di dunia mengandungi simbol garis condong ini.
Hasilnya, selama hampir sejam Internet 'terhenti' kerana sekatan keselamatan Google terhadap kesemua laman, termasuklah Google sendiri. Para pengguna dipaksa berpatah kembali apabila menerima skrin amaran dan akan terus menemui laman yang disekat sekiranya mereka memilih untuk meneruskan pelayaran.
Dalam tempoh sejam tersebut, manusia telah kembali hidup dalam zaman tanpa Internet. (Sumber)