Admin buat pertama kalinya hadir ke mesyuarat PIBG sekolah anak admin tempohari. Sebelum ini admin memang banyak mendengar tentang kurangnya penglibatan masyarakat kita dalam PIBG, sehinggakan banyak rungutan daripada pihak sekolah kedengaran.
Salah seorang adik admin pula mengajar di sekolah jenis kebangsaan memberitahu, pengalamannya menjadi guru di SJK pula tampak jelas berbeza dengan apa yang dia alami di sekolah kebangsaan lama beliau. Ibu bapa di sekolah jenis kebangsaan dilihat lebih pro-aktif dalam berkongsikan pandangan serta lebih berani mempersoalkan pihak sekolah, tentang apa yang mereka rasakan perlu.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada mulanya admin anggap semua itu hanyalah pandangan seorang individu semata-mata, jadi bila admin dah ada anak yang bersekolah ni, admin pun bersemangatlah nak pergi mesyuarat PIBG anak admin. Ini 6 perkara yang dapat admin lihat.
1. Memang sambutan tak seberapa
Admin dapat menyaksikan sendiri betapa berbezanya masyarakat kita dalam media sosial dan realiti. Dalam media sosial orang kita kecoh kritik sana sini berkenaan urusan pentadbiran sekolah, tetapi dalam mesyuarat PIBG yang admin hadiri - jumlah yang datang amatlah mengecewakan
Dengan jumlah pelajar hampir 800 orang lebih, kedatangan wakil ibu bapa hanyalah pada kadar 60 wakil anak-anak. Tak sampai 10 peratus. Pada mulanya admin ingatkan kat sekolah anak admin saja. Rupanya sekolah lain pun sama. Ramai ibu bapa yang bergebang kuat dalam media sosial tapi bila diberi peluang menyuarakan apa yang dia tak suka terus kepada guru besar dalam realiti; ramai yang melepaskan peluang ini.
2. Ucapan berjela-jela menjemukan
Persatuan ibu bapa dan guru bukanlah satu upacara yang sepatutnya dipenuhi dengan ucapan demi ucapan. Kita dapat tentatif mesyuarat akan mula pada jam 8.30 pagi. Majlis hanya bermula jam 9.00 kerana menunggu kedatangan ibu bapa (yang akhirnya tidak hadir) dan sampai jam 10.00 barulah mesyuarat sebenar nak dimulakan.
Ibu bapa yang tak sampai 10 peratus datang tu pun ramai dah menguap. Kita datang untuk bermesyuarat, bukan untuk mendengar celoteh panjang berkenaan kepentingan PIBG pada pengurusan sekolah. Semua individu yang hadir pada hari itu, hadir kerana mereka tahu kepentingan PIBG. Ucapan tentang kesedaran perlunya ibu bapa melibatkan diri perlulah disimpan untuk ibu bapa yang dah terang tak nak melibatkan diri.
3. Orang kita ramai yang taiko di media sosial
Dalam mesyuarat yang admin sertai, Guru Besar terpaksa membuka cerita tentang satu insiden lalu di mana seorang bapa mula mencemuh pihak sekolah, memaki dan mengadu tentang ketidak puasan hati terhadap beberapa langkah yang diambil pihak sekolah. Seperti biasa cemuhan-cemuhan itu hanyalah dalam media sosial, berlaku selepas selesainya mesyuarat PIBG sekolah tersebut.
Apa yang membuatkan Guru Besar sekolah itu terkilan, adalah kerana bapa yang mencemuh itu tidak hadir dalam mesyuarat tetapi mendapat makluman daripada status rakannya yang hadir serta tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat. Rakannya memuat naik kritikan pedas terhadap pihak sekolah menerusi akaun media sosial yang membuatkan bapa yang tak hadir turut sama membodohkan pengurusan pihak sekolah.
Apabila perkara itu sampai kepada pengetahuan sekolah dan dua bapa itu dijemput untuk berbincang, kedua-duanya tidak dapat menghadirkan diri atas alasan kerja.
4. Susah nak dapat kerjasama ibu bapa
Pihak sekolah nampak sukar untuk mendapatkan kerjasama ibu bapa. Apabila ruang untuk memberikan cadangan atau membuka perbincangan diberikan, tidak ramai yang hendak bersuara. Mesyuarat berlangsung lebih banyak dalam satu hala dengan pihak pengurusan sekolah serta wakil PIBG ibu bapa bercakap seperti mereka sedang mengajar. Langsung tidak sama dengan apa yang kita harapkan berlaku dalam Kelas Abad ke 21.
Majoriti Ibu bapa yang hadir, hadir sekadar untuk mengetahui dan mendengar permasalahan yang timbul. Pihak yang betul-betul pro aktif balik-balik individu ibu bapa yang sama. Sekiranya hanya 10 peratus ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG sekolah anak-anak dan hanya dua tiga orang bangun menyuarakan pandangan ketika mesyuarat - sukar sebenarnya sekolah mahu mengenalpasti masalah dan isu yang dirasakan pihak ibu bapa.
5. Kekangan bajet yang besar dihadapi
Bagi mereka yang hadir ke mesyuarat PIBG, anda pasti menyedari wujud banyak isu yang dihadapi, khasnya berkaitan dengan fasiliti sekolah yang memerlukan perbelanjaan untuk ditambah baik.Setelah meneliti pecahan-pecahan peruntukan PIBG yang ada, jelas bagaimana tahap kesukaran sebuah sekolah khasnya sekolah kebangsaan dan sekolah agama untuk menyediakan kemudahan lebih baik untuk anak-anak belajar.
Walaupun kutipan tahunan mampu mencecah puluhan ribu tetapi wang tersebut sebenarnya masih tidak cukup untuk menampung perbelanjaan PIBG dan sekolah, khasnya dalam menyediakan prasarana yang memerlukan kos tinggi. Sekiranya anda mempunyai kemahiran seperti penyediaan fasiliti, pendawaian atau kerja-kerja pembinaan kecil, semua sekolah memerlukan sumbangan anda sekiranya anak anda berada di situ, dalam membantu mengurangkan kos. Kita tidak boleh lagi lepas tangan dan biarkan sekolah bergantung dengan bantuan kerajaan semata-mata.
6. Ramai tiba-tiba muncul balik masa cabutan bertuah
Bagi pihak pengurusan sekolah yang berpengalaman, atas usaha 'memujuk' ibu bapa untuk hadir, kerap kali terpaksa diadakan cabutan bertuah sehingga menjadi satu tradisi masyarakat kita pula. Cabutan bertuah pula selalunya diadakan pada penghujung majlis dalam memastikan ibu bapa menunggu sehingga mesyuarat selesai.
Apa yang jelas, kehadiran semasa mesyuarat dapat dilihat menurun selepas selesai proses pendaftaran. Jumlah ibu bapa yang ada semasa mencabut undian pula meriah dengan kehadiran lebih ramai.
Adakah tradisi cabutan bertuah ini sesuatu yang perlu dilihat negatif - seperti satu langkah terpaksa yang diadakan dalam menarik minat ibu bapa yang tidak minat atau satu bentuk penghargaan pada mereka yang dapat bersusah payah hadir? Admin lebih gemar untuk melihat hadiah ini sebagai satu penghargaan dan aktiviti santai.
Bagaimanapun, jauh disudut hati admin, admin masih berharap agar kesedaran ibu bapa terhadap peranan yang mereka mainkan di sekolah, menerusi PIBG perlu lebih dititik beratkan.
Walau apa saja alasan yang anda ada untuk hadir, yang penting hadirlah. Dengarkan sendiri rintangan yang dihadapi pihak sekolah dalam mendidik anak-anak generasi akan datang. Bantulah mana yang kita boleh walaupun hanya dengan kehadiran.
Anak-anak yang melihat ibu bapa sendiri acuh tak acuh tentang mesyuarat di sekolah, setelah dijemput dan dipesan pihak sekolah tentang kepentingan kehadiran, apa pula yang difikirkan oleh mereka?
Nota : Semua gambar yang dipaparkan adalah hiasan semata-mata. Tiada kaitan dengan pendapat penulis di atas. Kredit gambar : SMK Rantau Panjang Klang