Drone adalah salah satu peranti hasil daripada teknologi canggih yang memberikan banyak manfaat kepada manusia. Namun, ia juga telah disalahgunakan oleh segilintir pihak untuk tujuan lain.

Ia boleh menyebabkan panik pada hari ini dengan mengintip ke rumah-rumah, terbang ke udara tanpa amaran dan boleh digunakan dalam aktiviti pengganas.

Dalam beberapa tahun yang lalu, peminat dan pengendali drone telah menerbangkan peranti mereka ini masuk ke dalam kawasan lapangan terbang, menghalang landasan dan menyebabkan pesawat gagal untuk berlepas atau mendarat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

drone mengganggu pesawat 820

Akibatnya, penerbangan akan ditangguhkan atau dibatalkan, dan pesawat yang dijadualkan mendarat terpaksa berlegar-legar di ruang udara untuk tempoh tertentu.

Dan ini menyebabkan banyak masalah termasuklah kerugian yang tinggi dan penumpang terkandas.

iluminasi.com kongsikan 6 kisah drone membuatkan lapangan terbang terpaksa ditutup.

1. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai - Emiriah Arab Bersatu

lapangan terbang antarabangsa dubai

Pada bulan Jun 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai telah ditutup selama lebih kurang sejam selepas drone awam dilihat berlegar-legar di udara.

Sekurang-kurangnya 21 penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain sepanjang penutupan berlangsung.

Tepat dua tahun sebelum itu, ruang udara lapangan terbang ini ditutup selama 69 minit apabila satu drone penyangak juga kelihatan terbang di sekitar kawasan itu.

22 penerbangan telah dialihkan semasa penutupan dan ia bukan satu-satunya kes di mana drone telah mengganggu operasi di lapangan terbang pada tahun itu.

Memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai adalah yang paling sibuk di dunia bagi perjalanan antarabangsa, penutupan tersebut adalah satu mimpi buruk logistik dan menyebakan kerugian yang sangat tinggi.

Lapangan terbang ini kerugian hampir RM400,000 untuk setiap minit yang ditutup akibat drone-drone tersebut.

Penutupan berkaitan dengan drone yang dialami sepanjang tahun 2016 menyebabkan jumlah kerugian sebanyak RM69 juta kepada lapangan terbang ini.

Drone adalah satu masalah yang menyebabkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Umum mengisytiharkan bahawa lapangan terbang adalah salah satu daripada empat kawasan dalam negara di mana drone tidak dibenarkan.

Larangan itu adalah akibat daripada penutupan pada 2017 dan diluluskan hanya dua bulan sebelum penutupan bulan Jun 2018.

2. Lapangan Terbang Heathrow - United Kingdom

lapangan terbang heathrow 503

Pada bulan Mei 2017, pesawat-pesawat telah dialihkan dari Lapangan Terbang Heathrow di London selepas dua drone terbang ke ruang udaranya.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ketidaksepakatan mengenai apa yang kelihatan seperti drone dan sama ada ianya benar-benar drone atau sesuatu yang lain.

Drone-drone itu dilaporkan oleh beberapa juruterbang, walaupun kebanyakan tidak pasti apa yang sebenarnya mereka lihat.

Kebanyakan berkata mereka fikir mereka ternampak drone atau "sesuatu." Seorang juruterbang Airbus A320 berkata dia melihat "dua objek berbentuk putih, berbentuk sfera dengan tiada lampu atau tanda-tanda yang boleh kelihatan".

Objek tersebut tidak bergerak di udara dan tidak terjejas oleh angin, walaupun ketika itu keadaan berangin.

Salah satu daripada drone tersebut berada pada ketinggian ialah 1,680 meter di udara, manakala yang lain pada ketinggian 1,370 meter.

Pesawat mungkin akan bertembung dengan salah satu daripada dua "UFO" ini, yang hanya berada di antara 500 dan 800 meter dari pesawat, kerana saiznya yang terlalu kecil untuk mengaktifkan sistem mengelakkan perlanggaran pada pesawat.

Juruterbang lain berkata drone tersebut adalah bersaiz 1.5 meter panjang, manakala yang lain berkata bersaize 2 meter.

Beberapa juruterbang meragui sama ada benda itu adalah UFO atau drone. Mereka mengesyaki bahawa ia adalah belon, namun menyatakan bahawa objek itu terlalu besar bagi sebiji belon helium kanak-kanak biasa.

3. Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington - New Zealand

lapangan terbang antarabangsa wellington

Pada November 2018, ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington di New Zealand ditutup selepas sebuah drone dikesan berlegar kurang dari 3 kilometer dari landasannya.

Drone tersebut berada hanya 200 meter dari tanah pada masa itu dan dikesan oleh kapal terbang ketika ia mendarat pada pukul 6:32 petang.

Juruterbang dalam pesawat bersiap sedia untuk berlepas dilaporkan melihat drone itu dan juga melihatnya berlegar di lapangan terbang selama 23 minit sebelum berlepas.

Bagaimanapun, lapangan terbang itu ditutup sehingga pukul 7:10 petang.

Beberapa pesawat terbang yang sepatutnya mendarat terpaksa mengelilingi ruang udara ketika penutupan berlangsung manakala 10 lagi pesawat telah ditangguhkan daripada berlepas.

4. Lapangan Terbang Auckland - New Zealand

lapangan terbang auckland

Pada Mac 2018, beberapa penerbangan telah ditangguhkan dari mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand selepas drone ditemui berlegar di kawasan tersebut.

Ia dibuka semula 30 minit selepas penutupan, apabila mengesahkan bahawa drone tersebut telah beredar. Sebuah helikopter telah digunakan untuk mencari drone tersebut namun tidak berjaya.

20 kapal terbang yang dijadualkan mendarat telah mengelilingi lapangan terbang semasa penutupan. Penerbangan dari Tokyo dialihkan ke pangkalan Angkatan Udara sejauh 500 kilometer, di mana ia mengisi bahan bakar sebelum kembali ke Auckland.

Satu lagi penutupan berlaku pada April 2018, ketika satu lagi drone telah dikesan. Ia dibuka semula enam minit kemudian apabila pihak berkuasa mendapati bahawa drone itu sebenarnya adalah sebiji belon.

Sebahagian daripada lapangan terbang itu ditutup sekali lagi pada Ogos 2018 apabila sebuah drone dikesan terbang sejauh 12 kilometer dari landasan.

Walau bagaimanapun, ia dibuka dengan cepat apabila mereka mengesahkan drone tersebut bukan lagi satu ancaman. 

5. Lapangan Terbang Cork - Ireland

lapangan terbang cork

Pada 20 April 2017, Lapangan Terbang Cork ditutup selama antara sepuluh dan 15 minit selepas sebuah drone dilihat terbang di ruang udaranya pada jam 9:45 pagi.

2 pesawat terbang mengelilingi lapangan terbang sehingga drone itu hilang dari pandangan.

Pengawal lalu lintas udara kemudian membenarkan pesawat untuk mendarat tetapi mengesyaki drone itu mungkin berada di sekitar, lalu menasihatkan para juruterbang untuk mendekati "dengan berhati-hati."

Polis menggeledah sekitar lapangan terbang selepas insiden itu tetapi tidak dapat mencari drone penyangak atau pengendalinya.

6. Lapangan Terbang Gatwick - United Kingdom

lapangan terbang gatwick

Antara 19 dan 21 Disember 2018, lebih 100,000 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Gatwick di West Sussex selepas sekurang-kurangnya 2 buah drone menghalang pesawat dari mendarat atau berlepas.

Drone itu pertama kali dilihat di sekitar lapangan terbang pada pukul 9:03 pagi pada 19 Disember. Dan ia terus muncul dan hilang sehingga 21 Disember.

Drone awam umumnya mempunyai tempoh penerbangan yang terhad kerana mereka mempunyai bateri yang lebih kecil.

Walau bagaimanapun, pencerobohan ini seolah-olah merupakan cubaan sengaja untuk membuatkan lapangan terbang ini ditutup kerana drone-drone ini kembali semula selepas hilang.

Drone-drone tersebut kelihatan lebih besar daripada drone biasa, membuatkan pihak berkuasa percaya bahawa ia diubahsuai dengan bateri yang lebih besar.

Pihak berkuasa juga percaya terdapat lebih daripada dua drone. Sebanyak 120,000 penumpang masih terkandas di lapangan terbang semasa penutupan berlangsung.

Beberapa penerbangan masuk telah dialihkan ke lapangan terbang lain, termasuk di Amsterdam dan Paris.

Kebanyakan syarikat penerbangan tidak menyediakan hotel untuk penumpang terkandas dan tidak menggalakkan mereka meninggalkan lapangan terbang, kerana mereka tidak dapat menentukan bila penerbangan akan disambung semula.

Drone-drone tersebut meninggalkan lapangan terbang ini pada 21 Disember apabila tentera tiba dengan peralatan khusus.

Lapangan terbang ini ditutup selama 36 jam secara keseluruhannya. ketika itu, 837 penerbangan ditangguhkan daripada berlepas. 

160 dibatalkan dan selebihnya akhirnya berlepas. Polis kemudian menahan dua orang yang berkaitan dengan kejadian itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)