Kredit foto: Sinar Harian
Pelawak dan penyampai radio Rahim Sepahtu mengalami transformasi berat badan yang mengejutkan.
Mempunyai berat asal mencecah hingga 125 kilogram, Rahim ternyata mampu mendabik dada kerana telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 22 kilogram dalam masa lima minggu sahaja!
Di kesempatan itu, Rahim merakamkan ucapan terima kasih buat Sinar FM yang memberikan tawaran untuk menyertai cabaran MisiXLRahim.
Kredit foto: Instagram Rahim Sepahtu
Terus terang sebelum ini saya memang jarang sekali bersenam dan apabila pihak Sinar FM memberitahu ada pihak ingin membantu saya mengurangkan berat badan saya sahut cabaran itu. Jujur saya katakan pada minggu pertama ia memang sukar sehingga saya mengalami muntah, pitam dan mata menjadi kabur kerana tidak mempunyai stamina. Alhamdulillah saya bersyukur kerana menyahut cabaran itu dan penurunan sebanyak 22 kilogram hanya dalam tempoh lima minggu memang menakjubkan.
Sumber: Mstar
Menjelaskan lebih lanjut rutin yang dilalui sepanjang program itu berlangsung, Rahim berkata, dia mendapat beberapa modul dan dikerah membuat latihan tertentu seperti aktiviti Muay Thai dan boxing.
Program tersebut juga menuntutnya untuk mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, justeru dia diberi tajaan makanan daripada Q Fit Meal.
Kredit foto: Instagram Rahim Sepahtu
Saya ada dua jurulatih peribadi iaitu Amirul dan Aminah yang memang banyak membantu saya dalam misi ini dan setiap minggu mereka akan tampil dengan modul berbeza-beza. Faktor pemakanan juga turut menjadi penyumbang dan saya hanya mengambil makanan seimbang bagi memastikan senaman yang dilakukan seimbang dalam mendapatkan hasil yang konsisten. Saya sebenarnya terbuka hati menyertai misi ini kerana saya ingin menjalani hidup sihat memandangkan saya ada penyakit asma dan sakit kaki akibat tak dapat tambung berat badan. Alhamdulillah, pernafasan saya kini lebih baik malah mudah tidur lena dan apabila bangun badan rasa segar dan ringan.
Sumber: Mstar
Dalam pada itu, Rahim bersedia untuk menerapkan apa yang dipelajari dalam program itu ke dalam kehidupan sehariannya.
Namun dia enggan meletakkan sasaran berat yang ingin dicapai, kerana apa yang lebih penting adalah menjadikan senaman sebagai rutin dan diet makanan yang sihat sebagai amalan.
Saya sebenarnya tidak kisah sangat mengenai saiz badan tetapi apa yang paling penting saya kena komited melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Alhamdulillah ilmu selama lima minggu daripada jurulatih banyak membantu saya untuk melakukan senaman dengan betul. Sekarang memang setiap hari saya akan meluangkan masa untuk bersenam dan sehari tidak berjoging memang rasa lain macam.