Bila bercakap tentang kopi, ramai yang masih berdebat sehingga ke hari ini sama ada kopi itu menyihatkan atau memudaratkan. Berikut kami berikan fakta mengenai kopi yang mungkin ramai orang belum tahu.
#1 Kandungan kopi
Kopi mengandungi lebih daripada 1,000 bahan kimia. Kuantiti dan rumusannya bergantung kepada jenis kopi, cara kopi ditanam dan kaedah yang digunakan untuk memproses. Secara umumnya, biji kopi hanya mengandungi karbohidrat, lemak, protein dan air. Bahan lain yang terkandung dalam biji kopi termasuk asid (klorogenik dan kafeik), alkaloid (termasuk kafein), mineral, vitamin dan lain-lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Kajian yang dijalan oleh Instituto del Frío, Sepanyolmendapati kopi yang sedia diminum mengandungi roughageatau pelawassebanyak 1 hingga 1.5 gram dalam setiap cawan. Semua makanan yang dibuat daripada tepung bijirin gandum mengandungi secara purata 6 gram roughage bagi setiap 100 gram produk. Roughage ini merupakan sejenis bahan serat dalam diet yang tidak boleh dihadam oleh tubuh dan boleh membantu aktiviti pergerakan usus.
#2 Kafein
Dos kafein yang tinggi boleh menyebabkan kesan toksik pada badan, sama seperti bahan alkaloid yang lain. Sekiranya anda minum 3-4 cawan kopi (bersamaan 300-400mg kafein) setiap hari, sebenarnya ia tidak menjadi masalah bagi orang dewasa yang sihat secara umumnya. Jika seseorang mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap kafein, maka tiada sebab kukuh dari segi perubatan yang boleh digunakan agar dia berhenti minum kopi. Kesan penerimaan kafein bagi seseorang individu berbeza-beza. Jadi, kenali tubuh badan sendiri dan ketahui had anda! Kalau dah mula rasa kepala berdenyut-denyut tu, pandai-pandailah berhenti.
#3 Kopi boleh membantu meningkatkan pencapaian kognitif individu
Kajian oleh penyelidik dari RMIT University, Melbourne, Australia mendapati kopi berupaya bertindak sebagai perangsang otak apabila individu memberikan respon. Satu kajian lain oleh seorangahli psikofarmakologi dari University of Groningen, Netherlandsjuga mendapati seseorang menjadi lebih peka dan pantas menyelesaikan tugasan setelah meminum kopi.
Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian ini tidak memberikan bukti yang kuat kerana ujian dijalankan dalam skala kecil. Kajian yang lebih menyeluruh dan berskala besar perlu dibuat untuk benar-benar mengaitkan kopi sebagai agen rangsangan otak.
#4 Mengurangkan risiko penyakit berbahaya
Harvard Medical School telah menulistentang kebaikan dan keburukan kopi, atau secara spesifiknya kafein dalam kopi, berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat oleh universiti itu. Artikel yang dikeluarkan pada tahun 2012 itu menyatakan kafein boleh membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti Alzheimer, kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular dan Parkinson's.
#5 Kopi mengandungi agen pengantioksidaan
Kopi dikatakan mengandungi asid klorogenik yang merupakan suatu agen antipengoksidaan. Namun menurut Dr. Tina M. St. Johns,kandungan asid klorogenik ataupun CGA dalam kopi akan berkurangan apabila kopi dibakar. Eksperimen yang dijalankan dalam makmal sememangnya menunjukkan bahawa CGA memberi kesan yang kuat dalam antipengoksidaan di mana ia meneutralkan bahan kimia yang boleh merosakkan tisu dalam badan. Namun para saintis masih memerlukan kajian mendalam untuk tahu sejauh mana CGA daripada kopi ini bertindakbalas dengan manusia.
Para penyelidik sebenarnya masih berwaspada apabila memberi kenyataan berkaitan kopi dan kesihatan orang awam. Belum ada kajian yang benar-benar kukuh untuk mendakwa sama ada kopi ini baik untuk kesihatan atau memudaratkan.
Walau bagaimanapun, kopi sememangnya suatu minuman yang selamat untuk diminum setiap hari. Tetapi supaya lebih selamat, minumlah sekadar yang perlu - lebih kurang satu atau dua cawan sahaja sehari.
Jika anda mengandung, menyusukan anak, mempunyai penyakit darah tinggi ataupun mengalami rasa berdebar-debar dan jantung berdenyut laju selepas meminum kopi, sila jumpa doktor anda dengan segera untuk nasihat lebih lanjut.
Semua makanan pun ada kebaikan dan keburukannya, yang penting sentiasa beringat dan berpada-pada. Kan?