Siapa suka makan cempedak goreng? Memang nikmat dimakan panas-panas selepas digoreng. Namun, tidak ramai tahu membuat cempedak goreng yang rangup.
Kali ini kami memberikan anda resepi cempedak goreng rangup. Resepi bancuhan tepung goreng rangup disediakan dibawah.
Selain cempedak, resepi ini juga boleh digunakan untuk menggoreng ikan, seafood, pisang, ubi dan lain-lain.
Malah, resepi ini turut digunakan oleh pemiliknya untuk tauhu bergedil yang menjadi sumber rezekinya. Kerangupannya memang tiada tandingan walaupun sudah sejuk.
Jika menggunakan tepung segera, cempedak yang digoreng kebiasaannya akan menyerap minyak dan tidak sedap.
Bahan-bahan
- 2 cawan tepung beras
- 1 sudu kecil garam
- Sedikit air kapur (hujung sudu kecil)
- 1 biji telur
- Pewarna kuning telur
- 4 atau 5 ketul ais (rahsia tepung rangup tahan lama)
- Air sejuk (jangan terlalu cair atau pekat, ais akan mencair)
Cara-cara membuat:
1. Bancuh semua bahan-bahan dalam mangkuk.
2. Pastikan minyak panas. Bolehlah mula menggoreng.
Tips membeli cempedak:
1. Pilih yang kecil dan comel. Senang untuk sekali goreng sahaja.
2. Pilih yang berkulit nipis dan berbonjol bentuk ulas di luar. Insya-Allah isinya rapat dan gemuk.
3. Jika sudah masak, tekan kulitnya lembut dan kuat bau cempedak.
4. Untuk cempedak yang isinya penuh, cari yang kulit licin dan tegang, bukannya kulit tajam-tajam.
5. Pilih buah yang berat, tidak kira saiz buah. Suruh potong dahulu sebelum beli.
Tips lain:
1. Jerami-jerami yang mengelilingi buah cempedak tersebut sedap jika digoreng. Goreng seperti goreng cempedak tetapi potonglah dahulu jerami-jerami tersebut. Jangan goreng dengan kulitnya pula.
2. Bagi mengelakkan getah melekat di pisau dan tangan semasa membelah cempedak, sapu sedikit minyak masak ke atas pisau dan tangan kiri dan kanan. Teruskan belah cempedak mengikut kesesuaian anda.
Sumber: