Oleh pada 17 Mar 2023 kategori

Trend zaman sekarang khususnya di kalangan anak muda, meletakkan content creator atau pencipta kandungan sebagai 'selebriti mini.' 

Menggalas tanggungjawab menerbitkan kandungan pelbagai variasi dalam platform media sosial untukwarga siber, ramai di kalangan individu muda menyimpan cita-cita mahu menjadi pencipta kandungan ternama alam maya.

Digambarkan mampu hidup mewah dengan hanya menjadikan hobi sebagai kerjaya menjadi penarik utama yang menaikkan nama-nama seperti PewDiePie, Mr. Beast, Allyssa Dezek, Khaby Lame atau Charli D'Amelio; pempengaruh dan pencipta kandungan yang sering disebut sebagai contoh mereka yang dah berjaya. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Realitinya, kemahsyuran yang dirasai generasi baru pengkarya moden ini sukar untuk kekal lama. Apa yang membezakan mereka dengan pengkarya zaman dahulu?

Ada banyak perbezaannya. 

1. Penghasilan karya perlu dilakukan kerap

pencipta kandungan tertekan cipta karya

Dulu, seorang pengkarya baik penghasil lagu, drama, filem, seni lukisan dan sebagainya mampu menghasilkan karya dalam rentak sendiri.

Mereka tidak terkejar-kejar dengan permintaan mendadak, melainkan mereka memang ada menandatangani kontrak dengan syarikat. Itupun tempoh diberikan  masih dianggap memadai.

Penghasil kandungan zaman sekarang nampak tertekan.

Walaupun majoriti di antara mereka bergerak sendiri, keperluan untuk menerbitkan karya secara konsisten mengakibatkan ramai content creator yang berstatus sepenuh masa berdepan tekanan menghasilkan idea baru.

Mereka tampak ceria dan segar depan kamera, tetapi realitinya hanya mereka yang tahu apa yang perlu ditempuhi tatkala kamera sudah dimatikan; terpaksa memerah otak setiap hari untuk mencipta kandungan baru dan segar agar pengikut tak melupakan mereka. 

2. Karya kini mudah diguna buang

cipta video kontroversi untuk tarik penonton

Atas faktor wujudnya tekanan menghasilkan karya sekerap mungkin, wujud lambakan  karya baik yang berkualiti ataupun hanya sekadar benda bodoh, saling berebut masa kita di internet.

Lambakan ini walaupun boleh dinilai sebagai satu perkara positif yang membuktikan bertambahnya nilai kreativiti masyarakat - juga mengakibatkan banyak karya baru lebih bersifat pakai buang. 

Tidak banyak karya khususnya di negara kita yang diterbitkan dalam satu dekad kebelakangan ini, layak digelar karya klasik yang akan ditonton, dihadam, didengar dan diperdengarkan berulang kali sehingga menjadi sebahagian identiti masyarakat.

Lebih memburukkan keadaan, lambakan karya pakai buang ini juga mengakibatkan karya  yang berkualiti sukar mendapat tempat dan peminat, kerana penerimaan masyarakat juga seolah gemarkan karya yang menepati spesifikasi pengisian pakai buang atau cukup sekadar hiburan ringan.

3. Nama pengkarya tidak lagi diingati

youtuber terkenal tiada impak

Cuba anda senaraikan siapakah tokoh atau ikon pengkaryaan seni tanah air kita.

Besar kemungkinan kita akan menyebut nama seperti Allahyarham P. Ramlee, Sudirman Hj. Arshad, Dato' M. Nasir, Dato' Siti Nurhaliza dan beberapa nama lagi.

Kenapa nama-nama begini terus dikenang jasa mereka? Karya yang mereka bawakan mudah dirujuk kepada diri mereka, mempunyai identiti sendiri yang kuat dalam perjalanan dunia pengkaryaan mereka. 

Reputasi ini jauh berbeza jika kita bandingkan dengan populariti content creator di media sosial.

Tidak dapat dinafikan dari segi angka, content creator menang. Mereka ada 1 juta pengikut. Perkongsian mereka mampu dapat reaksi 10 juta orang. Tetapi berapa lama agaknya nama-nama content creator sekarang akan terus dikenang?

Tak lama pun. Tular sekejap, esok orang dah lupa.

Karya yang mereka hasilkan juga biasanya begitulah. Tonton tengahari, malam dah lupa. Tak ada apa yang istimewanya dan langsung tak meninggalkan impak kepada budaya.

4. Karyawan moden kaki kejar trend

kumpulan masdo impak sederhana

Masdo meletup tapi tak mampu kekal lama

Jika kita meneliti industri muzik negara kita, apa trend muzik terakhir yang meninggalkan impak perubahan kepada Malaysia?

Pada pandangan penulis, era bermulanya kebangkitan kumpulan indie atau bebas berbahasa Melayu yang naik menggantikan trend kegilaan muzik-muzik dari kugiran Indonesia. Kemunculan kumpulan Hujan serta kugiran seangkatannya dinilai penulis sebagai trend terakhir yang mengubah budaya popular kita.

Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tidak nampak apa peranan yang dimainkan pemuzik seperti Hujan; namun populariti yang mereka bawa sebenarnya menyumbang kepada budaya dalam banyak cara.

Pengaruh karya Hujan membuatkan ramai kugiran beralih mencipta karya dalam bahasa Melayu. Anak muda meniru-niru konsep pemakaian dan muzik yang dibawa Hujan. Paling penting - orang Malaysia kembali dengar lagu ciptaan anak Malaysia. 

Kini ramai pengkarya tempatan dan pencipta kandungan di media sosial selesa mengikut apa saja hala tuju trend, kerana mahu mengejar populariti. Tidak ada banyak inisiatif untuk seseorang pengkarya melawan arus memulakan trend baru.

Jika ada pun, hanya segelintir kecil saja peminat benar-benar mengikuti perjalanan mereka. 

5. Menjadikan matlamat kaya dengan karya

influencer kaya youtuber mewah

Minat adalah pemupuk yang kuat membolehkan seseorang berusaha melakukan sesuatu.

Etos ini dapat kita lihat dengan jelas di kalangan pengkarya zaman dahulu; bilamana individu berbakat mampu menterjemahkan minat mereka dengan kesungguhan, sehingga akhirnya seseorang pengkarya mampu menghasilkan karya yang melampaui zaman seterusnya menjadi sumber rezeki beliau.

Dalam era media sosial di mana semua orang dipujuk untuk cuba menjadi 'content creator', ramai mengambil keputusan untuk menjadi penghasil kandungan bukan kerana minat - tetapi kerana dipesonakan imbuhan kewangan yang dikatakan ada.

Yang tak ada bakat, tak ada kemampuan dan tak sepatutnya mencipta kandungan pun diberitahu 'kita semua boleh jadi content creator dan boleh kaya macam mereka.' 

Karya yang terhasil pun entah apa-apa kerana jelas bukan setakat minat tak ada, bakat pun selalunya tak seberapa. Kualiti karya pun ke laut dalam sedalam Jurang Mariana.

Kita tengok naik rasa bertambah meluat ada la. Tak apalah kot....esok-esok kita semua pun dah lupa semuanya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)