Satu ketika dahulu profesion memberikan seseorang kebolehan untuk fokus pada kerjaya mereka, tanpa ada banyak gangguan tambahan.
Bagaimanapun dalam dekad ini - semakin banyak jawatan kini memerlukan pemegang jawatan turut kena melakukan tugas tambahan dalam bidang pemasaran. Situasi begini menyebabkan beban ditanggung pekerja semakin menaik.
Ini kerana dia bukan saja diminta menyiapkan kerja hakiki yang ada bahkan perlu memenuhi beban melakukan promosi, sedangkan kerja itu bukanlah tugas mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Setuju atau tidak anda dengan situasi ini, berikut adalah lima jawatan yang kini sudah memerlukan seseorang melakukan marketing atas arahan orang atasan.
1. Jurnalis
Zaman sekarang, sukar untuk kita sebagai pembaca membezakan apakah artikel dalam konteks sebenar-benarnya artikel atau adalah iklan yang menyamar sebagai sebuah artikel.
Nota : Kami di Iluminasi pun terjebak dengan perkara serupa kadangkala kerana kami pun nak cari makan juga. Kadangkala.
Dalam era media sosial, berlakunya lambakan jurnalis, penulis atau pencipta kandungan yang keistimewaan mereka adalah menulis untuk mempromosi sehinggakan ada banyak kelas di jalankan bagi membantu 'penulis-penulis' ini mempunyai kemahiran menulis iklan atau copywriting dalam menjual.
Tidak banyak lagi karya tulisan wartawan atau jurnalis yang benar-benar meninggalkan impak kepada masyarakat, hasil olahan atau siasatan sendiri penulis itu.
Majoriti artikel yang berlegar di media sosial yang kini menjadi sumber utama bacaan kita, rata-ratanya adalah untuk menjual atau mempromosikan sesuatu dalam bentuk tulisan.
2. Pegawai bank
Urusan perbankan semakin dipermudahkan, menerusi penggunaan aplikasi yang menguruskan akaun kita. Bagaimanapun masih ada juga ketikanya kita perlu ke bank bagi menyelesaikan masalah kita.
Pernah tak anda hadapi situasi selepas bincang punya bincang, selesai semua masalah; pegawai bank itupun mula buat-buat tanya kita "kad kredit ada?" atau "ada buat pinjaman untuk pelaburan ASB tak?"
Kami tidak tahu adakah pegawai-pegawai bank ini dibayar komisyen seandainya mereka berjaya closed sale tersebut. Tetapi rata-rata pelanggan yang hadir ke bank adalah untuk menyelesaikan masalah mereka. Bukan untuk mendengar sales pitching dari pegawai bank yang ditemui.
Sudahlah pegawai melakukan cubaan jualan kepada pelanggan di kaunter, aplikasi perbankan pun turut sama semakin sarat dengan iklan dan promosi, jauh berbeza dengan aplikasi-aplikasi versi terdahulu yang ringkas, padat dan straight to the point.
3. Pensyarah
Penulis ada seorang kenalan yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah institusi awam.
Dia sering menceritakan bagaimana kini dia terpaksa menghabiskan hujung minggu menyertai road show pendidikan ke sana-sini bagi membantu kempen promosi institusi beliau.
Cerita sama turut diulangi seorang kenalan dari universiti swasta, yang menjadi promoter kepada kursus-kursus universiti setiap kali adanya eskpo pendidikan dianjurkan.
Kenapa ada institusi atau universiti melihat tindakan mengerahkan pendidik atau pensyarah menjaja dan menjual kursus yang ditawarkan, sebagai sesuatu yang bijak? Sedangkan setiap badan pendidikan sudah ada jabatan atau divisyen yang tugasnya khas untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan promosi.
Mungkin sesetengah orang melihat kehadiran pensyarah baik - tetapi dengan memaksa pensyarah berdiri mengedarkan risalah atau kertas promosi kepada orang ramai, sedikit-sebanyak prestij profesion pendidik itu sendiri direndahkan.
4. Juruwang
Bagi sesetengah pasaraya baik yang kecil ataupun besar, juruwang yang bertugas seakan menerima arahan untuk melakukan jualan yang dikategorikan dalam teknik pemasaran sebagai upselling.
Semasa pelanggan sedang bersedia untuk membayar, waktu itulah juruwang akan bertanya "nak beli item promosi kami?" atau "hari ni kami ada buat promosi ni" sambil menunjukkan kertas promosi yang ada.
Pengurusan pasaraya perlu sedar majoriti pelanggan yang sudah berdiri di depan juruwang dan bersedia untuk membayar sebenarnya sudah pun menamatkan pembelian mereka.
Cukup! Cukup! Kami tak mahu apa lagi dan kami tak mahu apa yang juruwang anda promosikan. Biar mereka menumpukan tugasan mereka sebagai juruwang dan tak perlulah mereka dibebankan dengan kerja tambahan nak promosikan pula jualan tambahan.
Lagipun, bukan semua juruwang mampu mempromosikan jualan dengan baik. Silap-silap pelanggan enggan kembali ke kedai anda, kerana rasa annoyed dengan juruwang anda yang terpaksa menyapa.
Jika majikan mengenakan syarat jualan kepada juruwang yang perlu mereka capai setiap bulan, pada pandangan penulis lagi baik kedai sebegitu diboikot saja oleh pelanggan. Anda ada pengalaman diarah sebegini?
5. Pempengaruh
Satu waktu dahulu, pempengaruh atau influencer adalah mereka yang mempunyai kekuatan dalam menentukan topik atau isu yang hangat dalam media sosial. Pengaruh dan pandangan mereka dihargai kumpulan warga siber.
Selepas syarikat-syarikat pengiklanan menyedari dengan menggunakan khidmat influencer membantu memasarkan produk atau servis mampu memberikan pulangan lebih lumayan dengan kos lebih rendah, kini ramai influencer hanya lebih layak digelar sebagai salesman yang popular.
Majoriti perkongsian influencer zaman sekarang kini lebih terarah kepada usaha menjana pendapatan dan keuntungan. Baca pun bosan aje kerana tahu pada hujung tulisan dia, akan ada la pautan affiliate diletak untuk buat sale.
Jarang dah anda dapat temui influencer yang ikhlas berkongsi tanpa sibuk nak mengiklan kepada anda sesuatu.