'Founder.'
Perkataan itu mempunyai konotasi negatif di negara kita, akibat trend kemunculan founder-founder yang membentuk lambakan founder di kalangan ahli masyarakat kita.
Walaupun ramai berebut nak jadi seorang founder, realitinya lebih ramai berebut nak memaki founder. Ini kerana majoriti founder-founder popular di Malaysia gemar melakukan perkara aneh dalam mencari publisiti pemasaran syarikatnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa orang ramai menyampah dengan founder? Ini lima sebab utama kenapa.
1. Kaya kerana pakai taktik ejen
Punca utama ramai founder dikecam, adalah kerana sistem perniagaan mereka yang gemar memperalatkan ejen atau dealer mereka sendiri.
Mereka 'keluarkan' produk di bawah jenama, kemudian mereka pasang kaki ejen jualan. Ejen jualan pula diwajibkan ambil sekian-sekian harga, kononnya harga yang dibeli ejen murah serta mampu menjana keuntungan besar kepada ejen.
Yang jadi masalah, apa berlaku kepada ejen selepas itu...founder tak peduli pun. Sama ada ejen melingkup atau gagal dalam jualannya, lantak dia lah.
Sedangkan banyak syarikat yang lebih established sangat melindungi ejen, di mana ejen hanya perlu melakukan pesanan sekiranya mereka benar-benar yakin jualan itu ada. Kalau gagal terjual pun, syarikat akan mengambil balik barangan dalam tangan ejen untuk diedarkan semula.
Siapa sebenarnya pelanggan dalam kaedah ini? Ejen. Kalau ejen gagal, dia patut bertanggungjawab kerana dia yang tak pandai menjual. Founder pula dah sedap makan pizza di Itali.
2. Pasang billboard sepanjang lebuhraya
Satu perkara yang sangat menyakitkan hati, adalah kewujudan trend penggunaan papan tanda iklan gergasi atau billboard di sepanjang lebuh raya.
Kita bila melalui lebuh raya, kalau boleh sekurang-kurangnya nak jugalah kita dapat menyaksikan pemandangan negeri orang sepanjang perjalanan kita. Ini tak...
Sepanjang lebuhraya khususnya di laluan lebuhraya utara dan selatan terpacak dengan papan iklan. Sangat-sangat mengganggu pemandangan kita, yang nak tenang-tenang memandu serta merosakkan suasana.
Yang dah ditampal amaran 'papan tanda iklan haram' oleh majlis perbandaran pun ada, tapi founder peduli apa. Yang penting...
3. Dia founder, dia model
...Yang penting orang kenal dia.
Ini satu trend yang cukup aneh sekali di negara kita.
Dia founder, dia jugalah model. Muka dia lah yang terpampang di billboard lengkap dengan nama penuh, tanda tangan dan tak lupa...gelaran 'pengasas' atau 'founder' dipaparkan dengan megah.
Seni pengiklanan yang selama ini diajar kepada pelajar-pelajar bidang pengiklanan dan pemasaran hancur rosak disebabkan oleh keperluan untuk founder-founder nak jadi model iklan sendiri.
Sehinggakan ada jenama tu, orang ramai lebih kenal founder berbanding produk atau jenama. Kita nak jual apa sebenarnya ni?
4. Tayang lifestyle
Salah satu persamaan yang wajib ada dalam setiap founder yang mempunyai sifat-sifat disebut dalam artikel ini, adalah keperluan untuk mereka tayang harta dalam media sosial.
Lifestyle mereka perlu dijaja. Di mana mereka makan, minum, melancong. Kereta apa mereka pakai. Saiz kaki per segi kediaman mereka perlu dilaporkan untuk orang ramai tahu. Serba-serbilah nak cerita kepada semua.
Tak perlulah kami sebagai 'orang kebanyakan' ni kena tahu segala benda tentang ada. Cukuplah sekadar wajah anda yang terpapar di billboard sepanjang jalan raya, kan? Tak cukup ke?
5. "Kalau aku boleh, kenapa kau tak boleh?"
Model sudah. Influencer sudah. Apa lagi satu bidang yang pasti diceburi founder selepas mereka berjaya? Bidang motivasi.
Entah kenapa ramai betul founder dalam konteks artikel ini, mesti akan berkembang bidangnya cuba-cuba menjadi pakar motivasi yang mahu meyakinkan semua orang "kalau aku boleh berjaya, kenapa kau tak boleh pula?"
Berkongsikan perkara positif ni tak ada masalah, tetapi biasanya pandangan sebegini lebih menjurus kepada perbandingan 'aku rajin, kau malas, sebab itu kau masih kerja makan gaji.'
Realitinya bro dan sis founder-founder sekalian, bukan semua orang kejar apa yang anda kejar. Wang, pangkat, harta, kekayaan, semua ini hanyalah kesenangan sementara.
Dunia kita ni hanya tempat persinggahan kita. Dan R&R pula adalah tempat persinggahan di lebuhraya yang wajib disinggahi, selepas penat memandu ditemani muka-muka founder sepanjang lebuhraya.
Tolonglah Lembaga Lebuhraya Malaysia...haramkan pemasangan billboard yang mengganggu fokus pemandu di sepanjang jalan raya kita.