Kredit foto asal: Facebook Ben Ali
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menafikan laporan media asing termasuk beberapa portal berita tempatan yang mendakwa pasukan polis menyerbu sebuah apartmen mewah di Jalan Raja Chulan petang semalam.
Sebaliknya, pihak polis berada di tempat insiden bagi melakukan siasatan terperinci dengan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan laporan pemindahan barangan mewah berupa tas tangan berjenama didakwa kepunyaan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Semalam, Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Nasional, Ben Ali menerusi akaun Facebooknya mendakwa pihaknya telah mendapat maklumat dan rakaman video lebih kurang 50 tas tangan berjenama Birkin yang diletakkan di dalam kotak berlainan dipercayai merupakan hadiah pemberian kepada Datin Seri Rosmah Mansor, berdasarkan label yang tertera di atas kotak-kotak berkenaan.
"Pemuda PPBM mengutuk sekeras-kerasnya cubaan memindahkan atau menyembunyikan sejumlah 50 beg tangan berjenama Birkin dipercayai milik Rosmah Mansor yang setiap satunya tidak kurang daripada RM200,000 ke dalam dua buah unit kondominium mewah di ibu negara," tulisnya.
Difahamkan, tas tangan tersebut dipindahkan daripada sebuah van milik Jabatan Perdana Menteri ke beberapa buah unit kondominium di Pavilion Residence.
Kredit foto: Facebook Ben Ali
"Oleh kerana Dato' Sri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terpalit dengan skandal penyelewengan wang secara besar-besaran, kami selaku Exco Pemuda PPBM Nasional ingin menggesa serbuan dilakukan ke unit kondominium tersebut.
"Selain daripada tas tangan yang mencurigakan, van yang membawanya tertera Jabatan Perdana Menteri dan Jata Negara Malaysia. Jika benar van itu milik JPM, maka ini adalah salah guna kuasa, di mana Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan aset milik kerajaan tanpa kebenaran dan untuk kegunaan peribadi," tulisnya lagi.
Susulan itu, sebuah laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Pihak polis sedang melakukan siasatan dan mencadangkan supaya perkara tersebut dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membenarkan tindakan susulan diambil.
Kredit foto: Facebook Ben Ali
Sumber: