Oleh pada 14 Aug 2018 kategori

Semasa tahun 1800-an, Phineas Taylor Barnum atau lebih dikenali sebagai 'P.T. Barnum' menjadi seorang "Penghibur Terhebat Amerika". Barnum terkenal kerana pengkhususannya di dalam pameran pelik dan unik. Ia menarik minat orang ramai yang sanggup membayar untuk melihat sesuatu yang jarang ditemui.

Salah satu cara untuk Barnum menarik minat orang ramai ialah dengan mengeksploitasi kecacatan manusia. Pamerannya yang dikenali sebagai "Pertunjukan Pelik" telah mengelilingi dunia dan menjadi inspirasi kepada kumpulan sarkas lain. Berikut adalah 10 bintang pertunjukannya yang paling popular.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Joice Heth

joice heth

Tarikan manusia pertama yang memulakan karier P.T. Barnum ialah seorang wanita bernama Joice Heth yang berusia didakwa 161 tahun. Barnum mengetahui tentang wanita itu daripada rakannya yang juga seorang pemilik sarkas bernama R.W. Lindsay lalu pergi untuk berjumpa Joice.

Joice Heth seorang yang buta serta kelihatan begitu tua. Joice juga mendakwa dia pernah menjadi pengasuh kepada George Washington semasa beliau masih kecil. Barnum telah membeli Heth dengan harga $1000 dan pada tahun 1830-an, hamba abdi masih sah di Amerika Syarikat.

Joice dibawa Barnum untuk menyertai jelajah pamerannya dan ramai yang hadir untuk menyaksikannya. Joice mati pada tahun 1836, apabila doktor melakukan bedah siasat mereka mendakwa Joice sebenarnya hanya berusia 80-an ketika dia mati. Terjadi perdebatan hebat mengenai umur sebenar Joice sehingga hampir 1,500 sanggup membayar untuk hadir menyaksikan bedah siasat wanita itu.

9. Jeneral Tom Thumb

jeneral tom thumb

Ketika Charles Stratton berusia 4 tahun, dia dibawa oleh orang tuanya untuk berjumpa P.T. Barnum. Charles hanya 25 inci tinggi dengan berat sebanyak 6.8kg dan berhenti membesar ketika berusia 6 bulan. Barnum telah mengajarnya menyanyi, menari dan meniru gaya tokoh terkenal seperti Napoleon Bonaparte dan kemudian diberi nama pentas Tom Thumb.

Para penonton sangat mengagumi lelaki kerdil ini. Dia dibawa untuk jelajah seluruh Amerika dan Eropah serta menjadi bintang antarabangsa pertama di dunia. Tom Thumb mendapat kemewahan dari persembahannya sehingga dia memiliki rumah besar dan sebuah kapal layar. Pada tahun 1850-an, Barnum merupakan salah seorang lelaki paling kaya di New York di atas populariti Tom Thumb.

8. Lavinia dan Minnie Warren

lavinia dan mannie warren

Setelah kejayaan Jeneral Tom Thumb, Barnum bercadang untuk mengumpul lebih banyak manusia kerdil untuk sarkasnya. Dia kemudiannya telah menemui dua adik-beradik iaitu Lavinia dan Minnie Warren yang mengalami simptom kerdil. Lavinia merupakan seorang pelakon dan pernah membintangi filem senyap iaitu Liliputians Courtship.

Lavinia kemudian berkahwin dengan Tom Thumb dan sudah semestinya Barnum mengambil peluang ke atas perkahwinan mereka bagi menjana keuntungan. Manakala Minnie pula berkahwin dengan seorang lagi penghibur kerdil iaitu Commodore Nutt. Malangnya, Minnie mati ketika melahirkan anak. Presiden Abraham Lincoln merupakan salah seorang peminat tegar mereka dan pernah bertemu mereka secara peribadi.

7. Myrtle Corbin

myrtle corbin

Myrtle Corbin mempunyai "kembar dipygus" yang juga dikenali sebagai kembar parasit. Dia mempunyai sepasang bahagian bawah badan yang terbentuk dari pusat ke bawah. Myrtle menyertai sarkas P.T. Barnum semasa berumur 13 tahun sebagai "wanita berkaki empat" dengan bayaran $450 seminggu. Jumlah itu bersamaan dengan $11,000 seminggu pada hari ini.

Semasa jelajah pertunjukannya, Myrtle yang ketika itu berusia 19 tahun telah berjumpa dengan seorang lelaki bernama James Clinton Bickell di Kentucky dan berkahwin dengannya. Semasa dia mengandung, dia telah dikaji secara perubatan di seluruh negara. Ini kerana dia bukan sahaja dia mempunyai 2 pasang kaki malah dia juga mempunyai 2 pasang organ seksual luaran dan dalaman. Dia mempunyai pengalaman melahirkan 5 orang anak dari kedua-dua organ tersebut selama berkahwin.

6. Zip, The Pinhead

zip the pinhead

William Henry Johnson mempunyai kondisi kecacatan yang dikenali sebagai "microcephaly", di mana otak tidak membesar dengan betul yang mengakibatkan seseorang itu mempunyai kepala yang kecil. Mereka dengan kondisi ini juga mempunyai masalah dari segi mental. P.T. Barnum kemudian mengambil William Johnson menyertai pertunjukan sarkasnya dengan gelaran "Zip, The Pinhead".

Barnum mendakwa Pin adalah evolusi tidak lengkap di antara manusia dan beruk. Semasa pertunjukan Barnum akan menempatkan Zip di dalam sebuah kandang besi dan Zip akan menggoncangkan palang besi itu seolah-olah seperti seekor beruk. Pada masa itu, Barnum juga mendakwa dia telah "menjinakkan" Zip.

5. Putera Randian

putera randian

Putera Randian yang nama asalnya tidak diketahui dilahirkan di Guyana, Amerika Selatan. Dia mengalami kondisi sindrom Tetra-amelia, di mana dia dilahirkan tanpa kaki dan tangan. Pada usianya 18 tahun dia berpindah ke Amerika Syarikat untuk bekerja dengan Barnum. Kebolehannya ialah berguling dan menyalakan rokok menggunakan bibir. Dia juga boleh menulis menggunakan mulut.

Kadang-kala dia akan dikenakan pakaian seperti ular, ulat bulu atau kentang. Pada 1932, dia muncul di dalam filem "Freak" di mana dia menunjukkan kebolehan menyalakan rokoknya. Dia juga sebenarnya seorang yang lucu. Dia pernah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak. Dia mati pada usia 63 tahun akibat serangan jantung ketika sedang membuat persembahan di bandaraya New York.

4. Waino dan Plutanor, lelaki liar Borneo

lelaki liar borneo

Barnum terus membawa masuk manusia kerdil di dalam pertunjukan peliknya, kali ini dengan sedikit kelainan. Dia telah menemui Hiran dan Barney Davis, dua beradik dengan kecacatan mental. Mereka hanya mempunyai berat badan sebanyak 20kg sahaja akan tetapi mempunyai kekuatan luar biasa dan mampu mengangkat berat sehingga 135kg.

Salah satu dari aksi utama mereka ialah mengangkat para penonton yang hadir. Barnum kemudian menggelar mereka sebagai "Waino dan Plutanor" dan memperkenalkan mereka sebagai "lelaki liar dari Borneo". Barnum juga mereka cerita bahawa dua beradik ini adalah orang asli yang ditangkap di sebuah pulau di Borneo. Para penonton ketika itu percaya bahawa mereka berdua adalah orang gasar.

Semasa beraksi di Muzium Baru Amerika di New York, mereka berdua telah memperoleh bayaran sebanyak $200 ribu. Apabila meningkat tua, kedua-dua beradik itu menjadi buta namun dijaga dengan baik. Akan tetapi, pembohongan mengenai mereka tetap diteruskan sehingga mereka meninggal dunia.

3. Josephine Clofullia, wanita berjambang

josephine clofullia

Josephine BoisdechĂȘne dilahirkan di Switzerland pada tahun 1827 dan mengalami kondisi yang dikenali sebagai hypertrichosis. Semasa dia berumur 8 tahun, dia sudahpun ditumbuhi jambang sepanjang 2 inci panjang. Barnum kemudian mengambil Josephine bekerja dan menukar nama belakangnya kepada Clofullia. Barnum mempunyai tanggapan bahawa para penonton pasti akan meragui jantina Josephine dan mengatakan dia adalah seorang lelaki yang berpakaian wanita.

Barnum malah melakukan gimik apabila pada tahun 1853, dia telah mengupah lelaki bernama William Charr menyamannya kerana menipu. Semasa kesnya berlangsung di mahkamah, bapa dan suami Josephine telah hadir memberi keterangan. 3 orang doktor telah dipanggil untuk melakukan pemeriksaan dan bersetuju bahawa Josephine adalah wanita tulen. Helah Barnum berjaya dan ini menarik ribuan pengunjung datang serta membayar untuk menyaksikan Josephine.

2. Chang Yu Sing, gergasi China

chang yu sing

Chang Yu Sing mempunyai ketinggian lebih dari 8 kaki dan berat sebanyak 165kg. P.T. Barnum gemar memakaikan Chang dengan jubah tradisi China, kerana dia percaya jubah panjang itu memberikan ilusi ketinggian Chang. Semasa pertunjukan, Chang gemar bergurau dengan mengatakan stereotaip bahawa orang China biasanya pendek.

Namun, kerjaya Chang bersama Barnum tidaklah begitu lama kerana tidak banyak rekod yang dicatatkan mengenainya di dalam jelajah pertunjukan manusia pelik. Ramai berpendapat dia hanya dibayar untuk kontrak jangka pendek dan kembali kepada kehidupan biasa selepas itu.

1. Isaac W. Sprague, manusia tengkorak

isaac w sprague

Kehidupan Isaac W. Sprague bermula seperti kanak-kanak normal dan dilahirkan di East Brigewater, Massachusetts. Akan tetapi segalanya berubah ketika dia berusia 12 tahun apabila berat badannya mulai susut dengan cepat walaupun mempunyai selera makan yang normal. Pada mulanya doktor tidak dapat memastikan apa masalah sebenarnya sehingga dia dikesan mengalami kondisi atrofi otot progresif.

Dia ketika itu bekerja dengan perniagaan bapanya sebagai tukang kasut sehingga orang tuanya meninggal ketika dia berusia 20-an. Dia mendapati keadaan badannya terlalu lemah untuk terus membuat kasut dengan sendiri. Isaac kemudian pergi menguji bakat dengan P.T. Barnum dan diterima bekerja dengan bayaran $80 seminggu.

Isaac hanya perlu berdiri sahaja ketika pertunjukan dan terus bekerja dengan Barnum selama beberapa tahun sehinggalah dia bertemu dengan isterinya. Dia kemudian berkahwin dan mempunyai anak. Pada usia 44 tahun dia hanya mempunyai berat badan sebanyak 19.5kg. Dia meninggal pada usia 46 tahun, di mana dia sebenarnya hidup lebih lama dari purata jangka hayat bagi mereka yang mempunyai kondisi sepertinya.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)