Nampak sahaja jenama Nintendo pastinya kita sudah membayangkan konsol Gameboy dan Nintendo DS dan juga permainan video popularnya seperti Super Mario. Sejarah kewujudan syarikat Nintendo bermula seawal tahun 1889 lagi di Kyoto, Jepun. Diasaskan oleh Fusajiro Yamauchi, syarikat ini kemudian diserahkan kepada cucunya, Hiroshi Yamauchi setelah kematiannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Menariknya, syarikat ini asalnya bukanlah penghasil permainan video sebaliknya menghasil dan menjual permainan kad. Sebelum menjadi kuasa besar permainan video konsol, syarikat Nintendo juga pernah menjual beberapa produk lain yang langsung tiada kaitan dengan permainan video.
1. Permainan Kad
Antara produk terawal Nintendo adalah permainan kad dan antara pelanggan utamanya adalah kumpulan gangster Yakuza. Nintendo membekalkan permainan kad yang digunakan oleh kumpulan Yakuza ini untuk permainan judi kasino-kasino milik mereka.
Nintendo mendominasi sebagai pengeluar permainan kad di Jepun pada ketika itu dan telah diberikan kontrak untuk menghasilkan permainan kad rasmi di Disney pada tahun 1959.
Walau bagaimanapun, lawatan Hiroshi ke sebuah syarikat permainan kad terbesar di Amerika Syarikat pada tahun 1956 mengubah segalanya. Beliau terkejut apabila mendapati syarikat tersebut hanya beroperasi daripada sebuah pejabat kecil dan beliau mula memikirkan tentang survival syarikatnya untuk jangka masa panjang. Beliau beranggapan bahawa dunia permainan kad ini tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang dan mula mencari idea produk-produk baru untuk syarikatnya pada masa hadapan.
2. Nasi Segera
Jepun sememangnya terkenal dengan makanan mi segera. Contoh jenama mi segera yang ada di Malaysia adalah Maggi yang begitu sinonim dengan setiap rakyat Malaysia. Hiroshi berpendapat sekiranya rakyat Jepun sangat menggemari makanan mi segera, mereka sudah tentu akan menyukai ideanya, nasi segera.
Malangnya, tanggapannya silap sama sekali. Nasi segeranya tidak mendapat perhatian rakyat Jepun dan syarikatnya mengalami kerugian besar akibat produk baru ini. Antara sebab kegagalannya adalah kerana Hiroshi tidak mengetahui bahawa nasi segera bukanlah idea yang baru dan telah lama dipasarkan oleh syarikat lain.
3. Permainan Blok
Permainan blok bagi kanak-kanak sememangnya sinonim dengan jenama LEGO. Sebelum menghasilkan permainan video, Nintendo telah cuba menghasilkan pelbagai permainan kanak-kanak antaranya permainan berbentuk blok seperti LEGO. Malangnya, Nintendo tidak cukup inovatif dalam hal ini.
Permainan blok Nintendo yang diberi nama N&B ini boleh dikatakan meniru 100% rekabentuk LEGO. Hanya yang membezakan N&B dan LEGO adalah rekabentuk tapaknya yang berbentuk separa bulat berbanding bulat di LEGO. Sedikit perubahan ini dilakukan oleh pihak Nintendo untuk mengelakkan mereka disaman oleh pihak LEGO. Malangnya, rekabentuk sebegitu menyebabkan binaan yang dibina menggunakan blok N&B mudah runtuh menyebabkan ramai orang tidak menggemarinya.
4. Pembersih Vacuum
Vacuum? Ya, Nintendo pada suatu ketika dahulu pernah menjual pembersih vacuum. Menariknya, ianya bukan vacuum yang biasa sebaliknya didatangkan dengan alat kawalan jauh dimana pengguna boleh mengawalnya dari jauh. Produk ini diberi nama Nintendo Chiritori.
Sekiranya anda rasakan vacuum jenama Roomba adalah sesuatu yang baru, sebenarnya Nintendo terlebih dahulu telah mencipta konsep robot vacuum sebegini. Malangnya, produk ini tidak mencapai ekspektasi pengguna. Ramai pengguna melaporkan ianya tidak mampu menyedut habuk dengan begitu berkesan. Produk ini akhirnya menerima nasib yang sama sepertimana produk-produk Nintendo lain yang gagal.
5. Alat kelengkapan pejabat
Menjelang tahun 1970-an, Nintendo juga mempunyai pasukan khas untuk menjual barang-barang kelengkapan pejabat. Antara produk yang dijual termasuklah jam dinding, kertas, rak buku dan sebagainya.
Antara produk utamanya adalah mesin fotostat yang diberi nama Nintendo Copilas. Ianya dihasilkan untuk menyayingi jenama mesin fotostat Xerox yang popular pada ketika itu pada harga yang jauh lebih murah. Malangnya, mesin fotostat ini tidak digemari pengguna kerana ianya lebih mudah rosak.
Kredit: