Pisang dikenali sebagai sejenis buah yang mudah didapati dan agak murah harganya. Ia tidak bermusim, boleh dijumpai sepanjang tahun dan cara memakannya juga paling mudah : tidak perlu dikupas dan dikopek seperti buah-buahan lain. Jadi tidak hairanlah pisang ditanam secara komersial di lebih 107 buah negara dan rakyat Malaysia juga lebih banyak makan pisang berbanding buah-buahan lain.

Walaupun anda makan banyak pisang namun adakah anda tahu khasiat sebenar di sebalik buah berwarna kuning ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut Megan Ware, seorang pakar nutrisi dari Nutrition Awareness, berikut 7 khasiat dan nutrisi yang sering dikaitkan dengan pisang.

#1 Tekanan darah

tekanan darah diperbaiki dengan pisang

Mengekalkan pengambilan sodium yang rendah adalah penting untuk mengurangkan tekanan darah. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan berpotasium tinggi seperti pisang juga adalah penting untuk kesan vasolidasi jangka panjang. Menurut satu survey oleh Pemeriksa Kesihatan dan Pemakanan Amerika, kurang dari 2% sahaja orang dewasa yang mengambil dos potasium harian sebanyak 4700 mg yang disyorkan.

Kajian mendapati diet dengan pengambilan potasium yang tinggi akan mengurangkan 20% risiko kematian disebabkan semua penyakit.

#2 Asma / Penyakit Lelah

kanak kanak boleh makan pisang untuk mencegah asma atau lelah 778

Satu kajian oleh Imperial College of London telah mendapati kanak-kanak yang memakan satu biji pisang setiap hari akan mengurangkan risiko sebanyak 34% untuk mendapat penyakit asma.

#3 Kanser

pisang mengurangkan risiko kanser

Mengambil pisang, oren dan jus oren semasa dua tahun pertama kelahiran akan mengurangkan risiko leukimia pada kanak-kanak. Sebagai salah satu sumber yang kaya dengan vitamin C, pisang membantu mencegah pembentukan radikal bebas yang menyebabkan kanser.

Selain itu, pengambilan makanan berserat tinggi seperti pisang juga mengurangkan risiko mendapat kanser kolorektal.

#4 Kesihatan jantung

pisang mengurangkan risiko pelbagai penyakit

Menurut Mark Houston, seorang professor klinikal dan perubatan dari Vanderbilt Medical School, serat, potasium, vitamin C dan B6 dalam pisang membantu kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Satu kajian mendapati individu yang makan 4069 mg potasium setiap hari telah mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung iskemik pada kadar 49% berbanding mereka yang hanya mengambil 1000 mg potasium.

Kandungan potasium dalam pisang juga merendahkan risiko strok, memelihara tubuh daripada kehilangan jisim otot, penjagaan kepadatan mineral tulang dan mencegah pembentukan batu karang.

#5 Diabetes

pisang membantu pesakit diabetes

Kajian mendapati individu yang ada penyakit kencing manis Tahap 1 dan mengambil pemakanan tinggi serat akhirnya mempunyai tahap glukos yang rendah. Manakala pesakit diabetes tahap 2 pula memperbaiki kandungan gula, lipid dan tahap insulin.

Satu biji pisang saiz sederhana mengandungi 3 gram serat. Pengambilan serat yang disyorkan setiap hari adalah lebih kurang 21-25 gm untuk wanita dan 30-38 gm bagi orang lelaki.

#6 Cirit-birit

cirit birit boleh dikurangkan dengan makan pisang

Makanan lembut seperti sos epal dan pisang disyorkan untuk merawat cirit-birit. Kehilangan elektrolit seperti potasium semasa cirit-birit membuatkan seseorang berasa sangat lemah. Pisang dapat membantu menambahkan potasium dalam badan dan memperbaiki kesihatan pesakit yang menghidapinya.

#7 Memperbaiki memori dan daya ingatan

Pisang mengandungi triptofan, sejenis asid amino yang dikaitkan dengan menguatkan daya ingatan dan memperbaiki mood atau angin anda.

makan pisang baik untuk kesihatan

Namun, sila berhati-hati dengan pengambilan pisang yang keterlaluan. Sebagai contoh, sekiranya anda telah dipreskripsikan dengan ubat seperti Beta-Blocker untuk penyakit jantung, anda perlu mengurangkan makan pisang kerana ubat ini sendiri memberi kesan dengan meningkatkan kadar potasium. 

Selain itu, pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang juga tidak disarankan untuk mengambil terlalu banyak pisang. Ini kerana buah pinggang mereka mungkin tidak dapat membuang lebihan potasium dalam badan dan ini membahayakan pesakit.

Apa-apa pun, makan biarlah berpada-pada. Senarai yang diberi ini cuma panduan untuk kesihatan secara umum. 

Jika anda ada apa-apa penyakit atau masalah kesihatan, sila rujuk dulu dengan doktor atau pakar pemakanan anda untuk jenis diet yang lebih spesifik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)