Terdapat beberapa selebriti terkenal yang meninggal dunia, ketika mereka masih menjalani penggambaran atau sebelum sesebuah projek filem atau program itu sempat dihasilkan sepenuhnya. Ini termasuk yang terbunuh semasa berada di lokasi penggambaran. Pemergian secara mengejut figura awam yang menghiasi kaca televisyen dan layar perak ini pastinya akan dikenang sampai bila-bila. Jom kita lihat senarai tersebut.
1. Marilyn Monroe
BESARKAN TEKS A- A+
Sumber foto: Daily Express
Umur: 36 tahun (1926-1962)
Tempat lahir: Los Angeles, California, Amerika Syarikat
Filem: Some Like It Hot, The Seven Year Itch, Gentlemen Prefer Blondes, How to Marry a Millionaire
Aktres berambut perang yang merupakan ikon Hollywood abad ke-20 ini ditemui mati di rumahnya di Los Angeles pada 5 Ogos 1962. Ketika itu, beliau sedang menjalani penggambaran filem komedi berjudul “Something's Got to Give”.
Monroe dijumpai mati di rumahnya di Brentwood, CA. Beliau ditemui terbaring di atas katilnya, dalam keadaan tanpa seurat benang dan memegang telefon. Terdapat beberapa botol pil kosong dibuang di sekitar kawasan biliknya itu.
Selepas siasatan dijalankan, pihak polis menyimpulkan kematian Monroe adalah kerana pengambilan ubat penenang "barbiturates" secara berlebihan. Beliau berkemungkinan memang berniat untuk membunuh diri.
Filem terakhirnya itu dilanda masalah sejak awal penggambaran lagi. Pada mulanya, Monroe dipecat dan akhirnya dimasukkan semula. Ini kerana pelakon Dean Martin enggan bekerja dengan mana-mana pelakon lain selain Monroe.
Penggambaran filem ini tidak sempat selesai, kerana pemergian mengejut Monroe. Pada tahun 2001, sebahagian filem ini dapat ditonton menerusi sebuah dokumentari berjudul “Marilyn: The Final Days”.
2. Paul Walker
Sumber foto: Youtube Alltime Conspiracies
Umur: 40 tahun (1973-2013)
Tempat lahir: Glendale, California, Amerika Syarikat
Filem: Fast and the Furious, Furious 7, Fast & Furious 6, 2 Fast 2 Furious
Pada 30 November 2013, bintang "Fast & Furious", Paul Walker meninggal dunia dalam sebuah nahas jalan raya. Beliau ketika itu bersama bekas rakan pelumbanya, Roger Rodas.
Mereka dalam perjalanan pulang dari menjayakan sebuah acara amal "Reach Out Worldwide" di Santa Clarita, California yang bertujuan membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina.
Kereta jenis Porsche yang dipandu Rodas itu tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh sebuah pokok. Kereta itu dijilat api dan kedua-dua mereka disahkan mati di tempat kejadian.
Filem "Fast & Furious 7" yang masih menjalani penggambaran terpaksa dihentikan buat seketika oleh Universal Pictures. Akhirnya, mereka meneruskan projek itu dengan kombinasi penggunaan kesan khas dan "stunt doubles".
Pada masa itu, Walker telah menamatkan penggambaran filem bergenre sains fiksyen dan jenayah, "Brick Mansions" yang telah ditayangkan pada tahun 2014. Fast & Furious 7 pula menemui penonton pada 3 April 2015, dengan pulangan "box office".
Pada Mac 2015, bintang Fast & Furious 7, Vin Diesel telah menamakan anak perempuannya "Pauline", sebagai tanda memperingati mendiang.
3. Heath Ledger
Sumber foto: Daily Mirror
Umur: 29 tahun (1979-2008)
Tempat lahir: Perth, Australia
Filem: 10 Things I Hate About You, A Knight's Tale, Brokeback Mountain, The Dark Knight
Pada 22 Januari 2008, Ledger ditemui dalam keadaan tidak sedar di atas katil oleh pembantu rumah dan tukang urutnya di apartmen beliau tinggal di Manhattan.
Ketika itu, beliau baru sahaja tamat penggambaran filem "The Dark Knight" arahan Christopher Nolan dan sedang menjayakan filem "The Imaginarium of Dr. Parnassus" arahan Terry Gilliam.
Gilliam membawa barisan teman rapat Ledger, seperti Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell untuk mengambil alih watak Ledger, menerusi baki adegan yang tidak sempat dirakamkan mendiang.
Pada November 2007, Ledger memberitahu The New York Times bahawa beliau sedang mengambil Ambien, sejenis ubat preskripsi untuk merawat gejala insomnia yang dialaminya, bagi jangka masa pendek.
Beliau menyamakan situasi itu dengan watak "The Joker" dalam filem "Batman The Dark Knight". Menurut beliau, watak itu digambarkan sebagai "psikopatik, pembunuhan secara beramai-ramai dan badut skizofrenia tanpa perasaan empati".
Menurutnya lagi, purata waktu tidur beliau hanyalah 2 jam setiap malam. Kematian bintang muda itu dipercayai berpunca daripada overdos pil tidur dan pelbagai ubat preskripsi lain yang dijumpai semasa proses bedah siasat.
4. Cory Monteith
Sumber foto: FOX
Umur: 31 tahun (1982-2013)
Tempat lahir: Calgary, Kanada
Drama/filem: Glee, Monte Carlo, Final Destination 3, Sisters & Brothers
Bintang drama bersiri komedi muzikal, "Glee" ini ditemui mati di dalam bilik hotel Vancouver di Kanada pada 13 Julai 2013. Ketika itu, beliau sedang dalam tempoh berehat bagi penggambaran antara musim ke-4 dan ke-5 rancangan popular itu.
Menurut pihak berkuasa, pelakon itu meninggal akibat kombinasi heroin dan alkohol yang sangat berbahaya. Namun, mereka menolak kemungkinan terdapatnya sebarang unsur khianat.
Pada Mac 2013, Monteith kembali ke pusat pemulihan kerana penyalahgunaan bahan terlarang. Penerbit Glee menukar jadual beliau supaya membolehkannya mendapatkan rawatan.
Pada April 2013, Monteith nekad meninggalkan "Glee". Namun, beeliau dilaporkan kembali bersemangat. Monteith mengemaskini status di Twitternya: "Buat semua yang saya cintai, ucapan terima kasih atas sokongan yang berterusan. Ia sangat bermakna kepada saya".
Pada 6 Julai 2013, beliau mendaftar masuk di sebuah hotel di Vancouver, Kanada. Monteith keluar bersama rakan-rakannya pada malam 12 Julai. Beliau kemudiannya dilaporkan kembali ke hotel tersebut berseorangan.
Namun, Monteith gagal untuk mendaftar keluar pada keesokan paginya. Pemeriksaan di bilik beliau pada tengah hari mendedahkan bahawa bintang itu telah meninggal dunia.
Menurut laporan Perkhidmatan Koroner Columbia British, analisis autopsi dan toksikologi mendedahkan pemergian Monteith adalah akibat overdos heroin dan alkohol.
5. Steve Irwin
Sumber foto: FOX 13 News
Umur: 44 tahun (1962-2006)
Tempat lahir: Essendon, Australia
Siri televisyen/dokumentari: The Crocodile Hunter: Collision Course, The Crocodile Hunter Diaries, Ocean's Deadliest, The Crocodile Hunter
Pakar hidupan liar dan pencinta haiwan kesayangan ramai, Steve Irwin atau lebih dikenali sebagai “The Crocodile Hunter”, terbunuh akibat disengat oleh seekor ikan pari sewaktu penggambaran sebuah dokumentari berjudul “Ocean's Deadliest”.
Kejadian malang itu berlaku pada 4 September 2006, dimana Irwin sedang terlibat dalam program berkenaan di luar pantai Port Douglas di Queensland, Australia.
Ketika Irwin sedang bersnorkel, dadanya tertusuk duri ikan pari gergasi sebelum terkena pada jantungnya. Sejurus selepas itu, Irwin meninggal dunia dalam tempoh kurang 10 minit akibat serangan jantung.
Terkejut dengan berita itu, peminat Irwin berkabung dan memberi penghormatan terakhir di Zoo Australia, yang diuruskan oleh mendiang dan isterinya.
Sehingga hari ini, Steve Irwin terus dikenang atas sumbangannya yang tidak terkira dalam bidang pendidikan dan pemuliharaan hidupan liar.
Antaranya beliau telah membuka sebuah organisasi untuk menyelamatkan dan melindungi buaya. Selain itu, beliau juga menyokong pelbagai lagi kerja amal melibatkan haiwan.
15 November telah ditetapkan sebagai "Steve Irwin Day", suatu pengiktirafan dunia terhadap mendiang.
Rujukan:
1. Ranker
2. Biography
3. History
4. Bustle