Masalah perkauman berdasarkan kepada warna kulit merupakan antara masalah yang akan sering timbul, di negara-negara yang mempunyai komuniti majmuk. Walau bagaimana gigih masyarakat cuba untuk membentuk kesedaran tentang isu ini, realitinya isu rasisme warna kulit seakan tidak mungkin padam.
Golongan kulit hitam di Amerika Syarikat walaupun sudah berjaya diangkat naik menjadi Presiden Amerika Syarikat, masih berdepan isu serupa. Kes-kes rasisme melibatkan komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat seakan berada pada satu tahap yang jauh lebih tinggi.
BESARKAN TEKS A- A+
Dianggap sebagai satu norma masyarakat oleh komuniti kulit hitam, penindasan dari segi sosial malahan sistem pentadbiran negara itu sendiri kadangkala sukar dipercayai kisahnya. Realitinya mampu membuatkan kita hanya ternganga melihat bagaimana rasis sesetengah individu hanya kerana warna kulit mereka.
1. Dihalang masuk ke rumah sendiri
Pada bulan Oktober tahun 2018, D'Arreion Nuriyah Toles seorang lelaki berusia 24 tahun sedang memasuki pintu masuk bangunan apartment mewah yang disewanya. Secara kebetulan, seorang wanita bernama Hillary Mueller sedang mahu keluar daripada bangunan tersebut bagi membawa anjingnya berjalan.
Merasa syak wasangka tentang status Toles, Mueller bertindak menghalang Toles daripada masuk walaupun Toles cuba menjelaskan status beliau sebagai seorang penyewa sebenar di situ. Selepas cuba dipujuk agar diberikan laluan, Toles hilang sabar lalu merempuh masuk menaiki lif. Mueller yang masih menaruh syak wasangka mengikuti Toles dengan anjingnya.
Tiba ke unit apartment, Toles membuka pintu dan masuk - membuktikan dirinya adalah penghuni di situ. Bagaimanapun, Mueller yang tidak berpuas hati bertindak melakukan panggilan kecemasan pada polis. Tidak lama selepas insiden itu yang direkodkan Toles, pintu unitnya diketuk kerana 'ada jiran berasa kurang selesa dia menyewa di situ.' Selepas video insiden itu tular, Mueller dipecat daripada kerjanya. (Hillary Thornton says she's not racist)
2. Diganggu kerana menjaga anak kulit putih
Corey Lewis merupakan seorang pengusaha program mentor yang gemar melakukan kerja-kerja amal, mendidik kanak-kanak sambil bertindak sebagai pengasuh. Pada hari itu, giliran dua orang kanak-kanak kulit putih bernama Addison (10 tahun) dan Nicholas (6 tahun) diletakkan di bawah jagaannya jadi Lewis memilih untuk membawa mereka berjalan-jalan.
Selepas keluar daripada pasaraya, mereka bertiga didatangi oleh seorang wanita yang bertanya kepada dua kanak-kanak itu, adakah mereka selamat? Selepas diberitahu mereka baik, wanita itu beredar sebelum kembali sekali lagi - meminta Lewis menjelaskan situasi yang pada wanita itu 'aneh.' Wanita itu menelefon pihak polis dan anggota polis bergegas memeriksa apa yang berlaku.
Apa yang lebih memburukkan keadaan, walaupun sudah diperjelaskan oleh Lewis, Addison dan Nicholas - anggota polis itu sendiri tidak yakin dengan kata-kata Lewis. Selepas dijelaskan oleh kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut, barulah anggota polis itu mengakui tidak ada sebarang jenayah sedang berlaku.
3. Disoal-siasat kerana makan tengahari
Salah satu kisah yang menunjukkan betapa teruknya masalah rasisme di Amerika Syarikat melibatkan seorang pelajar tahun dua di Smith College bernama Oumou Kanoute. Kanoute juga turut sama bekerja mengajar kimia dalam program melibatkan STEM di sekolah-sekolah menengah di sekitar Massachussetts.
Sedang makan di asrama kediamannya, salah seorang pegawai kolej diiringi seorang pegawai polis hadir menemuinya. Ini ekoran satu laporan yang dibuat oleh seorang individu tidak dikenali mengesyaki Kanoute menceroboh masuk ke situ. Dalam panggilan tersebut, individu itu melaporkan terdapat seorang 'lelaki' yang tidak sepatutnya ada di kawasan tersebut berkeliaran.
Berikutan undang-undang privasi menghalang identiti pemanggil didedahkan, sehingga kini Kanoute tidak mengetahui siapakah yang melaporkan dirinya. Apa yang diketahui, pemanggil itu adalah kakitangan kolej tersebut sendiri. Pihak Smith College memohon maaf atas apa yang berlaku dan berjanji akan menangani kes sedemikian rupa dengan lebih baik, seandainya berlaku lagi. (‘All I Did Was Be Black’)
4. Rasisme di Yale University
Dinobatkan sebagai salah sebuah universiti terbaik dunia tidak menjamin pelajar di dalamnya mampu berfikiran rasional dan matang. Itulah yang berlaku dalam sebuah insiden pada bulan Mei tahun 2018 apabila seorang pelajar kulit hitam bernama Lolade Siyonbola terlelap di salah sebuah bilik kegunaan umum, kepenatan semasa menyiapkan tesisnya.
Sarah Braasch, salah seorang pelajar doktor falsafah jurusan psikologi berkulit putih di situ mengesyaki status Siyonbola sebagai pelajar, melakukan panggilan polis melaporkan syak wasangkanya. Alasannya - ada individu yang tak sepatutnya ada di situ.
Dua anggota polis yang hadir meminta dokumen pengenalan diri milik Siyonbola, atas alasan 'kita di bangunan milik Yale dan status Siyonbola sebagai pelajar perlu dibuktikan.' Insiden itu memaksa pihak pengurusan Yale University mengeluarkan kenyataan, memohon maaf atas apa yang telah berlaku serta melipat gandakan usaha dalam memerangi unsur rasisme di kalangan pelajar mereka.
5. Ditembak mati kerana disangkakan perompak....di kediaman sendiri
Kisah yang amat menyayat hati ini merupakan satu insiden yang benar-benar mencerminkan kekeliruan sistem sosial Amerika Syarikat sekarang. Botham Shem Jean merupakan seorang juruanalisis sebuah firma audit PricewaterhouseCoopers yang tinggal sendirian di sebuah apartment satu bilik di Dallas. Baru berusia 26 tahun, Jean pulang ke rumahnya dan masuk, bersedia untuk berehat - tidak mengunci pintunya.
Penat selepas bekerja lebih 14 jam, seorang pegawai polis wanita bernama Amber Guyger terkejut melihat pintu apartmentnya terbuka. Dia mengeluarkan pistol dan mendapati ada lembaga sedang duduk menonton TV di dalam rumah. Jean yang terkejut dengan apa yang berlaku cuba menghampiri Guyger namun Guyger melepaskan tembakan. Dua tembakan tepat mengenai badan Jean yang disangkakan perompak.
Selepas tembakan dilepaskan, barulah Guyger menyedari dia sebenarnya tersilap apartment kerana unit miliknya, berada betul-betul di atas unit Jean. Atas kesilapan membunuh jirannya sendiri, Guyger dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun. Hukuman yang lebih ringan diberikan kerana peguambela berjaya membuktikan di kawasan kejiranan itu, kejadian tersalah unit sendiri memang kerap berlaku. (Ex-officer Amber Guyger testifies)