Zoo adalah tempat di mana kita boleh melihat, mempelajari dan mengenali haiwan liar dengan lebih dekat lagi. Bagi haiwan liar yang berbahaya pula, ia biasanya ditempatkan di kandang atau kawasan yang dikawal rapi supaya keselamatan haiwan dan pengunjung terjamin.
Namun, ini tidak bermakna malapetaka dapat dielakkan sepenuhnya. Sedikit kesilapan atau kelalaian boleh mengundang padah terutamanya apabila berurusan dengan haiwan ganas seperti harimau.
Dalam artikel berikut, kami akan kongsikan beberapa kes serangan harimau yang menyebabkan kematian petugas zoo.
1. Petugas Zoo Singapura diserang Harimau Bengal
BESARKAN TEKS A- A+
Nordin Bin Montong adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Zoo Singapura. Pada 13 November 2008, Nordin yang berusia 32 tahun ketika itu melakukan sesuatu di luar dugaan. Dia telah melompat masuk ke dalam parit yang memisahkan penonton dan Harimau Bengal.
Nordin kemudian didekati tiga ekor Harimau Bengal bernama Omar, Jippie dan Winnie. Nordin cuba mengacukan penyapu dan baldi bagi menghalau harimau-harimau itu.
Malangnya, Omar menerpa ke arah Nordin dan menyerangnya. Nordin dilihat terbaring sambil menutupkan kepalanya menggunakan baldi. Dalam masa yang sama, Nordin sempat menjerit "Jika nak bunuh aku, bunuhlah. Ampunkan aku Ya Allah, Allahuakbar."
Walaupun petugas lain berjaya mengalih perhatian ketiga-tiga harimau itu namun Nordin telah mengalami sebanyak 90 kecederaan luaran dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Kejadian yang menimpa Nordin itu masih lagi misteri. Dia tidak mempunyai rekod masalah mental dan dianggap sebagai pekerja yang baik. Nordin turut berkelakuan pelik dengan membuang lesen memandu dan kupon makanannya ke dalam kandang buaya sebelum tragedi itu.
2. Harimau Siberia 300kg menyerang penjaganya
Pada Jun 2021, seorang penjaga haiwan di Zoo Afrika Selatan maut apabila dibaham seekor Harimau Siberia seberat 300kg. Pekerja yang bernama David Solomon, 52, ketika itu berada di lorong yang memisahkan beberapa kandang harimau.
Sewaktu kejadian, pagar elektrik yang mengurung haiwan itu telah dimatikan untuk kerja penyelenggaraan. Tanpa diduga, seekor Harimau Siberia bernama Jasper telah melompat melepasi pagar setinggi 12 kaki itu dan cuba menyerang David.
David cuba untuk memanjat pagar lain tetapi Jesper menariknya dengan kuat sehingga menyebabkan leher lelaki itu patah. Jesper kemudian melompat pula ke kandang lain sebelum menyerang dan membunuh harimau bernama Judah.
Pihak zoo sedih atas pemergian David yang telah berkhidmat selama 15 tahun di zoo itu. David juga membesarkan Jasper sejak harimau itu masih kecil lagi.
3. Cicip si Harimau Malaya di England
Pada tahun 2017, seorang pekerja wanita di Zoo Hamerton di Cambridgeshire, England, maut akibat dibaham seekor Harimau Malaya. Mangsa berusia 33 tahun bernama Rosa King itu bertugas sebagai penjaga senior haiwan karnivor di zoo itu.
Ketika kejadian, seekor Harimau Malaya bernama Cicip telah diumpan untuk masuk ke dalam kurungan bagi melakukan tugas pembersihan. Rosa kemudian masuk ke dalam tempat pameran harimau untuk membersihkan cermin yang memisahkan penonton dan haiwan itu.
Rosa tidak menyedari bahawa pintu kurungan Cicip itu masih belum lagi ditutup dengan betul, menyebabkan haiwan itu meluru keluar dan menyerangnya. Seorang pengunjung bernama Frank York menyedari kejadian itu dan memaklumkan kepada petugas lain.
Para petugas lain berjaya mengumpan Cicip kembali ke kurungan tetapi keadaan Rosa agak parah dan gagal diselamatkan. Pihak pengurusan zoo kesal dengan kejadian itu dan cuba untuk memperbaiki sistem keselamatan sedia ada.
4. Harimau terlepas di Zoo Singka, Indonesia
Pada 6 Februari 2021, dua ekor Harimau Sumatera betina berusia 18 bulan telah terlepas daripada kurungan di Zoo Singka di Bandar Singkawan, Kalimantan Barat, Indonesia. Kedua-dua ekor harimau itu terlepas setelah berlakunya kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat selama beberapa hari.
Ekoran kejadian itu, beberapa tempat tumpuan pelancong berhampiran zoo diarahkan tutup bagi menjalani operasi memburu harimau yang terlepas. Penduduk pula disarankan duduk di rumah.
Sehari kemudian, salah seekor daripada harimau itu berjaya ditangkap setelah ditembak dengan ubat pelali. Manakala seekor lagi pula terpaksa ditembak mati setelah bertindak ganas dan gagal ditenangkan menggunakan ubat pelali.
Pihak pengurusan zoo juga telah menemui mayat seorang penjaga haiwan berusia 47 tahun berhampiran kandang harimau yang terlepas itu. Mayat lelaki itu ditemui dengan kesan gigitan dan cakar harimau di tubuhnya.
Selain mayat penjaga haiwan, mereka juga menemui beberapa bangkai haiwan lain seperti burung unta dan monyet berhampiran kandang harimau itu.
5. Dua kejadian berasingan dalam tempoh seminggu
Pada bulan Mei 2021, berlaku dua kejadian serangan harimau di dua zoo berbeza di China. Dalam kejadian pertama, seorang penjaga zoo bernama Yang telah dibaham harimau ketika sedang membersihkan kandang haiwan itu di sebuah zoo di daerah Anhui.
Petugas berusia 55 tahun itu merupakan seorang penjaga harimau yang berpengalaman dan telah berkhidmat untuk Zoo Zhanggongshan selama hampir 20 tahun.
Dalam kejadian kedua yang berlaku beberapa hari kemudian, pihak berkuasa terpaksa menembak mati dua ekor harimau di daerah Henan. Harimau-harimau itu telah menyerang seorang petugas yang sedang memberikan mereka makanan sebelum melarikan diri dari tempat kurungan.
Kedua-dua harimau itu dipinjamkan daripada sebuah sarkis di Suzhou kepada Danjiang Peacock Valley. Cubaan untuk memerangkap dan menembak pelali gagal dan pihak berkuasa khuatir haiwan itu terlepas ke penempatan penduduk.
Pihak berkuasa juga telah menggantung operasi Danjiang Peacock Valley kerana menyewa harimau-harimau itu tanpa lesen yang sah untuk dijadikan pertunjukan kepada pengunjung.