Bila kali terakhir anda berkunjung ke muzium yang ada di Malaysia?

Apabila kita bercerita tentang muzium, pameran muzium di negara kita biasanya akan memaparkan pameran atau tayangan berkenaan subjek sejarah atau mungkin juga pra-sejarah, yang berkaitan masyarakat kita.

Bagi mereka yang mungkin kurang gemar topik tersebut, mungkin anda boleh ke muzium-muzium berbeza seperti muzium barangan McDonald's yang ada dibuka di Kedah atau muzium hantu di Pulau Pinang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tak cukup aneh? Berikut adalah lima muzium aneh yang dibuka di seluruh dunia, sedia menanti kunjungan anda jika anda berkesempatan ke sana.

1. Muzium Seni Buruk, Massachussetts, Amerika Syarikat

bad art museum

Muzium biasanya akan memaparkan karya seni lukisan yang dianggap legenda sebagai daya tarikan utama. Tetapi bagi Museum of Bad Art atau MOBA, mereka lebih gemar mempamerkan karya bersifat sebaliknya.

Dibangunkan dengan hasrat mahu memberikan peluang kepada artis yang langsung tiada peluang mempamerkan hasil kerja mereka di galeri, MOBA dibuka sejak tahun 1994 di Massachussetts, Amerika Syarikat - bagi mengumpul dan memelihara karya-karya seni berstatus buruk yang boleh dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja penciptanya.

muzium lukisan buruk

Reaksi pengunjung yang hadir mengakui mereka puas hati dengan hasil karya yang dipamerkan, kerana masih mempunyai daya tarikan tersendiri walaupun kadangkala kualitinya jauh menjunam ibarat memberi monyet krayon dan kertas untuk berkarya.

Sekiranya anda nak merasa yakin dengan bakat melukis anda, hadirlah ke sini.

2. Muzium Putus Cinta, Zagreb, Croatia

muzium putus cinta

Berstatus sebuah muzium persendirian, setiap pengunjung yang hadir akan dikenakan bayaran sebanyak RM28 untuk mendapatkan tiket masuk; bagi menyaksikan sendiri pameran 'artifak' yang membawakan satu tema - putus cinta.

Dimulakan hasil kerjasama dua orang individu seni yang memilih untuk membawa haluan sendiri, kerjasama ini membantu mereka memperbaiki kembali hubungan yang retak selepas mereka bersetuju untuk mempamerkan koleksi peribadi yang dikongsi bersama sebelum itu.

Idea ini diperkembangkan dengan sumbangan daripada rakan dan kenalan, yang turut menderma memorabilia milik bekas kekasih atau pasangan hasil hubungan yang telah terputus. 

museum of broken relationships zagreb

Muzium pertama yang dibuka di Zagreb, telah mempunyai cawangan kedua di Hollywood, Amerika Syarikat yang mengumpulkan sumbangan bekas kekasih di sekitar kawasan itu pula.

Setiap pameran disertakan sekali dengan penerangannya serta kisah yang terjadi disebalik keruntuhan setiap perhubungan yang ada. 

3. Muzium Dalam Air, Cancun, Mexico

muzium arca dalam air

Lokasi muzium biasanya dipilih daripada kawasan yang strategik, mempunyai akses mudah serta mampu dijadikan tarikan pelancong. Bagaimana pula kalau sebuah muzium dibuka dalam air dan pengunjung perlu menyelam untuk menyaksikannya? 

Itulah pengalaman unik ditawarkan Cancun Underwater Museum (MUSA) yang terletak di Mexico, di mana muzium ini menawarkan pameran ukiran dan arca yang diperbuat daripada batu...tetapi semuanya berada di dalam lautan.

muzium dalam air cancun

Terletak di kawasan perairan yang dilindungi, ukiran yang dipamerkan bukan saja dijadikan bahan pameran bahkan turut bertindak sebagai terumbu tiruan di lautan.

Mempunyai lebih 500 arca pelbagai bentuk, pengunjung boleh memilih sama ada untuk menyelam sendiri atau menaiki bot berlantai kaca yang membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri setiap ukiran yang ada di situ.

4. Muzium Anatomi Kesihatan, Philadelphia, Amerika Syarikat

muzium pelik dan ganjil

Kami yakin pihak doktor dan pakar kesihatan gemar dengan pameran muzium ini. The Mutter Museum merupakan muzium unik yang menjadikan koleksi spesimen sebenar diambil daripada tubuh organisme sebagai bahan pameran mereka.

Tak kiralah bahan spesimen bersifat kering seperti tulang dan tengkorak manusia ataupun yang bersifat lembap seperti ketulan ketumbuhan yang terbentuk dalam tubuh manusia, tisu badan, sel kanser, sel tumor, organ dan sebagainya - semuanya dipamer secara terbuka kepada pengunjung.

muzium perubatan

Sekiranya anda teringin untuk menyaksikan sendiri rupa sebenar otak manusia, anda boleh berkunjung ke sini.

Menampilkan koleksi lama dan baru, dengan yang paling lama diambil daripada sampel pada tahun ke 7 Sebelum Masihi, tiket masuk ke muzium ini ditetapkan pada harga RM90 untuk seorang pengunjung. Kalau anda berminat dengan subjek sebegini, kami yakin anda akan merasakan caj yang dikenakan berbaloi sangat.

5. Muzium Zakar, Reyjhavik, Iceland

muzium alat sulit di iceland

Dengan koleksi lebih 300 zakar daripada pelbagai spesimen makhluk, Icelandic Phallological Museum merupakan muzium pertama didunia yang memfokuskan pameran mereka hanya kepada satu subjek sahaja - organ zakar.

Pengasas muzium ini menjadikan matlamat hidup beliau untuk mengumpul dan mempamerkan organ zakar kesemua makhluk hidup dari jenis mamalia, sebagai fokus utama.

Sekiranya anda tertanya-tanya bagaimanakah rupa batang zakar lembu, walrus, kuda, kambing dan mungkin juga ikan paus selama ini, anda berkemungkinan besar akan menemui jawapannya di sini. Selain zakar, testikel juga menjadi antara koleksi pameran utama. 

muzium aneh serata dunia

Kesemua organ yang dipamer dipaparkan dalam dua cara, sama ada direndam dalam larutan yang melindungi keadaannya atau dikeringkan dan digantung di dinding untuk direnung mereka yang ada.

Pada tahun 2011, muzium ini baru berjaya menerima sumbangan zakar lelaki pertama tetapi dilaporkan pihak pengendali muzium kurang berpuas hati dengan kualitinya; mereka masih mengharapkan spesimen zakar lelaki bersaiz lebih besar dapat diperolehi mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)