Kidal adalah unik. 10% peratus daripada populasi di dunia ini adalah individu dominan tangan kiri. Walaupun menjadi minoroti, ia tidak mengubah apa-apa pun mengenai seseorang dan paling penting tidak menentukan masa depan seseorang. Menjadi individu kidal memberikan banyak manfaat, seperti penting dalam beberapa jenis sukan dan juga dikatakan mempunyai IQ yang lebih tinggi.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun kita tak dapat nafikan bahawa terdapat banyak rutin harian yang mencabar bagi mereka yang kidal. iluminasi.com ingin berkongsi 10 cabaran harian yang dihadapi oleh individu kidal.
1. Membeli dan bermain gitar
Kebanyakan gitar diciptakan secara standard iaitu dengan fret gitar akan berada di sebelah kanan. Individu kidal menggunakan tangan kiri untuk melakukan "strum", terbalik bagi individu tangan kanan. Dan jika anda pergi ke rumah rakan anda yang mempunyai gitar, boleh dikatakan 95% anda tak akan dapat bermain gitar tersebut kerana susunan tali bagi gitar orang tangan kanan adalah terbalik bagi mereka yang kidal. Seksa bukan?
Selain itu, jika gitar tersebut berbentuk seperti hourglass yang biasa dijumpai, itu tidak mengapa. Namun bagi gitar yang mempunyai bentuk tersendiri dan unik, kemungkinan besar orang kidal harus melupakan hasrat mereka untuk membelinya. Ini kerana jika gitar yang diciptakan untuk orang kanan digunakan oleh orang kidal, ia sama ada sukar untuk dimain atau kelihatan sangat pelik kerana terbalik.
2. Beraksi di dapur
Anda pasti perasan bahawa dapur anda mempunyai sinki di bahagian kiri sekali kan? Sinki dicipta untuk berada di sebelah kiri supaya ruang di sebelah kanan boleh digunakan untuk meletakkan pinggan yang dibasuh atau sebagai platform untuk memotong. Situasi ini tiada masalah bagi individu tangan kanan.
Bagi individu kidal, mereka terpaksa berganjak lebih jauh ke kanan jika ingin melakukan sesuatu kerana nature mereka yang lain.
3. Menggunakan tetikus komputer
Ini antara yang paling ketara, jika anda lihat seseorang itu menggunakan mouse menggunakan tangan kiri, pasti anda berasa pelik kan? Walaupun terdapat ramai individu kidal yang menggunakan mouse dengan tangan kanan kerana telah biasa menggunakan tangan kanan sejak mula menggunakan komputer, tetapi masih terdapat mereka yang menggunakan tangan kiri.
Tetapi bagi penulis, bagus untuk mereka yang kidal menggunakan tangan kiri untuk mengawal mouse, teruskan identiti anda!
Tetapi ia sukar jika anda perlu menggunakan komputer di tempat awam seperti di makmal atau sebaliknya kerana biasanya mouse akan berada di bahagian kiri dan anda terpaksa mengubahnya ke kiri, tetapi kalau tidak boleh diubah, bagaimana?
4. Gunting
Boleh dikatakan yang paling menyeksakan bagi orang kidal! Penulis tak tahu jika ada gunting yang dicipta khas untuk orang kidal, tetapi jika ada pun, memang sukar nak cari! Gunting biasanya berbentuk sama di bahagian pemegangnya, yang mana amat tidak selesa untuk digunakan menggunakan tangan kiri.
Tangan akan menjadi sangat sakit ketika menggunting dan kalau anda hebat, anda akan mendapat hasil guntingan yang lurus, kalau tak, nasiblah.
Tapi tak jadi masalah besar kerana bukan anda akan menggunting dalam masa yang lama pun kan. Tapi jika kerja anda adalah penggunting kain dan anda kidal? Memang kena ada gunting peribadi.
5. Meja lipat
Yang ni memang seksa. Kebanyakan meja lipat yang digunakan sama ada di sekolah, universiti atau pusat kursus adalah khas untuk orang tangan kanan. Bagi mereka yang kidal, adalah sangat mencabar bagi mereka untuk menulis kerana tangan mereka akan tergantung, tak seperti orang lain yang boleh meletakkan tangan di atas meja sambil menulis.
Mungkin kalau anda selalu gunakan meja itu, lebih baik buat custom made!
6. Pam minyak
Ini sebenarnya tidak lah membawa masalah sangat jika anda selalu mengepam minyak dan dah tahu apa nak buat. Tetapi kadang-kadang anda terlupa dan tersalah arah menyebabkan paip pam itu berpintal-pintal. Jadi perlu berpusing untuk mengubah posisi badan bagi mengisi minyak. Orang belakang pula pasti akan berasa hairan mengapa anda berpusing-pusing untuk mengisi minyak.
7. Bersalaman
Walaupun tak pernah lagi penulis berhadapan dengan orang yang datang bersalaman menggunakan tangan kiri, namun menurut mereka yang kidal, ia kadang-kadang terjadi. Oleh kerana terlalu biasa menggunakan tangan kiri, mereka terlupa dan secara semulajadi menghulurkan tangan kiri untuk bersalaman.
Sudah tentunya tidak membawa apa-apa masalah pun, tetapi agak pelik lah bagi orang lain.
8. Membuka tin
Sebelum menulis bahagian ini, penulis sendiri yang mencubanya. Bagi individu tangan kanan, anda akan memegang hulunya menggunakan tangan kiri dan memutarkan pemutar menggunakan tangan kanan. Tetapi ia terbalik bagi individu kidal.
Dengan memegang hulu menggunakan tangan kanan dan memutar menggunakan tangan kiri, anda akan mendapati tangan anda adalah bersilang dan cabarannya adalah sangat sukar untuk memutarkan pemutar tersebut serta mengambil masa yang lama.
9. Guna pen di tempat awam
Pergi bank dan perlu isi borang, dan apa yang anda lihat adalah pen yang disediakan dilekatkan pada bahagian sebelah kiri kaunter. Untuk menggunakannya, anda perlu mengubah posisi badan berkali-kali sebelum boleh menulis.
10. Menulis
Pasti individu kidal amat setuju dengan point ini, iaitu kertas biasanya menjadi kotor ketika menulis. Lebih-lebih lagi jika menggunakan pensel. Sambil menulis dari kiri ke kanan, tangan anda akan bersentuhan dengan kertas dan secara tak langsung akan membuatkan tangan dan kertas anda kotor akibat ink.
Juga, mereka yang kidal amat tidak sukakan buku yang mempunyai gegelung, lebih-lebih lagi jika gegelung itu sangat besar. Ini kerana ia akan menyukarkan individu kidal untuk menulis.
Satu lagi, anda akan sentiasa berlaga bahu dengan rakan anda di sebelah ketika menulis jika rakan anda menggunakan tangan kanan.