Sesuatu yang telah lama dijangkakan akan berlaku, akhirnya telah berlaku. Kerajaan China akhirnya telah memulakan gerakan mereka untuk mengawal kembali Hong Kong sepenuhnya.
Realiti baru yang perlu diterima oleh masyarakat Hong Kong adalah sesuatu yang sangat sukar dihadam, selepas negeri mereka (atau negara mereka?) mula kehilangan kuasa autonomi serta kebebasan sivil yang telah menjadi teras sistem sosial mereka, meletakkan Hong Kong kini hanyalah sebagai sebahagian daripada wilayah China.
BESARKAN TEKS A- A+
Undang-undang kawalan ke atas Hong Kong yang baru saja diisytihar dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2020, sempena sambutan ulang tahun penyerahan semula Hong Kong kembali kepada China - diramal akan mengubah banyak perkara tentang pulau kecil itu.
Protes yang akan kian lenyap
Sejak awal tahun 2020, gesaan agar mana-mana rakyat Hong Kong yang mampu untuk berpindah keluar, mula kedengaran dengan lebih kerap.
Gesaan ini berpunca daripada banyak tindakan kerajaan China yang dilihat sebagai agresif, dalam menyelesaikan beberapa isu yang wujud dalam pentadbiran mereka. Salah satunya adalah isu Hong Kong dan sistem satu negara, dua sistem yang diamalkan mereka.
Permohonan pertukaran warganegara melibatkan warga Hong Kong yang hendak berhijrah terus ke negara luar seperti Taiwan, meningkat mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Selepas undang-undang baru itu mula beroperasi di Hong Kong, pada 1 Julai 2020 - kerajaan Britain mengumumkan program yang akan melayakkan mana-mana warga Hong Kong yang lahir semasa Hong Kong masih di bawah pentadbiran Britain berpindah ke sana selama 5 tahun, sebelum dibenarkan memohon kewarganegaraan penuh.
Tindakan ini dilihat sebagai tindak balas Britain ke atas China yang dilihat melanggar perjanjian yang dimeterai mereka pada tahun 1997, untuk membenarkan Hong Kong kekal bebas tanpa campur tangan China sehingga tahun 2047.
Ironinya langkah Britain ini memberikan jalan keluar kepada generasi terdahulu, tetapi akan menyekat dan mengekalkan generasi muda Hong Kong khasnya kumpulan aktivis pelajar yang kerap melakukan bantahan; kekal di bawah pentadbiran China.
Tindakan mengejut China
Undang-undang baru itu yang diwartakan pada 30 Jun 2020 dan mula berkuatkuasa pada 11 malam hari yang sama, menggariskan beberapa larangan yang dipercayai akan mengubah Hong Kong sepenuhnya.
Perubahan yang dijangka akan memberikan impak paling besar, adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Nasional Hong Kong dalam jangka masa terdekat.
Dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, China kini akan mempunyai akses mudah untuk memperkenalkan apa saja dasar atau akta, yang dirasakan akan melindungi atau membantu menjaga kepentingan China di Hong Kong.
Apa yang sangat penting dan paling ditakuti, jawatankuasa ini mampu bertindak di luar bidang kuasa undang-undang asas Hong Kong, tanpa perlu melalui mematuhi ketetapan yang sudah diamalkan seperti sistem semakan mahkamah tempatan sedia ada.
Penguatkuasaan sudah mula dilaksanakan
Kita tidak perlu menunggu lama untuk mendengar perubahan yang telah berlaku.
Pada hari pertama undang-undang baru ini dilaksanakan iaitu 1 Julai 2020, polis Hong Kong yang kini menerima sokongan penuh akta baru tersebut telah melakukan lebih 370 tangkapan ke atas pihak yang menunjuk perasaan.
Tangkapan pertama dipercayai berlaku ke atas sekumpulan penunjuk perasaan yang memegang sepanduk mendesak kemerdekaan Hong Kong dilaksanakan.
Tindakan agresif polis Hong Kong ini dikatakan berjaya menggagalkan tradisi tunjuk perasaan Hong Kong setiap 1 Julai, buat kali pertama selepas penyerahan pulau itu kembali kepada China.
Bagi mereka yang tidak tahu, 1 Julai setiap tahun warga Hong Kong akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi membantah campur tangan China ke dalam negara mereka.
Berbeza dengan sambutan tahun lepas yang disertai puluhan ribu warga Hong Kong, sambutan tahun ini berlaku dalam skala lebih kecil disebabkan kebimbangan peserta untuk turun.
Polis Hong Kong dilaporkan mendapat kebenaran untuk menahan mana-mana individu yang membawa sepanduk, bendera atau melaungkan slogan yang menjurus kepada tema kemerdekaan Hong Kong.
Mana-mana pihak yang didapati bersalah menjaja slogan pemisahan atau kemerdekaan Hong Kong, boleh dipenjarakan minima 3, 5 dan 10 tahun hukuman atau lebih teruk, seumur hidup.
Warga Hong Kong mula memadamkan sisa-sisa perjuangan
Salah satu perkara yang paling membimbangkan warga Hong Kong ketika ini, adalah pelaksanaan undang-undang tersebut dilaporkan akan mengambil kira apa saja bukti yang ada dalam proses dakwaan - sepanjang dua tahun sebelum pengenalan undang-undang tersebut.
Ini bermakna apa saja dokumen, tulisan media sosial, bendera, poster dan hasil tulisan yang bersifat anti China atau pro-kemerdekaan Hong Kong sepanjang tempoh 1 Julai 2018 sehinggalah 30 Jun 2020 boleh digunakan bagi membuktikan seseorang itu melanggar undang-undang.
Disebabkan itulah pada ketika ini mana-mana warga Hong Kong yang tiada jalan keluar, sibuk 'membersihkan' rekod-rekod mereka. Parti-parti serta gerakan NGO yang bersifat pro-demokrasi seperti parti Demosisto mengumumkan pembubaran organisasi mereka.
Aktivis-aktivis yang bergerak melalui media sosial juga sedang menyelongkar semula semua status yang telah mereka muat naik, khasnya yang berkait dengan slogan tanda pagar popular #HKprotest yang kerap kali menjadi simbol mereka.
Apa yang paling dibimbangi ketika ini boleh berlaku, adalah usaha netizen 'keyboard warrior' pro-China di kalangan warga Hong Kong yang akan menggunakan bukti-bukti digital yang ada untuk mengugut mana-mana individu yang dirasakan tidak sependapat dengan mereka selama ini.
Rujukan