Oleh pada 29 Jun 2024 kategori

Satu hakikat yang amat sukar untuk kita rakyat Malaysia terima jika dibandingkan dengan negara-negara jiran kita, budaya memandu di Malaysia ni agak teruk.

Orang luar yang dah biasa memandu di negara lain, bila perlu memandu di negara kita akan mula diserang panik dan gemuruh. Ini kerana budaya kita atas jalan raya ni sangat berlawanan dengan budaya adat resam penuh sopan-santun kita. Orang Malaysia atas jalan, susah nak beri muka pada orang lain serta sangat mementingkan diri sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nak harap perubahan drastik sukarlah, kerana tidak nampak ada usaha kerajaan untuk membetulkannya. Tetapi ada beberapa perkara kecil boleh kita perbaiki dalam membuatkan memandu di atas jalan raya kita, jadi lebih mudah.

1. Penunggang motorsikal tak ada flow

perangai penunggang motorsikal 27

Kenapa atas jalan raya kita, ada dua aliran trafik yang berbeza? Satu melibatkan kenderaan lebih besar seperti kereta, lori, van, bas dan sebagainya yang bergerak bersama. Sementara satu lagi aliran yang bebas serta jelas boleh bergerak sesuka hati mereka, adalah aliran penunggang motorsikal.

Susah nak mengagak bagaimana aliran motorsikal ini, sehinggakan setiap masa kita yang memandu kereta majoriti terpaksa berhati-hati. Nak elak lubang depan kita, kena tengok dulu ada tak motorsikal cuba memintas. Ketika jalan perlahan, motorsikal masih dipandu laju menyelit.

Kita dah bagi lampu isyarat belok ke kiri punyalah lama untuk masuk simpang kiri, tak semena-mena datang sebuah motorsikal memotong dari belah kiri kita nak terus. Payah betul memandu kalau di negara kita, penunggang motorsikal sesuka hati ikut aliran trafik ciptaan mereka dan orang lain pula kena ikut aliran trafik sebenar yang ada.

2. Pemandu suka berhenti di petak kuning

petak kuning tidak diamalkan

Banyak punca kesesakan atas jalan raya kita sebenarnya berpunca daripada masalah pemandu yang enggan menghormati kotak kuning atas jalan. Kalau dah nampak depan anda sesak, tak perlulah anda pun sama nak berebut mengisi ruang dalam kotak kuning tu.

Bila anda berbuat demikian khususnya di lampu isyarat, habis orang lain yang sepatutnya dah jalan kerana lampu hijau tersangkut akibat sikap anda yang nak juga menyelit ke depan...tetapi akhirnya tersekat tengah-tengah jalan.

Kereta yang ada di belakang pun, tak perlulah hon-hon orang depan anda suruh dia jalan juga kalau dah nampak trafik sesak di depan dan petak kuning ada atas jalan. Sabar sajalah menghadap lampu merah, sehinggalah trafik laluan anda lancar atau sekurang-kurangnya bergerak.

3. Suka bagi signal suruh ke tepi padahal kereta banyak kat depan

beri high beam suruh ke tepi

Anda sedang memandu pada had maksima kelajuan. Dari jauh anda dah nampak sebuah kereta dipandu laju menghampiri anda. Pemandu di belakang anda pun mulalah bagi isyarat lampu beberapa kali nak suruh anda ke tepi...

Tapi masalahnya di sini, depan anda pun berderet kereta beratur setiap satu mengikut had laju maksima ditetapkan. Apa masalah pemandu kaki high-beam sebegini?

Mereka ni tak nampak ke jalan depan tu ada kereta. Takkanlah kalau ada 100 kereta di depan, semua 100 kereta dia nak high beam dan arahkan ke tepi? Ikut sajalah aliran trafik. Yang kelakar, bila kita ke tepi bagi dia laluan, kereta depan kita pula tak dapat nak bagi laluan.Tersekatlah dia.

4. Kena hon sikit dah nak bertumbuk

perangai pemandu malaysia

Kalau anda tanya orang luar, hon kereta adalah alat komunikasi semasa memandu. Di Malaysia, hon adalah alat meluah perasaan. Kita menekan hon dengan penuh amarah, geram. Semua masalah hidup kita, kita hamburkan setiap kali kita menekan hon.

Jadi tak menghairankan pun bila ramai rakyat Malaysia mudah melenting bila kena hon. Kadang-kadang hon ni dibunyikan adalah untuk tujuan yang baik. Contohnya, kita nampak tayar kereta depan kita pancit tanpa pemandu tu sedari. Ekzos keretanya jatuh ke. Boot kereta terbuka ke.

Cuma masalahnya bila kita hon-hon kereta depan kita siap potong tunjuk ke arah tayar dia yang semakin kempis, dia bagi kita jari hantu dan muka tak puas hati. Kita yang nak tolong sedarkan pun, hilang mood nak buat kebajikan.

5. Hogging lane tengàh

lane hogger masalah sesak jalan

Di antara semua perangai pemandu Malaysia yang paling membuatkan memandu jadi tak best, pemandu yang membawa perlahan pada laluan tengah adalah pemandu paling merosakkan mood.

Adakah anda salah seorang pemandu yang ketika memandu, melihat pemandu lain memotong anda di lorong kiri dan kanan anda seperti di lebuhraya 3 lorong? Jika ya, anda adalah seorang lane hogger. Tabiat anda memandu itu menyusahkan orang lain sehingga membuatkan pemandu lain perlu memotong anda di lorong kiri sekali.

Tolonglah, tolonglah, kalau nak memandu santai-santai, rileks-rileks, masuklah ke lorong kiri sekali. Bila kena memotong kenderaan berat, lakukan pemotongan di lorong tengah kemudian kembalilah ke lorong kiri sekali semula.

Anda mungkin tidak sedar anda sebenarnya menyusahkan semua orang, tetapi itulah hakikatnya. Dan kalau ada orang tegur atau berikan hon, jangan marah pula dia. Anda sebenarnya punca kesesakan jalan yang paling utama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)