Kerja gomen mungkin bukan pilihan utama rakyat Malaysia yang lebih selesa bekerja dalam sektor swasta.
Ini kerana dengan menyertai sektor awam, ada banyak kekangan akan dikenakan kepada kita yang mengakibatkan beberapa aspek kebebasan seperti memilih lokasi kerja sendiri tidak lagi kita perolehi.
Selain itu dalam aspek tertentu, penjawat awam boleh dikerah melakukan sesuatu secara paksaan seperti pendaftaran pengkalan data PADU yang menimbulkan polemik di negara kita. Dalam banyak kelemahan yang ada, ada 5 manfaat utama diterima kesemua penjawat awam yang tidak ada pada kumpulan pekerja lain.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Cuti belajar
Bagi mereka yang pernah cuba menyambung pelajaran dan dalam masa yang sama masih perlu bekerja baik sepenuh atau separuh masa, anda sudah pasti faham azabnya cuba melakukan kedua-dua perkara itu serentak.
Bukan semua syarikat swasta mampu memberikan pekerja mereka peluang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dengan gaji masih berjalan. Dalam sektor awam pula, peluang untuk seseorang melanjutkan pengajian dengan gaji berjalan (selalunya separuh gaji) adalah sesuatu yang sangat membantu,
Dan peluang ini membolehkan penjawat awam 'cuti kerja untuk belajar' dalam jangka masa panjang, membolehkan mereka fokus 100% kepada kelas atau kuliah tanpa perlu memikirkan masalah nak cari duit.
Yang lebih sedap, mereka juga tidak perlu risau akan dibuang kerja kerana posisi yang mereka tinggalkan sementara masih menanti mereka.
2. Pinjaman perumahan yang tetap
Setiap kali dengar istilah OPR disebut-sebut yang berkait dengan Bank Negara Malaysia, ramailah rakyat Malaysia akan berpeluh menunggu pengumumannya.
Kalau naik nilai OPR akan naiklah jumlah bayaran yang perlu kita servis untuk pinjaman, selalunya jenis pinjaman perumahan.
Bagi penjawat awam pula, isu ini tidak timbul sekiranya mereka melakukan pinjaman perumahan dengan LPPSA atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang menawarkan kadar pinjaman konsisten sepanjang tempoh bayaran berlaku. Tersenyum saja penjawat awam melihat pekerja swasta gelabah.
Lebih menguntungkan, kelayakan pinjaman LPPSA lebih ringan berbanding tawaran pinjaman dengan bank; membolehkan penjawat awam bergaji rendah memiliki kediaman sukar pihak bank luluskan kalau dia bekerja swasta.
3. Kemudahan hospital
Ramai orang yang berkemampuan gemar ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan perubatan. Kata mereka, hospital swasta selesa dan 'tak perlu tunggu queue' kalau rawatan segera diperlukan.
Bagi penulis yang tak pernah sekalipun ke hospital swasta dan memanfaatkan sepenuhnya rawatan perubatan keluarga di hospital kerajaan menggunakan kelayakan isteri yang bergelar penjawat awam; realitinya hospital kerajaan adalah pilihan terbaik.
Berrgelar penjawat awam membolehkan anda menerima rawatan pada kadar bayaran yang tak masuk akal, malah anda tak perlu pun melanggan kad perubatan yang memerlukan anda membayar ratusan ringgit secara bulanan - memberikan anda penjimatan yang cukup ketara.
4. Tangga gaji yang jelas dan bonus
Dari segi pendapatan, satu perkara yang bagus berkenaan sistem penjawat awam adalah ketelusannya. Semua penjawat awam dinilai mengikut kelulusan pendidikan dan tahun pengalaman yang akhirnya akan menentukan berapa nilai gaji pokok serta elaun mereka.
Sistem sebegini sangat berkesan dalam mengelakkan ketidak adilan dalam kiraan gaji, yang sering berlaku pada pihak swasta. Rungutan seperti kakitangan baru masuk dapat gaji lebih tinggi berbanding berbanding pekerja lama atau tiada kenaikan gaji tahunan dapat diminimakan. Isu beza gaji ikut kaum pun tak wujud dalam kaedah penjawat awam.
Bonusnya pula walaupun tidaklah semewah syarikat-syarikat swasta berstatus gergasi, memadailah. Sekurang-kurangnya ada.
5. Golden handshake
Dalam banyak-banyak manfaat paling best bergelar penjawat awam, bayaran gratuiti atau lebih terkenal sebagai golden handshake adalah manfaat terbesar yang bakal diterima semua penjawat awam selepas mereka menamatkan perkhidmatan.
Bayaran ini membolehkan ramai penjawat awam melayari usia tua dengan baik. Ada yang membeli kediaman di kampung untuk berehat. Ada yang menunaikan umrah. Ada juga yang tidak bernasib baik, jadi mangsa scam.
Dikira berdasarkan formula khas yang mengambil kira jumlah tahun perkhidmatan, jumlah hari bercuti dan beberapa faktor lain, amaun yang bakal diterima penjawat awam agak besar jugalah jika perkhidmatannya lama.
Dan gratuiti ini berbeza dengan pencen ya. Pencen dapat, gratuiti pun dapat jika mereka mula berkhidmat pra 2023. Yang dilantik secara kontrak baru tanpa pencen, tak pastilah penulis akan terima gratuiti atau tidak.