Menyukai perkara yang cantik dan menarik sudah menjadi lumrah semulajadi manusia. Siapa tak sukakan kecantikan, kan? Individu tampan dan cantik, kereta cantik, rumah cantik dan sebagainya, menjadi pilihan kita.
Malah, kecantikan telah dipromosikan sebagai sesuatu yang mesti dicari oleh semua orang sehinggakan ia membuatkan mereka yang kurang menarik tidak mempunyai keyakinan diri.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaubagaimanapun, kecantikan rupa paras tidak semestinya memberikan kelebihan dan kebaikan kepada pemiliknya.
iluminasi.com kongsikan 6 keburukan memiliki rupa paras yang cantik dan tampan.
1. Pasangan cantik dan tampan lebih cenderung untuk bercerai
Dalam ketika di mana kadar perceraian meningkat dan semakin banyak orang memilih untuk tidak berkahwin, institusi perkahwinan tradisional menjadi tertekan.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang memilih untuk berkahwin dan sudah semestinya ingin perkahwinan berkekalan.
Apa yang ramai tak sedar adalah komitmen dan kesanggupan untuk berusaha dalam perkahwinan bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan sesebuah perhubungan itu, tetapi juga betapa cantik atau tampan seseorang itu.
Mencari pasangan yang cantik adalah lumrah manusia namun banyak kajian telah mendapati bahawa orang yang lebih menarik mempunyai kadar perceraian yang lebih tinggi daripada yang lain.
Dalam satu kajian, para penyelidik melihat gambar pelajar lelaki dalam buku tahunan dari dua sekolah menengah di Amerika Syarikat dan menilai mereka dari segi daya tarikan.
Penyelidik kemudiannya memadankan mereka dengan rekod perkahwinan dan perceraian melalui ancestry.com dan mendapati bahawa lelaki yang mempunyai penampilan yang paling menarik mempunyai kadar perceraian yang lebih tinggi daripada yang lain.
Para penyelidik juga mencuba kaedah ini terhadap selebriti dan mendapati hasilnya sama.
2. Wanita cantik sukar diambil bekerja
Adalah menjadi satu perkara biasa bagi kita untuk menganggap bahawa daya tarikan seseorang itu mempunyai peranan dalam proses pengambilan kerja dan bahawa orang dengan rupa atau penampilan yang lebih menarik biasanya mempunyai kelebihan berbanding yang lain atau sebab yang sangat jelas.
Walaupun ia berlaku kepada lelaki, namun tidak bagi wanita.
Dalam satu kajian yang dilakukan, penyelidik menghantar 2,656 sepasang resume (satu dengan gambar dan satu lagi tidak) ke jawatan kosong di seluruh negara.
Mereka mendapati bahawa lelaki yang lebih menarik lebih cenderung untuk menerima panggilan semula berbanding yang kurang menarik, tetapi bagi wanita, perkara sebaliknya berlaku.
Wanita yang kurang menarik lebih cenderung dipanggil semula berbanding yang lebih cantik, dan alasannya mungkin hanya disebabkan oleh daya saing evolusi.
Mereka mendapati bahawa perbezaan yang berlaku teramat ketara apabila pengambilan pekerja sebahagian besarnya terdiri daripada wanita, yang mana biasanya berlaku di kebanyakan jabatan sumber manusia korporat.
Para penyelidik menyimpulkan bahawa pekerja wanita di bahagian Sumber Manusia secara naluri menolak pemohon wanita yang mana mereka anggap sebagai persaingan.
3. Wanita lebih bahagia dengan pasangan yang kurang menarik
Tak dapat disangkal bahawa setiap daripada kita mesti pernah melihat wanita cantik mempunyai pasangan yang dianggap sebagai tidak menarik, kan?
Daya tarikan dari segi paras rupa sering menjadi faktor penting tentang sama ada hubungan akan bertahan atau tidak.
Ia biasanya membantu jika anda mendapati bahawa pasangan anda menarik secara fizikal, tanpa mengira faktor lain seperti keserasian seks, tahap komitmen atau minat yang sama.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak sama bagi kedua-dua jantina. Kajian mendapati bahawa wanita cenderung mempunyai hubungan yang lebih memuaskan dengan lelaki yang kurang menarik daripada mereka.
Banyak kajian menunjukkan wanita heteroseksual dengan pasangan lelaki yang kurang menarik cenderung lebih bahagia dan lebih puas dengan kehidupan mereka.
Satu kajian mendapati bahawa lelaki yang kurang menarik cenderung untuk melakukan perkara lain untuk memperbaiki kekurangan mereka seperti lebih mengambil berat atau bertimbang rasa, yang diterjemahkan kepada kepuasan yang lebih tinggi untuk wanita.
Dalam kajian lain, wanita didapati lebih kecenderungan untuk ber-diet dan cuba kelihatan lebih baik jika suami mereka lebih menarik daripada mereka.
Apa yang mengejutkan adalah hal ini langsung tidak berlaku kepada golongan lelaki, yang mungkin menjelaskan tentang bagaimana rupa paras dan penampilan memberikan kesan tidak seimbang kepada wanita dalam masyarakat kita hari ini.
4. Individu menarik kurang beri kerjasama
Sebagai manusia, kita mendapati bahawa bekerja sama dengan satu sama lain adalah salah satu cara terbaik untuk bertahan hidup.
Dengan bantuan kerjasama antara satu sama lain, manusia secara beransur-ansur menakluki dunia, walaupun kerjasama itu sebahagian besarnya terhad kepada kumpulan yang terdekat dengan kita.
Namun, kerjasama tidak wujud secara semulajadi kepada yang golongan yang mempunyai rupa dan penampilan yang lebih menarik dalam kalangan kita.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh para penyelidik di Sepanyol, mereka meletakkan individu dengan daya tarikan yang berbeza-beza dalam sejenis eksperimen keadaan serba salah (dilemma), di mana peserta perlu untuk saling bekerjasama.
Mereka mendapati bahawa orang yang mempunyai wajah yang lebih simetris, iaitu salah satu ciri yang paling universal berkaitan dengan daya tarikan, kurang berkemungkinan untuk memberikan kerjasama berbanding yang lain.
Di samping itu, individu cantik juga kurang mengharapkan orang lain untuk bekerjasama.
5. Wanita yang dianggap cantik oleh semua orang lebih sukar untuk mendapatkan pasangan
Pernah tak anda menemui atau mengenali wanita yang sangat menarik dan cantik, tetapi tidak mempunyai pasangan hidup? Mesti pernah kan? Ya, cantik dan menarik tak semestinya memudahkan wanita untuk mencari pasangan.
Dalam dunia "online dating", sangat jelas bahawa individu menarik mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menemui pasangan berbanding mereka yang kurang menarik.
Lagipun, online dating hanya berdasarkan paras rupa dan walaupun personaliti anda adalah faktor utama yang paling menarik, namun perkara yang pertama dilihat sudah tentu paras rupa.
Walaupun hal ini cukup mudah bagi lelaki, namun ia sangat rumit bagi wanita.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh OKCupid, lelaki lebih cenderung untuk tertarik kepada wanita yang tidak semestinya menarik di mata semua orang.
Dalam erti kata lain, lelaki tidak dapat bersetuju sama ada tarikan yang dimiliki seseorang wanita dapat meningkatkan peluangnya untuk mendapatkan pasangan atau tidak, berbanding wanita yang kelihatan menarik di mata semua orang.
Jadi, wanita cantik tidak semestinya mudah untuk mencari pasangan.
6. Wanita lebih memilih lelaki yang kurang maskulin untuk hubungan jangka panjang
Sama seperti lelaki, wanita juga tertarik kepada jejaka maskulin dan tampan secara universal.
Antara ciri-ciri maskulin yang membuatkan lelaki kelihatan menarik adalah rahang yang "tajam", badan yang sasa dan macam-macam lagi.
Ia adalah alasan mengapa wanita yang mempunyai pasangan dengan kebanyakan ciri ini akan lebih bahagia dalam hubungan yang komited.
Namun hal ini sebenarnya tidak berlaku kerana penyelidikan yang dilakukan menunjukkan bahawa lelaki yang mempunyai ciri-ciri feminin lebih dilihatkan sebagai pasangan yang ideal berbanding lelaki yang macho.
Dalam kajian yang dilakukan selama 15 tahun, seorang penyelidik dari Universiti Glasgow mendapati bahawa walaupun wanita lebih memilih lelaki maskulin sebagai pasangan kasual, namun mereka cenderung untuk memilih lelaki dengan sifat-sifat feminin yang sederhana untuk hubungan jangka panjang.
Penemuan ini mencadangkan bahawa harus mengurangkan kejantanan dan kelakian mereka jika mahu mencari pasangan seumur hidup.
Rujukan:
2. LS
3. Esquire
4. Guardian