Dalam merancang perbelanjaan, secara statistiknya memang rakyat Malaysia khususnya individu bergelar belia duduk dalam kumpulan kritikal.
Berdasarkan laporan Asian Institute of Finance, seramai 40% daripada kumpulan individu belia berusia 25 ke 38 tahun hidup dalam situasi kewangan kronik, perbelanjaan melebihi pendapatan.
Kegentingan ini menyebabkan mereka perlu bergantung dengan pinjaman untuk kelangsungan hidup dengan dua penyumbang utama adalah pinjaman peribadi dan pembiayaan kenderaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi salah satu faktor yang jarang dibincangkan secara terbuka, adalah kebergantungan masyarakat zaman sekarang kepada 'pakej langganan', yang sebenarnya turut menyumbang kepada masalah ini.
1. Kenapa kita perlu melanggan penapis air?
Di antara banyak-banyak produk yang kini ditukarkan kepada bentuk langganan, perlu melanggan penapis air dan penapis udara adalah model perniagaan paling pelik yang popular di kalangan masyarakat kita.
Kami tidak tahu kenapa ada pihak melihat membayar RM70 ke RM110 sebulan untuk penapis air, adalah sesuatu yang berbaloi. Belum masuk lagi bayaran untuk penapis udara!
Sekiranya kita congak angka bayaran bulanan dan tempoh kontraknya, jelas sekali amaun yang akan dibayar pengguna berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding membeli penapis jenis lain sekali bayar dan melakukan penyelenggaraan sendiri.
Lebih malang, ramai di antara pelanggan yang tidak lagi dapat meneruskan pembayaran tersepit - tidak dibenarkan menamatkan langganan. Sebaliknya mereka haruslah mengharungi tempoh kontrak yang telah dipersetujui atau membayar pampasan kepada syarikat untuk menamatkan kontrak.
Ibarat membeli terus penapis yang dilanggan pada harga tak masuk akal.
2. Perlu ke TV strim sampai dua tiga pakej satu rumah?
Satu ketika dulu sebelum model TV strim benar-benar berkembang, penyelia TV strim benar-benar mampu menjadi alternatif yang baik berbanding TV satelit.
Tetapi lama-kelamaan, bila setiap penyelia kandungan mahu memiliki pakej TV strim sendiri dan mula mengehadkan media mereka eksklusif untuk pelanggan mereka, kos yang dikenakan kepada pengguna mula mencapai tahap menggila.
Jika kita nak tengok filem atau drama keluaran syarikat A, kita kena langgan pakej dengan A. Nak filem dan drama syarikat B? Kena langgan juga syarikat B punya pakej dan seterusnya.
Tak menghairankan kalau ada isi rumah di negara kita melanggan pakej dengan syarikat N, D mungkin juga H, yang meninggikan bil bulanan isi rumah. Sedangkan jika kita benar-benar fikirkan, berapa jam sangat sebenarnya kita tonton semua itu sebulan?
Pernah anda kira berbaloi tak belanja yang anda keluarkan, berbanding jumlah tontonan? Entah-entah anda lagi lama menonton di saluran percuma seperti Youtube atau TikTok.
3. Perisian komputer pun perlu dilanggan?
Kalau dunia semakin 'beralih' kepada pakej langganan, tak sahlah kalau syarikat teknologi komputer pun berubah menurut sistem sama. Berbeza dengan era terdahulu di mana kita boleh membeli satu perisian lengkap pada harga tertentu, pengeluar perisian zaman sekarang pun sudah memberikan alternatif sama kepada penggunanya.
Cuma dalam bab ini, penulis agak cenderung untuk mengatakan pakej yang ditawarkan penyelia perisian lebih menarik berbanding pakej penapis atau TV strim kerana jika dibandingkan dengan harga pakej tunggal terdahulu dengan pakej langganan, ada ketara perbezaan pada harganya.
Pelanggan dapat perisian pada kadar lebih murah dengan melanggan secara bulanan dan yang lebih penting, pelanggan tidak perlu risau perisian mereka ketinggalan zaman kerana perisian mereka akan sentiasa dikemaskini, asalkan langganan diteruskan.
4. Videogame
Di antara banyak kategori pengguna, peminat permainan video mungkin adalah golongan paling beruntung disebabkan populariti pakej langganan yang ada.
Ini kerana sejak dulu lagi hobi permainan video merupakan sebuah hobi yang memakan kos besar, jika penggunanya mementing penggunaan perisian asli. Satu judul permainan asli keluaran baru hanya boleh dimiliki dengan harga ratusan ringgit. Sekarang pun sama.
Tetapi pengendali seperti Sony dan Microsoft sudah lama memasarkan servis langganan yang membenarkan pemain mengakses beratus (mungkin juga beribu) judul permainan video secara langganan bulanan pada harga yang layak kita katakan sangat berpatutan; jika dibandingkan dengan model perniagaan terdahulu.
Isunya di sini, adakah dengan membayar sekitar RM30 ke RM60 sebulan itu berbaloi dan penggunanya mendapat pulang setimpal? Apatah lagi kita hidup dalam zaman di mana fokus kita sering ditagih pelbagai bentuk media, baik permainan video, TV strim, internet, media sosial dan sebagainya.
Dari segi bajet, mungkin berbaloi tetapi adakah bayaran bulanan anda itu kena dengan bajet kewangan dan masa anda?
5. Youtube
Kami belum pernah menemui sesiapa pun yang melanggan pakej Youtube Premium di kalangan kenalan kami.
Jika anda tidak tahu apa itu Youtube Premium, pakej ini adalah pakej langganan bulanan ke saluran Youtube yang akan 'mematikan' fungsi iklan pada setiap video dan juga membolehkan anda mengakses fungsi seperti paparan off-line, main di latar belakang, video beresolusi tinggi dan juga beberapa fungsi lain.
Harga langganan pula bergantung kepada pakej, sama ada dalam bentuk individu, pelajar atau pakej keluarga dengan harga di antara RM10.90 ke RM33.90 sebulan.
Tetapi bagi mereka yang tahu, ada banyak sebenarnya cara untuk anda memintas sekatan yang ada pada Youtube ini, khususnya melalui penggunaan beberapa jenis pelayar internet tertentu....secara sah!
Seandainya anda salah seorang yang sedang melanggan pakej ini, jimatkan ratusan ringgit wang anda dan kaji bagaimana nak mendapatkan fungsi premium pada Youtube, tanpa langganan. Harus kami ulangi, kita tak perlu crack, hack atau modifikasi apa-apa pun. Semuanya secara sah.
Kalau jumpa, jangan lupa belanja penulis daging wagyu guna wang penjimatan anda itu. Kami yakin berbaloi.