Manusia tidak pernah berhenti berperang sejak azali lagi. Kebanyakan perang yang berlaku adalah disebabkan oleh perebutan kuasa, wilayah, kekayaan atau mempertahankan tanah air.
Lebih malang lagi, ada perang yang berlaku disebabkan punca yang kecil atau remeh. Salah faham ini telah dibesar-besarkan terutamanya oleh mereka yang mempunyai kekuatan tentera dan motif tersembunyi. Berikut adalah beberapa peperangan yang disebabkan oleh punca remeh.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Perang Baldi
Pada tahun 1325, berlakunya satu peperangan di antara dua buah bandar di Itali iaitu Modena dan Bologna. Perang yang diberi nama "War of the Oaken Bucket" ini berlaku apabila tentera dari Modena menyelinap masuk ke Bologna dan mencuri sebuah baldi air awam di bandar itu.
Kes kecurian biasa itu bagaimanapun telah mencalarkan ego Bologna sehingga tercetusnya peperangan antara dua bandar besar itu. Sebenarnya, hubungan kedua-dua bandar itu sememangnya keruh kerana ketegangan yang sering berlaku.
Ada juga kenyataan yang mendakwa bahawa baldi yang dicuri itu bukanlah penyebab peperangan antara Modena dan Bologna. Selepas tentera Modena memenangi Pertempuran Zappolino menentang Bologna, mereka mencuri baldi itu untuk dijadikan hadiah perang.
Walau apa pun alasannya, perang yang melibatkan baldi itu telah mengorbankan lebih daripada 2,000 nyawa dan sehingga hari ini, baldi itu masih kekal di Modena.
2. Perang Pastri
Pada tahun 1837, seorang tukang roti Perancis di Mexico bernama Remontel menjadi mangsa kepada ketegangan awam yang berlaku akibat pemilihan presiden Mexico.
Remontel hanya mampu melihat kedai rotinya musnah dijilat api akibat rusuhan yang berlaku di bandarnya. Dia berulang kali meminta ganti rugi daripada kerajaan Mexico. Disebabkan dia bukannya rakyat negara itu, kerajaan Mexico tidak mengendahkan permintaannya.
Merasakan dirinya tidak berdaya, Remontel meminta bantuan kepada kerajaan Perancis dan mereka bersetuju untuk campur tangan. Sebenarnya, kes Remontel ini adalah alasan yang baik bagi Perancis untuk menuntut hutang lain yang dipinjam Mexico.
Apabila Mexico tetap menolak, Perancis membesar-besarkan keadaan dengan menyerang Mexico dalam perang yang dinamakan "Perang Pastri". Perancis akhirnya berundur pada Mac 1839 apabila perjanjian damai ditandatangani.
Mexico berjanji akan membayar ganti rugi sebanyak 600,000 pesos sebagai ganti rugi kepada warga Perancis di negara itu. Mereka tidak membayar ganti rugi itu dan menyebabkan Perancis menyerang Mexico kali kedua pada 1861.
3. Perang Emu
Setelah Perang Dunia Pertama, Australia telah mengurniakan lot tanah di Barat Australia kepada veteran perang mereka. Mereka berharap veteran perang ini akan mengusahakan tanah dan menjadi peladang atau penternak.
Namun, veteran perang ini menemui kesulitan kerana kawasan itu juga merupakan habitat kepada 20,000 ekor spesies burung besar emu. Veteran perang ini mendapati sukar untuk menjalankan pertanian kerana emu sering merosakkan tanaman dan pagar kebun mereka.
Sebagai tindak balas, kerajaan Australia telah melancarkan perang terhadap spesies burung ini pada tahun 1932 yang dikenali sebagai "Perang Emu".
Kerajaan Australia turut mengerahkan agar senjata canggih ketika itu seperti mesingan digunakan tetapi spesies burung itu tetap bertahan. Perang Emu berakhir dengan kekalahan pada pihak kerajaan Australia.
4. Perang Tembikai
Pada pertengahan abad ke-19, pembinaan Landasan Kereta Api Panama menyebabkan ramai pendatang Amerika tiba di negara itu. Projek kereta api itu bagaimanapun gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang memerlukan.
Saban hari, semakin ramai pendatang Amerika di Panama dan keadaan itu membuatkan keadaan menjadi tegang antara penduduk tempatan dan pendatang Amerika.
Keadaan tegang itu berakhir dengan satu kejadian yang dikenali sebagai "Perang Tembikai" walaupun ia sebenarnya lebih kepada rusuhan besar. Pada April 1856, seorang pendatang Amerika bernama Jack Oliver telah mencuri sepotong tembikai bernilai 5 sen.
Perbalahan itu akhirnya bertukar menjadi rusuhan di mana penduduk tempatan mula menyerang perniagaan dan pendatang Amerika. Rusuhan itu menyebabkan puluhan nyawa terkorban dan ramai lagi cedera.
5. Perang disebabkan kipas
Pada tahun 1796, Republik Perancis telah membeli gandum daripada dua peniaga Yahudi yang menetap di Algeria. Dua peniaga Yahudi itu pula mempunyai hutang dengan pemerintah Algeria yang ketika itu di bawah penguasaan Empayar Uthmaniyyah.
Dua peniaga itu mendakwa mereka hanya mampu membayar hutang kepada Hussein Dey (pemerintah Algeria) jika pihak Perancis membayar mereka terlebih dahulu. Perancis tidak mempunyai niat untuk membayar hutang mereka sebaliknya menghantar diplomat bernama Pierre Deval pada 1827 untuk membincangkan perkara itu.
Ketika menemui Hussein Dey, diplomat Pierre Deval telah membuat kenyataan yang berbaur anti-Muslim. Hussein Dey yang mengesyaki Pierre bersubahat dengan peniaga Yahudi itu berang dan memukul diplomat itu menggunakan kipas tangan.
Kejadian yang dikenali sebagai "Fan Affair" itu menjadi alasan Raja Perancis untuk mengenakan sekatan ke atas Algeria selama tiga tahun dan menyerang negara itu pada 1830 sekaligus menjajahnya hampir seabad lamanya.