Biasanya, kes-kes pembunuham kejam dan berprofil tinggi sering kali berlaku di negara-negara luar terutamanya negara Barat.
Namun, sepanjang sejarah Tanah Melayu dan Malaysia, banyak jenayah kejam telah berlaku yang menggemparkan seluruh dunia. Iluminasi.com kongsikan 5 kes pembunuhan kejam yang pernah berlaku di Malaysia.
1. Pembunuhan beramai-ramai Mat Taram Bin Sa'al (Utoh) 1947
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa satu ketika dahulu pernah berlakunya pembunuhan beramai-ramai dalam kereta api di Malaysia (Tanah Melayu).
Penjenayah yang lebih dikenali sebagai "Utoh" atau nama sebenarnya Mat Taram bin Sa'al telah menikam dan membunuh 11 orang dalam kereta api yang sedang menghala ke Kuala Lumpur pada tahun 1947.
Utoh yang berusia 30 tahun dan berasal dari Indonesia dikatakan memiliki sebuah ladang di Parit Enam, Perak.
Dia mahu kembali tanah airnya dan membawa isteri dan anak-anaknya menaiki kereta api ke Singapura selepas menjual rumah dan ladangnya dengan harga 200 ringgit sahaja.
Walau bagaimanapun, apabila dia tiba di Singapura, Utoh mendapati bahawa dia tidak mampu untuk membeli tiket feri. Dia kemudiannya tertekan dan menaiki kereta api bersama keluarganya ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan itu, Utoh hanya mendiamkan diri.
Namun pada petang itu, sebaik sahaja kereta api tersebut melepasi Bangi, Utoh masuk ke gerabak kereta api yang berfungsi sebagai restoran lalu mengeluarkan pisau poket dan menikam empat orang tentera British yang sedang makan malam.
Akibatnya, kereta api tersebut terpaksa berhenti secara kecemasan. Utoh kemudiannya melompat keluar dari gerabak dan melarikan diri ke dalam hutan.
Dia kemudiannya menikam seorang lelaki gelandangan dalam perjalanannya ke sebuah kongsi (organisasi sosial Cina), lalu membunuh dua wanita warga emas, seorang lelaki, tiga kanak-kanak dan mencederakan 9 yang lain.
Tidak lama kemudian, pihak polis mendapat laporan tentang pembunuhan beramai-ramai tersebut dan mengejar Utoh, menyebabkan dia melarikan diri dan berjalan kaki selama 36 jam untuk pulang ke rumahnya di Parit Enam.
Setelah pulang, dia ditanya mengapa tidak pulang ke Indonesia.
Utoh menjelaskan bahawa dia dihalau turun disebabkan terlibat dalam pergaduhan kerana seorang budak menumpahkan air teh ke atasnya, membuatkan dia terpisah dengan keluarganya.
Dia menceritakan semula kisah ini kepada pihak polis ketika dia dibawa ke balai polis Sabak Bernam.
Salah seorang daripada pegawai polis di balai tersebut terbaca tentang pembunuhan di Bangi dan mengesyaki Utoh adalah dalang yang membawa kepada penahanannya.
Akhirnya, Utoh diisytiharkan mempunyai masalah mental dan dihantar ke hospital sakit jiwa Tanjong Rambutan.
2. Wanita warga emas Korea Selatan dibunuh di Genting Highland
Ini adalah salah satu kisah terbaru yang membuatkan kita berasa seram sejuk apabila mengetahui tentangnya. Seorang wanita warga emas warganegara Korea Selatan berusia 92 tahun ditemui mati di sebuah hotel di Genting Highlands.
Wanita yang dikenalpasti sebagai Hiang Lian Jin itu sedang berehat di dalam bilik hotelnya bersama-sama pembantu rumah warga tempatan sementara anak dan cucunya keluar. Tiba-tiba, seorang lelaki berusia 57 tahun memecah masuk ke dalam bilik mereka yang bersenjatakan pisau lalu menyuruh Hiang dan pembantu rumahnya untuk diam.
Lelaki itu kemudiannya mengikat kaki dan tangan mereka menggunakan tali. Dia kemudiannya memukul warga emas tersebut sambil berkata bahawa dia tidak puas hati kerana anak sulung wanita itu mengutuknya di belakang.
Hiang terus dipukul lelaki itu sehingga pengsan. Kemudian Hiang dibawa ke bilik air. Lelaki itu kemudiannya menunggu kepulangan anak perempuan Hiang dan memukulnya. Keesokan paginya, dia akhirnya meninggalkan bilik tersebut.
Malangnya, Hiang yang sudah berusia meninggal dunia akibat pukulan lelaki tersebut. Dua hari kemudian, pihak polis berjaya memberkas lelaki itu di Bukit Tinggi, Pahang.
3. Perbicaraan Mona Fandey 1993
Tidak dinafikan kes ini adalah antara yang paling popular, serta dikatakan sebagai perbicaraan yang paling menyeramkan berlaku pada tahun 1993. Mona Fandey pernah menjadi penyanyi pop sebelum dia memutuskan untuk menukar kerjaya dan menjadi seorang perawat alternatif.
Kerjayanya sebagai perawat alternatif mula berkembang dan Mona bekerjasama dengan suaminya serta dibantu seorang lelaki.
Pada tahun 1993, seorang wakil rakyat dari Pahang iaitu Mazlan Idris mendapatkan khidmat dari Mona kerana dia mahu menjadi lebih berjaya dalam dunia politik. Mona bersetuju untuk membantunya dan menawarkan tangkal yang dikatakan dimiliki oleh bekas presiden Indonesia, Sukarno. Mona mendakwa tangkal tersebut boleh membuatkan Mazlan digeruni dan kebal.
(Suami Mona Fandey, Mohd Affandi Abdul Rahman)
Sebagai balasan, Mona meminta bayaran sebanyak RM2.5 juta. Terpedaya dengan "kuasa" yang boleh diberikan oleh tangkal itu, Mazlan bersetuju dan membayar RM500,000. Dia juga memberikan Mona dan suaminya 10 hak milik tanah untuk menampung baki RM2 juta lagi.
Kemudian, Mazlan membuat temujanji dengan Mona untuk menjalani upacara pembersihan di rumahnya. Apabila dia sampai, Mona menyuruh Mazlan untuk baring di atas lantai. Mona menaburkan bunga ke atas Mazlan dan memberitahunya untuk menutup mata serta menunggu "wang jatuh dari langit". Dengan tak semena-mena, pembantunya iaitu Juraimi, menetak kepala Mazlan sehingga putus menggunakan sebilah kapak.
Mayat Mazlan kemudiannya dipotong kepada 18 bahagian, menyiat sebahagian kulitnya dan menanam di sebuah bilik stor berhampiran rumah mereka. Sepanjang perbicaraan itu, orang ramai terganggu dengan gambar-gambar Mona yang mengenakan pakaian yang bergaya dan sambil tersenyum seperti tidak ada apa yang berlaku.
Akhirnya, Mona, suami dan pembantunya didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman mati.
4. Dua pembunuhan kejam dan misteri di Pulau Pinang 2014
Pada tahun 2014, dua kes pembunuhan kejam yang disyaki mempunyai kaitan telah mengejutkan Pulau Pinang. Dalam kes pertama, mayat seorang wanita tanpa kepala dijumpai terapung beberapa kilometer dari Pulau Kendi pada 5 November 2014.
Polis tidak menemui sebarang pengenalan pada badan dan mendapat tahu bahawa tubuh itu telah terapung di laut selama lebih dari dua minggu sebelum ditemui. Tiga hari kemudian, mayat seorang lagi wanita ditemui dalam beg pakaian dengan kepala dan kakinya terputus. Badan mayat tersebut dibalut dengan selimut.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Kanan Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahmi, kes tersebut adalah kes yang paling kejam pernah diketahui. Mereka percaya bahawa pembunuhan itu dilakukan di tempat yang berlainan dengan lokasi mereka menjumpai mayat tersebut dan telah dibunuh di antara 24 dan 36 jam sebelum ditemui.
Universiti Sains Malaysia memberitahu bahawa mereka tidak dapat menolak kemungkinan sama ada pembunuhan-pembunuhan ini dilakukan atas sebab ritualistik, bersiri, tidak bersiri atau jenayah yang memberikan rasa ghairah kepada pelaku.
5. Charles Sobhraj (2003)
Berasal dari Kemboja, Charles Sobhraj adalah seorang pembunuh bersiri yang sangat terkenal. Digelarkan sebagai "Bikini Killer", "The Splitting Killer", and "The Serpent", Charles kekal sebagai salah seorang pembunuh yang paling menakutkan di Asia Tenggara.
Dia telah melakukan sekurang-kurangnya 12 hingga 24 pembunuhan dan dipercayai mempunyai masalah mental yang kronik. Malah, Charles juga menerima status selebriti daripada jenayah-jenayahnya, dengan empat buah buku dan 3 dokumentari dihasilkan mengenainya.
Dia bermula dengan merompak pelancong di pelbagai negara di Eropah dan Timur tengah, serta menghabiskan sebahagian besar hidupnya melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa di Thailand, Charles bertemu dengan seorang pemuda India bernama Ajay Chowdhury yang juga merupakan seorang penjenayah dan menjadi rakan jenayahnya.
Di siti juga Charles beremu dengan salah seorang pengikut setianya, seorang wanita Kanada bernama Marie-Andrée Leclerc. Kedua-dua mereka melakukan pembunuhan pertama mereka pada tahun 1975 apabila mereka melemaskan seorang wanita Amerika di kolam di Teluk Thailand.
(Marie-Andrée Leclerc)
Polis percaya bahawa Charles dan Ajay mengenali mangsa mereka terlebih dahulu sebelum meyakinkan mereka untuk menyertai jenayah mereka. Walau bagaimanapun, mereka membunuh mangsa-mangsa tersebut apabila mereka enggan terlibat dalam jenayah dan mengancam untuk melaporkan kepada pihak polis.
Sejak itu, mereka terus membunuh orang asing dengan mencekik, membakar atau menenggelamkan mereka. Beberapa mangsa perempuan mereka memakai bikini yang serupa, di mana Charles mendapat nama panggilan "Bikini Killer".
Dia didapati meracun mangsa sebagai cara memanipulasi mereka untuk mematuhi perintahnya. Pembunuhan mereka diteruskan dan mereka juga mencuri pasport mangsa supaya dapat mengembara ke seluruh dunia tanpa dikesan oleh pihak polis.
Pada Mac 1976, Charles kembali ke Bangkok di mana dia ditangkap dan disoal selidik oleh pihak polis, namun akhirnya dibebaskan kerana pihak berkuasa takut perbicaraan pembunuhan itu akan menyakiti industri pelancongan Thailand.
Selepas itu, Charles mengembara bersama-sama Marie ke Malaysia. Ajay kemudiannya dihantar ke Malaysia untuk membantu mencuri permata dan menghantarnya kepada Charles. Sejak Ajay menjejakkan kakinya di Malaysia, dia didapati telah hilang dan tidak dapat dikesan lagi. Diceritakan oleh Charles bahawa dia telah membunuh Ajay dengan kejam di Malaysia sebelum meninggalkan negara ini bersama-sama Marie ke Geneva untuk menjual batu permata yang dicuri.
Charles meneruskan aktiviti merompak dan membunuh di negara-negara luar sehinggalah dia akhirnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun di New Delhi pada Julai 1976. Selepas dibebaskan, Charles menghabiskan sebahagian besar hidupnya mengenakan bayaran kepada sesiapa yang berminat untuk menghasilkan dokumentari atau menulis buku tentangnya.
Pada September 2003, Charles ditemui oleh seorang wartawan di Kathmandu, Nepal, yang kemudiannya memberitahu pihak berkuasa tempatan. Dia ditangkap dan didakwa dengan dua pembunuhan (kes berlainan) yang dilakukannya pada tahun 1975 dan kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2004.
Rujukan:
2. Wikivisually
3. Ozy