Teksi merupakan salah satu pengangkutan awam yang sudah digunakan sejak puluhan tahun yang lalu. Walaupun kini terdapat pelbagai pilihan untuk pengangkutan awam, boleh dikatakan hampir setiap negara di dunia mempunyai perkhidmatan teksi.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, beberapa perkhidmatan teksi di beberapa bandar-bandar utama menjadi ikon terkenal dan lambang pengangkutan awam sesebuah negara itu. Kali ini kami ingin kongsikan beberapa teksi terkenal di seluruh dunia.
10. VW Beetle - Mexico City
Boleh dikatakan semua orang sukakan kereta VW Beetle ini. Kenderaan yang sering dipanggil "kereta kura-kura" ini menjadi ikon kepada Mexico City, Mexico. Anda boleh menikmati keindahan bandar ini sambil duduk di dalam kereta klasik yang terkenal ini.
Namun, ada beberapa kekurangan bagi teksi ini kerana ia mempunyai tempat duduk yang agak sempit dengan ruangan bagasi yang sedikit kecil. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah teksi VW Beetle di sini membuang tempat duduk hadapan untuk membolehkan anda duduk dengan lebih selesa.
9. VW Jetta - Shanghai
Walaupun tiada apa yang istimewa mengenai teksi yang menjadi ikon bandaraya Shanghai ini, namun ianya terkenal kerana tambangnya yang murah dan laju tetapi sedikit kotor.
Namun, apa yang menakjubkan ialah jumlah teksi model VW Jetta yang begitu banyak digunakan di jalan raya sekitar bandar ini. Ia merupakan cara paling mudah dan jimat untuk anda bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di bandar Shanghai ini.
8. Porsche Cayanne - Moscow
Setibanya anda di lapangan terbang ibu negeri Rusia ini, anda akan melihat sekumpulan teksi menggunakan model kereta mewah Porsche Cayanne berwarna jingga sedang menanti pelanggan. Harga yang dikenakan untuk membawa anda ke hotel atau destinasi yang diingini juga agak mahal.
Walaupun terdapat beberapa kaedah pengangkutan awam lain yang lebih murah, namun dijemput dengan kereta Porsche ini sememangnya menunjukkan gaya sebenar Moscow sememangnya terkenal dengan kos sara hidupnya yang tinggi dan dipenuhi dengan jutawan.
7. Toyota Crown Comfort - Hong Kong
Di bandaraya Hong Kong yang sentiasa sibuk dan sesak ini, anda dapat melihat pengangkutan awam teksinya yang terkenal iaitu kereta model Toyota Crown Comfort. Terdapat dalam pelbagai warna utama seperti merah, hijau dan biru, ia akan membawa anda ke mana sahaja yang anda ingini dengan harga yang berpatutan.
Anda dijamin akan berasa selesa walaupun dalam kesesakan lalu lintas yang teruk kerana kebanyakan teksi di Hong Kong yang kelihatan seakan kereta mainan ini dilengkapi dengan penghawa dingin yang berfungsi.
6. BMW - Nurburgring
Sekiranya di Rusia mempunyai teksi mewah Porsche, di negara mekanik utama Eropah ini pula terkenal dengan teksi BMW. Jerman sememangnya terkenal dengan jalan raya tanpa had lajunya, jadi anda pasti akan dapat merasa kehebatan teksi yang terkenal kerana prestasinya ini.
Sekiranya tidak cukup dengan itu, anda boleh membayar teksi BMW di sini untuk membawa anda berlumba di litar Grand Prix di Nurburgring yang terkenal di Jerman dengan sedikit bayaran yang lebih. Pastikan anda bukan seorang yang lemah semangat.
5. Tuk-tuk - Bangkok
Di Bangkok, Thailand, Tuk-tuk yang mempunyai tiga roda ini merupakan salah satu pengangkutan awam terkenal di sini bahkan di seluruh dunia. Terdapat pelbagai Tuk-tuk yang dihias dengan pelbagai warna dan lampu untuk menjadikannya kelihatan lebih menarik kepada pelanggan dan pelancong.
Namun, disebabkan persaingan teksi beroda empat yang lebih selamat, industri teksi Tuk-tuk dilihat sedikit terancam. Walau bagaimanapun, disebabkan keunikan dan sebahagian daripada ikon negara Thailand, Tuk-tuk dijangka akan dapat bertahan untuk satu jangka masa yang lebih lama lagi.
4. Ambassador - Kolkata
Di India, teksi Ambassador yang terkenal ini masih lagi banyak digunakan walaupun ianya mula digunakan sejak tahun 1948. Kereta vintaj yang enggan ditelan arus kemodenan ini tetap membawa penumpang di Kolkata dan beberapa bandar lain di India.
Dengan warna kuning khas dan reka bentuknya yang menarik, ditambah lagi pula dengan pemandu yang peramah dan lagu pop Hindi dimainkan dari corong radio teksi, anda akan dapat menikmati gaya sebenar kehidupan di India.
3. Teksi antik - Havana
Selain dikenali sebagai sebuah negara berfahaman Komunis, Cuba juga terkenal kerana perkhidmatan teksinya. Di ibu negeri Cuba, anda akan lihat pelbagai kereta antik yang dijadikan sebagai pengangkutan awam di sini. Lebih daripada itu, ia menjadi ikon kepada negara itu sendiri.
Negara yang kehausan kereta import akibat kekangan ekonomi ini membuatkan anda berasa kembali hidup pada zaman 50-an dan 60-an. Jika anda berpeluang melancong ke Havana, jangan lupa untuk menaiki teksi antik ini sambil menghisap curut Cuba yang terkenal.
2. Yellow Cab - New York
Jika tidak pernah pergi ke New York, anda pastinya pernah terlihat teksi di bandaraya metropolitan New York yang terkenal dengan panggilan Yellow Cab melalui beberapa filem Hollywood.
Dengan menggunakan enjin V8, teksi ini boleh membawa anda dengan pantas melalui selok-belok bandaraya yang mendapat jolokan "Big Apple" ini. Namun, kebanyakan teksi yang menggunakan kereta model Crown Victoria kini diganti dengan Nissan yang lebih mesra alam. Walaupun begitu, warna kuning terangnya masih lagi dikekalkan.
1. Hackney carriage - London
Secara rasminya, perkhidmatan teksi yang menjadi ikon bandaraya London ini dikenali sebagai Hackney carriage atau juga dengan panggilan "Black Cab" sahaja. Teksi terkenal ini juga sering dilihat dalam beberapa filem yang menjadikan London sebagai lokasi penggambaran.
Apa yang menariknya, saintis telah menyatakan bahawa pemandu teksi di London juga memiliki ingatan yang lebih kuat berbanding dengan orang lain kerana menghafal puluhan ribu jalan. Dengan sikap pemandunya yang kebanyakannya peramah, teksi ini boleh memuatkan 4 atau 5 orang penumpang yang duduk secara bertentangan.
Ia adalah salah satu kaedah pengangkutan terbaik untuk melihat pelbagai tarikan di London seperti Istana Buckingham, kedai Fish anf Chip terkenal dan pelbagai lagi dengan khidmat nasihat yang diberikan oleh pemandunya secara percuma. Namun, kadar tambangnya adalah berbeza mengikut di mana anda menggunakannya di Britain.
Rujukan:
1. CNN
2. Amitours
3. Auto Trader