Kerutup daging merupakan sebuah hidangan yang sangat terkenal di Pantai Timur. Resepi istimewa dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini akan membongkarkan rahsia untuk mendapatkan gulai kerutup yang lazat.
Mungkin ada bahan yang tidak digunakan oleh sesetengah orang. Namun, jangan risau kerana tiada rasa yang pelik dan rata-rata mereka yang mencuba memang menggemarinya.
Oleh kerana sukar untuk mendapatkan rempah kerutup, anda boleh menggunakan rempah kerutuk Adabi. Rempah kerutup yang asli ada dijual di Kelantan.
Kerutup Daging
Pes bahan kisar:
Nota: Anggaran bahan untuk 1/2 kg daging
- Bawang merah (3 biji) - saiz bola ping pong
- Bawang putih (1 ulas)
- Serai (1/2 batang)
- Halia (sehiris nipis)
- Lengkuas (sehiris nipis)
- Jintan putih (1/2 sudu besar) + rempah ketumbar (1/2 sudu besar) - disangai seketika untuk hasil masakan lebih enak
Kisar semua bahan di atas sehingga lumat.
Bahan-bahan:
- Daging (1/2 kg) - dipotong nipis dan sedikit lebar
- 3 sekawan (1 batang kayu manis, 1 bunga lawang dan 3 biji buah pelaga hijau)
- Cili kisar (1 sudu besar)
- Rempah kerutup (3 1/2 sudu besar)
- Air (1 cawan)
- Kerisik kelapa (1 sudu besar)
- Garam (1 sudu besar)
- Gula putih (2 sudu besar)
- Gula perang (1 sudu besar)
- Serbuk perasa (1/2 sudu kecil)
- Santan (1 sudu besar) - pemilik resepi guna santan kotak jenama M&S
Cara-cara:
- Panaskan minyak secukupnya. Masukkan 3 sekawan. Guna api perlahan sahaja.
- Masukkan bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
- Masukkan pula cili kisar.
- Nota: Buat sendiri sahaja. Rebus cili kering, buang tangkai dan biji. Kisar sehalusnya. Jangan guna cili boh. Hilang rasa asli gulai ini. Kacau sehingga pecah minyak.
- Sediakan rempah kerutup. Masukkan rempah kerutup dalam mangkuk. Tambahkan dengan 1/2 cawan air. Kacau rata sebelum ditumis sekali.
- Nota: Pemilik resepi memang tidak guna yang lain. Buat stok awal-awal beli di kampung.
- Pes perlu garing sehingga pecah minyak sedikit untuk gulai tidak cepat basi. Tambahkan lagi 1/2 cawan air kosong. Kacau lagi sehingga sebati dan pecah minyak.
- Masukkan pula daging. Kacau rata sebelum periuk ditutup. Biarkan selama 40 minit menggunakan api yang perlahan.
- Kemudian, masukkan pula kerisik kelapa. Ketika ini, baru boleh masukkan garam.
- Tips: Daging akan liat jika letak garam terlebih awal.
- Untuk anggaran garam (rujuk di bahagian bahan-bahan), masukkan garam, gula putih, gula perang dan serbuk perasa.
- Tips: Jika mahu selamat, masukkan sedikit demi sedikit. Bimbang sukatan air daging yang direnehkan tadi tidak sama.
- Masukkan santan.
- Tips: Ikut kesesuaian air yang terhasil dari daging yang direneh. Boleh tambah sedikit lagi jika air banyak. Santan tersebut sekadar untuk melemakkan masakan. Barulah warna gulai akan cantik menyerlah.
- Renehkan lagi dengan api perlahan. Lebih kurang setengah jam lagi untuk memperolehi hidangan yang sempurna.
Nota: Untuk ikuti langkah memasak bergambar, boleh lihat di Facebook Afy AL Habibi. Terdapat banyak juga resepi hidangan Kelantan yang terkenal.