Berikut adalah 10 filem tempatan yang antara mencuri perhatian sepanjang tahun 2024 dan 2025.
Sebahagiannya sudah menemui penonton, sementara yang lain masih menanti detik untuk meledak di layar perak. Sebelum anda bersiap sedia ke pawagam, jom intai dahulu sedikit sebanyak maklumat mengenai naskhah-naskhah yang bakal mencorakkan industri perfileman masa kini.
Blood Brothers
Pelakon: Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Sharnaaz Ahmad, Wan Hanafi Su, Amelia Henderson
Tarikh Tayangan: 10 April 2025
Disutradarai oleh dua nama besar, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini bakal menghangatkan layar perak sempena Aidilfitri 2025. Menampilkan aksi mendebarkan dan kisah persahabatan yang menyentuh hati, lahir dari produksi Skop Productions Sdn Bhd.
Bersandarkan kekuatan lakonan daripada nama-nama gah seperti Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Sharnaaz Ahmad, turut menampilkan Wan Hanafi Su, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifli dan ramai lagi.
6 Jilake
Pelakon: Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek
Tarikh Tayangan: 24 April 2025
Sinopsis
Filem patriotik bergenre komedi dan aksi arahan Aziz M. Osman bakal membawa penonton ke era abad ke-18, ketika kuasa asing bersaing menguasai hasil bumi Tanah Melayu.
Syarikat Hindia Timur Belanda, dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka, berhasrat untuk menguasai semua lombong bijih timah di Perak. Bagi memastikan rancangan mereka berjalan lancar, sekumpulan samseng yang dikenali sebagai 6 Jilake telah diupah untuk mengawasi setiap kawasan perlombongan, termasuk Kampung Ketayap.
Namun, mereka tidak menyangka bahawa kampung itu mempunyai seorang pahlawan bernama Kuping — seorang pejuang yang enggan tunduk kepada penjajahan.
Keluang Man
Kredit foto: Instagram Nas Muammar Zar
Pelakon: Nas-T, Remy Ishak, Rosyam Nor, Amelia Henderson
Tarikh Tayangan: Mei 2025
Sinopsis
Filem adiwira aksi nyata arahan Anwari Ashraf ini diangkat daripada siri animasi ikonik Malaysia yang pernah mencuri perhatian ramai. Mengisahkan tentang Borhan, seorang penghuni hospital psikiatri di Tampoi, yang hidup dalam dunianya sendiri sebagai Keluang Man — seorang adiwira misteri yang berani menegakkan keadilan.
Dengan kemahiran dalam seni mempertahankan diri, dia menjelajahi lorong-lorong sepi dan jalanan sunyi di bandar kecil Kluang, dalam usaha membanteras jenayah dengan caranya yang tersendiri.
Ejen Ali The Movie 2
Tarikh Tayangan: 22 Mei 2025
Sinopsis
Sekuel filem animasi penuh aksi yang dinanti-nantikan bakal menggegarkan pawagam, mengekalkan barisan pelakon suara utama yang telah menghidupkan watak-watak kegemaran ramai.
Dalam Ejen Ali The Movie 2, penonton akan dibawa ke dalam misi penuh cabaran apabila Ejen Ali menerima kepercayaan untuk menggunakan Projek Satria — sut perisai baharu yang direka khas untuknya. Dilengkapi dengan sistem Kecerdasan Buatan (AI) canggih, teknologi ini bukan sekadar meningkatkan keupayaannya secara fizikal, malah mengasah kecekapan mentalnya ketika berhadapan dengan musuh.
Dengan kuasa baharu ini, Ejen Ali mampu menguasai keempat-empat teras Meta Advance Tactical Agency (MATA): Tekno untuk teknologi, Neuro bagi strategi, Kombat dalam seni pertempuran dan Inviso untuk penyamaran. Namun, mampukah dia menggalas tanggungjawab yang semakin berat?
Duyung: Legenda Aurora
Kredit foto: Instagram Maya Karin
Pelakon: Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Elham
Tarikh Tayangan: 2025
Sinopsis
Filem bergenre komedi fantasi arahan Profesor Razak Mohaideen merupakan kesinambungan kepada Duyung (2008), namun kali ini, ia membawa penonton menyelami kisah penuh emosi tentang kasih sayang keluarga dan kepentingan menjaga kelestarian laut.
Segalanya bermula apabila Puteri kembali ke daratan, membawa satu permintaan yang tidak boleh diabaikan — dia memohon bantuan Jimmy untuk menyelamatkan anaknya, Aurora, yang telah diculik oleh kumpulan pukat tunda haram. Dalam kehangatan situasi, Dashman, anak kepada Jimmy dan Aspalela yang juga kekasih Aurora, tidak berdiam diri. Dengan keberanian, dia memulakan sebuah pengembaraan berbahaya demi menyelamatkan gadis yang dicintainya, seterusnya menentang ancaman Dr. Evo yang kini mengawal Aurora dalam cengkaman.
Limbungan Tragedi Hitam 1975
Pelakon: Kodi Rasheed, Amerul Affendi
Tarikh Tayangan: 6 Februari 2025
Sinopsis
Filem seram ini membawa penonton ke Kampung Limbungan, sebuah perkampungan terpencil yang menyimpan rahsia hitam. Ramli dan Malik, dua kakitangan syarikat Maju Jaya, dihantar ke sana untuk mengambil alih projek terbengkalai — rundingan tanah bagi pembinaan empangan hidroelektrik. Namun, mereka tidak menjangka kedatangan mereka bakal mencetuskan konflik yang jauh lebih menakutkan daripada sekadar urusan jual beli tanah.
Penduduk kampung berkeras menolak, bukan hanya kerana nilai tanah warisan mereka, malah ketakutan yang telah berakar sekian lama. Kampung itu menjadi saksi kepada kemunculan harimau jadian setiap kali berlakunya gerhana bulan. Malang bagi Ramli dan Malik, mereka tiba pada masa yang salah. Dalam sekelip mata, rundingan bertukar menjadi perjuangan hidup dan mati apabila mereka diserang oleh makhluk menggerunkan itu.
Soloz: Game of Life
Pelakon: Hun Haqeem, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Noki K-Clique, Nia Atasha
Tarikh Tayangan: 23 Januari 2025
Sinopsis
Diinspirasikan daripada kisah benar seorang legenda e-sukan, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, filem arahan Syafiq Yusof ini membawa penonton menyelami dunia kompetitif permainan video yang penuh dengan cabaran dan impian.
Mengisahkan perjalanan seorang pemain berbakat yang berjuang untuk mencipta nama sebagai atlet e-sukan profesional dalam arena Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Dalam usahanya mengejar kejayaan, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan, daripada tekanan persaingan hingga cabaran membuktikan kemampuannya di peringkat tertinggi.
Pertembungan sengit antara pasukannya, The Boss dan skuad handal dari Singapura, The Vengeance, menjadi medan pembelajaran berharga buat Soloz dan rakan-rakannya — tentang makna persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan yang tidak hanya tentang kemenangan, malah keazaman dan pengorbanan di sebalik kegemilangan.
Babah
Pelakon: Qi Razali, Sweet Qismina, Cristina Suzanne, Adam Lee
Tarikh Tayangan: 5 Disember 2024
Sinopsis
Filem sarat emosi mengisahkan kasih seorang bapa, Isyak, yang tidak pernah surut dalam melindungi anak perempuannya, Maya, walau diuji dengan pelbagai dugaan.
Sejak kecil, Maya dan Isyak menempuh kehidupan yang tidak mudah. Dari kehilangan pekerjaan hingga menghadapi masalah pendengaran, Isyak tetap teguh berdiri demi memastikan anaknya tidak kekurangan apa-apa. Namun, ujian terbesar datang selepas Maya mendirikan rumah tangga — penyakit GBS (Sindrom Guillain-Barré) meragut keupayaannya dan menjadikan kehidupan yang pernah stabil kini goyah.
Dalam keperitan itu, Maya hanya punya satu tempat untuk berpaut — bapanya sendiri. Isyak, tanpa ragu, kembali mengambil peranan sebagai penjaga, seterusnya membuktikan bahawa kasih seorang ayah tidak pernah luntur, biarpun usia dan takdir terus menguji.
Dongeng Sang Kancil
Tarikh Tayangan: 26 Disember 2024
Sinopsis
Sebuah filem animasi yang menyentuh emosi, mengangkat kisah inspirasi daripada legenda rakyat Malaysia tentang Sang Kancil — si pelanduk kecil bertubuh mungil, namun licik dan penuh kebijaksanaan.
Kisah bermula dengan sebuah tragedi. Seekor anak kancil hanya mampu memandang tanpa daya saat ibunya diragut nyawanya oleh satu bayang hitam misteri. Kenangan itu membara dalam ingatannya dan apabila tiba saatnya dia dewasa, Kancil nekad memulakan pengembaraan penuh bahaya — misi menuntut pembelaan dan menyelamatkan Hutan Rimba daripada ancaman yang sama.
Dalam perjalanannya, Kancil berdepan dengan tiga penguasa alam — Helang Perkasa yang menguasai langit, Gajah Belukar yang menggoncang daratan dan Raja Buaya yang memerintah lautan. Namun, dengan akal yang tajam, Kancil tidak bertempur dengan kekuatan, sebaliknya meraih kepercayaan mereka. Bersama sokongan penghuni hutan lain, Kancil bangkit menentang bayang hitam yang selama ini menghantui Hutan Rimba, seterusnya membuktikan bahawa kebijaksanaan mampu mengalahkan kezaliman.
Don Dukun
Pelakon: Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Sangeeta Krishnasamy, Douglas Lim, Dato Yusof Haslam, Marsha Milan Londoh
Tarikh Tayangan: 31 Oktober 2024
Sinopsis
Filem komedi seram ini membawa kisah Don Arif, seorang ‘dukun instafamous’ yang bercita-cita mahu menjadi sehebat ahli keluarganya dalam dunia ilmu mistik.
Demi mencapai impiannya, Don Arif sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menipu dan menggunakan helah licik dalam menampilkan dirinya sebagai dukun hebat.
Namun, usahanya terbantut apabila bapanya sendiri menghalang dia daripada mendalami ilmu keramat yang menjadi warisan keluarga. Enggan mengalah, Don Arif bersama orang kanannya, Jaafar, merancang gimik untuk meraih populariti di media sosial.
Lagi artikel senarai filem menarik:
Baca: 10 Filem, Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru (2024 / 2025) Mesti Tonton!
Baca: 10 Filem Indonesia Terbaru Mesti Tonton (2023 / 2024), Juga Tersedia Online!
Baca: 10 Filem Korea Terbaru 'Best' (2023 / 2024), Boleh Tonton Secara Online!
Baca: 10 Filem Komedi 'Lawak' Terbaru Mesti Tonton, Juga Tersedia Online (Netflix, Prime Video, HBO GO)