Nama Neelofa memang tidak asing di kalangan peminat industri hiburan dan perniagaan negara kita.
Mula dikenali sebagai peragawati selepas memenangi pertandingan Dewi Remaja tahun 2010, rezeki Neelofa berkembang selepas dia diambil sebagai pelakon utama filem 'Azura 2012', walaupun pada ketika itu bakatnya sebagai pelakon filem belum benar-benar teruji. Selepas lebih satu dekad, perjalanan karier Neelofa seringkali terpalit dengan bermacam kontroversi sehinggakan dia dicop 'selebriti kontroversi.'
BESARKAN TEKS A- A+
Wajarkah label itu diletakkan kepadanya atau dia sering dijadikan mangsa situasi? Berikut adalah lima kontroversi terbesar melibatkan ahli perniagaan terkenal ini untuk anda hakimi sendiri.
1. Diserang Maria Farida semasa permulaan karier
Kontroversi terawal melibatkan gadis dari Kelantan ini adalah apabila pelakon Maria Farida dikatakan terpaksa melakukan panggilan demi panggilan untuk merayu agar Neelofa tidak mengganggu teman lelakinya ketika itu, aktor Shah Jaszle pelakon utama filem 'Azura 2011' bersama Neelofa.
Permintaan Maria Farida didedahkan sendiri oleh Neelofa dalam temubual bersama media. Walaupun pada awalnya menafikan desas-desus itu, akhirnya media hiburan melaporkan terputusnya hubungan cinta antara kedua-duanya disebabkan wujud kebenaran berkenaan dakwaan yang dinyatakan.
Seorang wartawan hiburan terkenal negara memberitahu Maria Farida menerima SMS yang dihantar Shahz, meminta untuk diputuskan hubungan.
Gosip ini bagaimanapun tidak ke mana-mana kisahnya, tetapi kisah ini menjadi detik Neelofa mula perlu berdepan bermacam tuduhan kepada dirinya selepas kian dikenali dan menjadi kegilaan ramai jejaka tempatan.
2. Produk susu pisang dijaja sebagai minuman kesihatan mujarab
Masalah 'overclaim' keberkesanan sesuatu produk memang kerap kerlaku di kalangan usahawan tempatan kita termasuklah produk Neelofa sendiri selepas pelancaran produk susu pisang miliknya.
Dalam risalah yang diedarkan, susu pisang dibawah jenama 'Nilofa' dikatakan 'mampu membuang toksik dalam badan, membantu menguatkan tulang dan otot, mengurangkan kadar obesiti seseorang, merendahkan tekanan darah, melancarkan pengeluaran insulin, membantu peredaran oksigen dan meningkatkan kadar metabolisme.'
Selepas mendapat kritikan pakar perubatan serta orang ramai terhadap kebenaran dakwaan produk tersebut yang dikatakan mengelirukan pengguna, Neelofa memperjelaskan risalah dan skrip yang tular itu dibuat bukan oleh syarikat induk miliknya, sebaliknya disediakan oleh ejen atau stokis untuk jualan.
Beliau memohon maaf dan berjanji akan memastikan strategi pemasaran produknya akan dipantau dengan lebih baik.
3. Hubungan Neelofa, Fazura dan Fattah Amin
Salah satu gosip paling hangat dibincangkan oleh peminat industri hiburan kita tak lama dahulu, adalah hubungan cinta tiga segi antara Neelofa dan Fazura yang didakwa saling berebut sesama mereka untuk mengisi hati pelakon kacak Fattah Amin.
Sama ada betul atau tak, penulis tak tahu lah. Hanya mereka yang tahu.
Neelofa dan Fattah Amin didakwa mula menjalinkan hubungan selepas sama-sama membintangi siri drama Suri Hati Mr. Pilot. Walaupun kedua-dua pihak menafikan dakwaan tersebut, peminat setia kedua-dua selebriti ini seakan-akan menyokong serta mendoakan mereka agar benar-benar bersama.
Persoalan peminat mula terjawab selepas Neelofa mengakui hubungan dia dan pelakon lelaki itu telah retak, disebabkan oleh campur tangan pihak ketiga - pada awalnya dikatakan berpunca daripada seorang pelakon berdarah campuran.
Akhirnya pada penghujung tahun 2017, Fattah Amin dan Fazura melangsungkan pernikahan mengakibatkan banyak pihak mula mengusik Neelofa secara terbuka.
Neelofa berjaya mengawal situasi dengan baik, sempat mengucapkan tahniah lagi kepada kedua mempelai dan bersikap matang dalam menangani spekulasi orang ramai yang seperti mahu 'memadankan muka' beliau.
Bagaimanapun, di kalangan peminat Neelofa pula ramai yang seakan marah dengan Fazura kerana telah merampas impian mereka mahu melihat kedua-duanya disatukan.
Gosip ini diingati kerana dalam masa yang sama, Fattah Amin turut menerbitkan sebuah lagu berjudul 'Wanita Terakhir' yang dikatakan ditujukan kepada Neelofa. Kita tak tahu kebenarannya tetapi jelas, lagu tu tak sedap.
4. Berulang kali langgar SOP
Sepanjang zaman PKP berlangsung, nama Neelofa mula sinonim dengan isu pelanggaran SOP. Lebih malang, isu melibatkan dirinya turut sama mengakibatkan sentimen negatif mula dihamburkan kepada individu lain, seperti Menteri Agama kita sendiri.
Semuanya bermula daripada majlis pernikahan Neelofa dan suaminya, Haris Ismail yang didakwa melanggar arahan penjarakan sosial di kalangan hadirin. Disebabkan majlis itu, Neelofa didenda RM20,000 sementara suaminya RM10,000.
20 orang ahli keluarga mereka turut didenda RM1,500 setiap seorang menjadikan jumlah kompaun yang perlu dibayar sebanyak RM60,000.
Belum reda kontroversi, Neelofa dan Haris dilapor berada di Langkawi ekoran gambar-gambar yang dikongsikan - mengakibatkan pihak polis mula dijadikan sasaran orang ramai yang pelik bagaimana kebenaran rentas negeri dikeluarkan dipercayai untuk berbulan madu.
Menjawab isu ini, Neelofa memberitahu dia dan suaminya mendapat kebenaran khas rentas negeri ekoran kerjasama dengan pihak Chatime, bagi meninjau lokasi sesuai pembukaan cawangan-cawangan baru di zon utara.
Lebih malang bagi pasangan pengantin baru itu, Neelofa dan suaminya sekali lagi menimbulkan spekulasi selepas gambar mereka berdua didapati hadir ke Nilai, Negeri Sembilan untuk membeli permaidani.
Seorang pekerja kedai permaidani mendedahkan pasangan tersebut telah membelanjakan lebih RM10,000 untuk mendapatkan 3 helai permaidani import. Kes ini masih dalam siasatan.
5. Lancar tudung Muslimah di kelab malam
Selepas bergelar usahawan berjaya serta mempunyai jenama busana sendiri, Neelofa tersilap langkah memilih untuk melancarkan koleksi hijab terbaru keluaran syarikat beliau di sebuah kelab malam terkenal.
Tindakan yang harus diakui kurang sopan ini, mengundang kecaman masyarakat khasnya mereka yang terkilan dengan apa yang berlaku. Apatah lagi apabila melibatkan usahawan wanita beragama Islam melancarkan hijab kegunaan Muslimah keluarannya.
Dikritik teruk, Neelofa pada awalnya memilih untuk mempertahankan diri dengan mengatakan kos penyewaan lokasi ditempat lain berkemungkinan besar akan memakan belanja 8 kali lebih tinggi.
Kontroversi ini menjadi sangat besar sehinggakan Mufti Wilayah (ketika itu) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan warkah terbuka sebagai teguran kepada usahawan tersebut, bagi memperjelaskan kesilapan yang telah dilakukannya.
Tidak lama selepas itu, Neelofa akhirnya melakukan permohonan maaf dan berjanji akan memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Apa yang jelas, sekiranya anda mengikuti perjalanan karier Neelofa dari awal sehingga sekarang - harus diakui pengalaman beliau menangani kontroversi semakin lama semakin baik.
Dia memang banyak dihimpit kontroversi tetapi dalam masa yang sama, dia juga tidak malu untuk mengakui kesilapan serta melakukan permohonan maaf secara terbuka. Untuk itu, penulis memuji keikhlasan beliau.
Namun harus diakui apabila sudah bergelar seorang selebriti dan usahawan berjaya, apa saja langkah yang dibuat Neelofa haruslah diperhalusi dengan sempurna kerana di luar sana, ramai yang akan gembira melihat dirinya jatuh.
Kita sebagai orang luar memang cukup gemar untuk membesar-besarkan sesuatu apatah lagi apabila melibatkan ikon usahawan seperti Neelofa.
Kami tidak tahu apa penjelasan kenapa Neelofa seringkali dijadikan sasaran, sedangkan lebih ramai selebriti atau artis di luar sana yang gemar mencari publisiti murahan dengan cara murahan.
Mungkin kerana dia usahawan berjaya, berkemampuan dan hartawan. Mungkin juga kerana dia berasal dari Kelantan.