Kita dapat mengkaji mengenai hidupan manusia dan haiwan pada masa lampau berdasarkan penemuan fosil dan beberapa bukti saintifik lain. Malangnya, kerana faktor cuaca ada fosil yang musnah dan tidak semua fosil yang ditemui berada dalam keadaan baik, seterusnya menyukarkan kajian lebih mendalam dilakukan padanya.
Namun, di kawasan sejuk beku seperti Siberia, fosil-fosil dann spesimen-spesimen haiwan yang ditemui kebanyakannya masih dalam keadaan baik kerana cuaca dan iklim kawasan itu sendiri yang sangat sejuk sepanjang tahun. Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 fosil popular yang ditemui di kawasan sejuk beku Siberia ini.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Badak berbulu purba
Satu bangkai badak berbulu purba (woolly rhino) yang hidup di muka Bumi kira-kira 10 tahun lalu telah ditemui di tebing sungai yang beku di Siberia. Anak badak tersebut yang diberi nama "Sasha" oleh pemburu dan ahli perniagaan yang menjumpainya, adalah satu-satunya spesimen lengkap yang pernah dijumpai untuk spesies yang pupus ini,
Spesimen ini kemudiannya telah didermakan kepada Akademi Sains Yakutian di Rusia untuk kajian lanjut. Para penyelidik ini berharap dapat mengekstrak DNA dari spesimen ini untuk menentukan kedudukannya di rantaian keluarga haiwan mamalia. Bangkai anak badak yang dijumpai ini panjangnya kira-kira 1.5 meter dan tinggi 0.8 meter.
Sejak abad ke-18, hanya beberapa kesan peninggalan badak berbulu dewasa yang ditemui. Dua bangkainya tanpa rambut dijumpai di Staruni atau sekarang dikenali sebagai wilayah Ukraine dan seekor lagi dijumpai membeku tanpa kepala ditemui di timur Siberia.
2. Anak gajah gergasi purba
Para pengkaji telah menemui 2 spesis bangkai anak gajah mammoth yang pernah hidup di muka Bumi kira-kira 40,000 tahun dahulu di 2 kawasan berasingan di Siberia. Spesimen ini kemudiannya diletakkan di bawah imbasan CT dan satu daripadanya yang diberi nama Lyuba dipercayai terbenam dalam lumpur tebal 42,000 tahun yang lalu.
Hasil pemeriksaan ini tidak hanya menunjukkan tulang tetapi otot, organ dan juga perut. Para penyelidik berharap dapat mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan dan penyesuaian haiwan ini di kawasan hidupan mereka di Siberia yang mempunyai cuaca sejuk yang sangat ekstrim.
Lyuba berjaya diawetkan dengan sempurna secara semulajadi kerana bakteria penghasil asid laktik telah "menjajah" tubuhnya sejurus selepas kematiannya, seterusnya mengelakkan bangkainya ini dimakan oleh haiwan pemangsa yang lain sejurus kematiannya.
3. Bison purba
Pada tahun 2011, spesimen bison Steppe (Bison priscus), saudara kuno bison moden telah ditemui oleh sebuah suku di Yana-Indigirka di Siberia Utara. Penyelidik kemudian telah melakukan kajian nekropsi menyeluruh atau autopsi terhadap fosil beku ini yang hidup di muka Bumi sekitar 9000 tahun lalu.
Keadaan Siberia yang membeku membolehkan sistem jantung, otak dan pencernaan haiwan ini terpelihara dan lengkap bersama dengan saluran darah yang hampir sempurna. Beberapa organ telah menyusut dari masa ke masa tetapi penemuan ini masih dilihat sungguh luar biasa.
Anggota suku Yukagir di dataran rendah Yana-Indigirka di utara Siberia menemui fosil bison ini di sepanjang tepi tasik yang sedang mencair. Spesimen itu dipinjamkan ke Akademi Sains wilayah tersebut di mana ia disimpan dalam keadaan beku sehingga dapat diperiksa oleh para penyelidik.
4. Lenskaya (Kuda purba)
Seekor kuda berusia dua bulan telah ditemui dengan tidak ada kerosakan pada spesimen itu sama sekali. Ketika hidupnya, kuda kecil itu dianggarkan mempunyai tinggi hampir 1 m dan kuku kakinya masih dalam keadaan utuh bersama dengan rambut halus yang masih terlihat di lubang hidung anak kuda itu.
Anak kuda itu adalah dari jenis Lenskaya yang tinggal di kawasan itu antara 30,000 hingga 40,000 tahun yang lalu, menurut Semyon Grigoryev, ketua muzium Yakutia Mammoth.
Untuk kajian lebih mendalam, para saintis mengambil sampel cecair rambut dan biologi dari bangkai itu dan cecair serta tanah yang menutupi spesimen tersebut. Kumpulan pengkaji ini membuat teori bahawa haiwan ini mungkin mati kerana terjatuh dalam kawah itu dan mati kelemasan.
5. Kucing purba
Boris Berezhnev, seorang lelaki yang sedang memburu gading raksasa di Siberia Timur menemui penemuan yang tidak dijangka di kawasan tersebut, iaitu bangkai kucing yang dipercayai hidup pada zaman ais dahulu. Bangkai tersebut ditemui di tepi Sungai Tirekhtykh.
Masih belum jelas sama ada kucing purba ini adalah singa gua atau lynx Eurasia, tetapi berdasarkan bahagian badan kucing dan tanda bulu di lehernya menunjukkan bahawa spesimen itu mungkin adalah lynx Eurasia.
Sekiranya ia adalah lynx Eurasia, spesimen yang baru dijumpai akan menjadi spesimen kedua spesies ini yang diketahui berasal sejak zaman ais terakhir yang ditemui di wilayah tersebut.
Kredit: