Pada hari ini, sangat mudah untuk seseorang itu dikenali ramai. Anda pasti tahu bagaimana internet dan rangkaian media sosial mampu mempublikasi seseorang itu dalam hanya satu malam, daripada orang biasa menjadi seorang selebriti antarabangsa.
Sebahagian daripada selebriti internet ini dikenali kerana bakat unik yang mereka ada dan sebahagian lagi kerana penampilan mereka yang menarik perhatian. Namun, ada juga di antara mereka yang menjadi pudar dan dilupakan tidak lama selepas itu. Berikut adalah beberapa orang biasa yang menjadi perhatian dunia dalam hanya sekelip mata.
BESARKAN TEKS A- A+
10. Arshad Khan
Ketika mula dikenali, Arshad Khan adalah seorang remaja berusia 17 tahun yang bekerja di gerai menjual teh di Islamabad, Pakistan. Salah seorang pelanggannya bernama Jiah Ali telah mengambil gambar Arshad dan memuat naik gambar itu di Instagram.
Gambar penjual teh kacak bermata biru itu kemudian menjadi terkenal dan orang mula mendekatinya. Arshad yang tidak berpelajaran tinggi bingung mengapa dia menjadi perhatian orang ramai tetapi mula belajar menerima keadaan itu. Dia ditawarkan beberapa kontrak pemodelan dan pernah membintangi video muzik penyanyi popular Muskan Jay.
9. Saima Hussain Mir
Saima Hussian Mir adalah seorang pelajar di Symbiosis Institute of Design di Pune, India. Dia mula menjadi terkenal apabila Shah Rukh Khan pergi ke universitinya untuk mempromosikan filem Raees. Ketika pelakon popular Bollywood itu sedang mengambil selfie, terdapat sekumpulan pelajar di belakangnya dan salah seorang di antara mereka ialah Saima.
Gambar itu menjadi sensasi apabila ia dimuat naik di laman Facebook milik Shah Rukh Khan. Orang ramai mula mencari siapakah gerangan gadis cantik di belakang hero Bollywood itu dan Saima menjadi terkenal dalam sekelip mata sehingga dia terpaksa memadamkan akaun Facebook dan Twitter miliknya.
8. Lee Minwei
Lee Minwei adalah seorang Koperal Pasukan Polis Bantuan di Lapangan Terbang Changi, Singapura. Ketika melakukan rutin hariannya di tempat kerja, seseorang telah mengambil gambar Lee ketika dia sedang melakukan pemeriksaan pasport dan memuat naik gambar itu di laman SGAG.
Pegawai polis itu menjadi buruan netizen kerana rupa parasnya yang kacak. Kemudian Lapangan Terbang Changi secara rasminya mendedahkan identiti pegawai itu dan dia menjadi sensasi internet dalam masa yang singkat. Ramai pelancong yang mengunjungi lapangan terbang itu ingin mengambil gambar dengan Lee.
7. Dr. Mike
Dr. Mike atau nama sebenarnya, Mikhail Varshavski, adalah seorang graduan dari Kolej Perubatan Osteopathic Institut Teknologi New York. Dia menjadi terkenal apabila Buzzfeed menyiarkan artikel yang memuji penampilannya yang menarik. Dr. Mike kemudian mendapat gelaran "Doktor Paling Kacak di Dunia".
Dr. Mike kemudian dipaparkan dalam pelbagai majalah dan akhbar termasuk Cosmopolitan, Daily Mail, New York Magazine dan Time. Pengikut Instagramnya meningkat sehingga 3.3 juta orang. Dr. Mike kini menjadi doktor selebriti yang aktif berkongsikan maklumat kesihatan di saluran YouTube miliknya.
6. Omar Borkan Al Gala
Omar Borkan Al Gala adalah seorang penyair, pelakon, model dan jurugambar kelahiran Baghdad, Iraq. Dia menjadi sensasi internet apabila ketampanannya telah menyebabkan dia diusir dari Arab Saudi.
Semasa menghadiri satu festival kebudayaan di Arab Saudi, Omar bersama dua lelaki lagi telah diusir oleh polis agama Arab Saudi kerana bimbang para wanita akan jatuh hati kepada mereka bertiga kerana 'terlalu kacak'.
Omar yang kini mempunyai 2.5 juta pengikut di Facebook telah menerima banyak hadiah daripada orang yang tidak dikenalinya termasuk sebuah kereta Mercedes G55 dari salah seorang peminat wanitanya.
5. Boy Roeles
Boy Roeles adalah salah seorang pengawal keselamatan penyanyi Justin Bieber ketika membuat persembahan di Belanda. Kali pertama Roeles dikenali ketika salah seorang peminat Justin Bieber mengambil gambarnya yang sedang berdiri berhampiran pentas persembahan.
Gambarnya kemudian dimuatnaik di internet dengan keterangan "pengawal keselamatan Justin yang kacak" dan gambar itu menjadi viral dengan pantas. Roeles mendapat pengikut yang ramai di akaun media sosial kerana rupanya yang kacak. Malah, dia pernah menerima lamaran kahwin daripada gadis di internet.
4. Philippe Dumas
Philippe Dumas adalah seorang penduduk Paris yang berusia 60 tahun ketika dia mula dikenali. Dia yang sebelum ini bekerja dengan sebuah agensi pengiklanan terpaksa bersara apabila syarikatnya itu jatuh bankrup.
Philippe seorang 'hipster' yang sentiasa menjaga penampilan telah mencuba nasib dengan memuat naik beberapa gambarnya di internet untuk bertanya pendapat adakah dia layak untuk menjadi seorang model.
Penampilannya bukan sahaja diminati oleh pengguna laman sosial malah juga menarik perhatian beberapa agensi pemodelan. Pada usia 60 tahun, dia telah menerima beberapa tawaran untuk menjadi model lelaki.
3. Jeremy Meeks
Pada 2002, Jeremy Meeks telah didakwa atas kesalahan merompak dan mencederakan seorang remaja bawah umur. Dia juga merupakan salah seorang ahli kumpulan gangster North Side Crips. Setelah mengaku bersalah, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 9 tahun.
Pada 2015, Meeks sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan memiliki senjata api tidak sah. Selepas Jabatan Polis Stockton memuat naik gambarnya di Facebook, pengguna internet menggelarnya sebagai 'penjenayah kacak'.
Apabila dia dibebaskan daripada penjara, Meeks telah menerima beberapa tawaran untuk menjadi model dan sering dilihat menghabiskan masa bersama beberapa selebriti ternama.
2. Priya Prakash Varrier
Gadis ini menjadi sensasi internet menerusi lagu "Manikya Malaraya Poovi" dalam lakonan filem Malayalam pertamanya berjudul "Oru Adaar Love". Dia yang mendapat gelaran "Gadis Kenyit Mata" telah berjaya mencuri ramai hati anak muda menerusi ekspresi kenyitan matanya itu.
Setelah video muzik itu ditayangkan, Priya menjadi bintang dalam sekelip mata dan mendapat seramai 606,000 pengikut di Instagram dalam masa sehari. Kini, dia memiliki seramai 7.2 juta pengikut di laman sosial itu. Priya juga mendapat banyak tawaran untuk menjadi model dan berlakon dalam filem lain.
1. Cheng Guorong
Cheng Guorong adalah seorang lelaki gelandangan di China yang memiliki kisah kehidupan yang luar biasa. Pada tahun 2010 ketika Cheng sedang mengemis untuk makanan dan menyelongkar tong sampah mencari sisa rokok, seorang jurugambar amatur telah mengambil gambarnya dan memuat naik gambar itu di internet.
Tanpa diduga, gambarnya menjadi tular dan Cheng mendapat gelaran 'gelandangan paling seksi di China'. Dia menjadi pengemis setelah kehilangan pekerjaan di bandar dan semua wang simpanannya. Dia malu untuk pulang ke kampungnya, menyebabkan keluarganya menyangka Cheng telah meninggal dunia.
Dia kemudian menerima tawaran untuk berlakon dalam iklan dan menjadi model catwalk. Para peminatnya juga telah menyumbang sebanyak 100,000 yuan (RM 59,000) kepadanya untuk memulakan kehidupan baru. Malah, kisah kehidupan Cheng juga telah difilemkan oleh pengarah filem tempatan.