Berada di medan pertempuran bukanlah mudah. Setiap askar perlu sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi musuh. Mereka juga perlu sentiasa bertenaga untuk mengangkat senjata (kebiasaannya berat) dan melakukan perjalanan yang jauh.
Ketahanan luar biasa tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua mempunyai rahsianya yang tersendiri, iaitu pengambilan dadah. Ketika era 1940-an, tentera Nazi diberikan pil yang diberi nama Pervitin yang sebenarnya merupakan dadah jenis methampetamine.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, pakatan Kuasa Bersekutu yang dianggotai oleh Amerika Syarikat dan British (dan beberapa negara lain) turut menggunakan bahan terlarang amphetamine Benzedrine sebagai bahan perangsang kepada askarnya untuk kekal bertenaga di medan perang.
Penggunaan Pervitin oleh tentera Nazi
Pegawai perubatan di kedua-dua belah pihak menyebarkan bahan perangsang ini - dan yang lain seperti kokain - untuk memastikan tentera yang lelah terjaga selama beberapa hari untuk membolehkan mereka bertahan lebih lama di medan perang.
Bahan perangsang ini juga diberikan sebagai ubat untuk rawatan sementara bagi askar yang mengalamai tekanan pasca trauma (post-traumatic stress disorder - PTSD) yang melemahkan semangat dan mental mereka.
Pervitin adalah ubat luar biasa Nazi Jerman, ubat yang dibuat untuk membolehkan juruterbang, pelaut dan pasukan infanteri mempunyai tenaga luar biasa. Askar yang mengambil Pervitin mampu berada dalam keadaan berjaga selama beberapa hari, berjalan berbatu-bau jauh tanpa berehat dan tidak merasa sakit atau lapar.
Methamphetamine adalah ubat yang sangat kuat. Walaupun dalam kuantiti yang kecil, ia merangsang sistem saraf pusat untuk melepaskan banyak dopamin yang memberikan pengguna euforia berpanjangan, meningkatkan kewaspadaan dan tumpuan sambil menghilangkan keletihan.
Methamphetamine juga mempunyai kesan afrodisiak (aphrodisiac) yang kuat yang menjadikannya "ubat" yang popular dalam kalangan mereka yang gemar berparti. Pihak The United Nations Office on Drugs and Crime menganggarkan bahawa hampir 25 juta orang menyalahgunakan dadah ini di seluruh dunia.
Sejarah penggunaan bahan perangsang ketika peperangan
Methamphetamine pertama kali dihasilkan pada tahun 1887 dan pada mulanya diberikan untuk merawat ADHD (gangguan hiperaktif defisit perhatian) dan obesiti (kerana dadah ini menyebabkan kehilangan selera makan) dan sebagai rawatan bagi masalah hidung tersumbat.
Semasa Perang Dunia ke-2, pasukan bersenjata Jerman diberi banyak bahan-bahan perangsang termasuk alkohol, candu dan metamphetamin agar sentiasa dalam keadaan bertenaga.
Komando tertinggi Jerman percaya - berdasarkan input dari pengarah Akademi Perubatan Tentera dan Institut Fisiologi Umum dan Ketenteraan, Otto Friedrich Ranke - bahawa penggunaan dadah akan meningkatkan keyakinan diri, tumpuan dan kesediaan mereka untuk mengambil risiko dan pada masa yang sama mengurangkan kepekaan mereka terhadap kesakitan, kelaparan dan dahaga dan keperluan untuk tidur.
Askar Jerman menggelar pil ini sebagai "Tablet-Stuka" (Stuka-Tabletten) sempena nama pengebom Jerman "Junkers Ju 87", atau Stuka, yang telah menjadi simbol kekuatan tentera udara Jerman. Antara April dan Julai 1940, lebih daripada 35 juta tablet Pervitin dan Isophan (versi yang diubah suai sedikit) dikirimkan ke tentera dan tentera udara Jerman.
Arahan pada bungkusan pil itu mengesyorkan pengambilan dos sebanyak satu hingga dua tablet "hanya jika diperlukan, untuk mengelakkan tertidur". Walaubagaimanapun, kebiasaannya tentera yang mengalami tekanan yang melampau mengambil lebih daripada dos yang ditetapkan.
Bahaya Methamphetamine pada manusia
Menurut National Institutes of Health (NIH) di Amerika Syarikat, Amphetamine (sekumpulan perangsang yang merangkumi metamphetamine) mempengaruhi sistem saraf pusat. Untuk Methamphetamine, pengambilan lebih daripada satu dos akan mengganggu fungsi otak. Berbanding dengan amphetamin lain, ia tahan lebih lama dan mempunyai kesan lebih kuat terhadap sistem saraf.
Ketika perang sedang berlanjutan, pegawai-pegawai perubatan Jerman mulai sedar terhadap kesan buruk Methamphetamine terhadap kesihatan dan tingkah laku askar mereka.
Sebilangan tentera yang menggunakan bahan perangsang ini mati kerana kegagalan jantung dan segelintir yang lain akhirnya membunuh diri semasa fasa psikotik. Ramai yang lain menjadi ketagihan pada bahan perangsang ini yang membawa kepada semua gejala ketagihan yang biasa seperti berpeluh secara melampau, pening, halusinasi dan kemurungan.
Pihak Jerman kemudiannya telah mula menghalang pemberian dan penggunaan bahan perangsang ini dalam skala besar-besaran. Pada 1 Julai 1941, Pervitin telah diletakkan sebagai bahan terlarang dalam undang-undang baru yang diperkenalkan.
Menjelang penghujung era peperangan ini, pihak Jerman mula mencuba bahan perangsang baru yang dicipta, sebuah pil yang diberi nama D-IX. Pil ini mengandungi 5 miligram kokain, 3 miligram Pervitin dan 5 miligram Eukodal (ubat penahan sakit berasaskan morfin) .
Belum sempat pil ini dihasilkan dalam skala yan besar, Jerman terlebih dahulu tewas dalam peperangan.
Kredit: