Pada bulan April tahun 2019, media melaporkan berkenaan kejayaan sekumpulan saintis merakamkan gambar pertama lohong hitam atau 'black hole' dalam sejarah penerokaan angkasa moden.

Gambar tersebut yang diambil dengan menggunakan teleskop Event Horizon, berjaya merekodkan imej sebuah lohong hitam yang terletak di sebuah galaksi yang dilabelkan sebagai Messier 87 terloetak 55 tahun cahaya daripada bumi. Lohong hitam itu dianggarkan mempunyai isipadu 6.5 kali ganda matahari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekiranya lohong hitam merupakan sebuah medan graviti yang terlalu kuat di mana tidak ada apa-apa pun mampu melepasinya, termasuklah cahaya - pasti ada kuasa lain yang mempunyai sifat berlawanan dengannya. Memang ada - lohong putih.

Lawan kepada 'black hole'

gambar black hole pertama

Bagi memahami lohong putih atau 'white hole', lebih mudah untuk kita memahami secara ringkas asal-usul lohong hitam. Lohong hitam adalah satu medan graviti yang mampu menyerap semua unsur di dunia ini, sehingga digelarkan sebagai unsur paling gelap dalam dunia.

Lohong hitam terhasil bermula daripada proses bintang-bintang besar yang telah mati yang mencipta satu daya tarikan yang cukup kuat, kembali kepada pusat bintang tersebut atau singulariti semasa letupan supernova terhasil. Semua jisim-jisim bintang itu ditarik dan dimampatkan ke teras bintang mati itu sehingga mampu menjana kuasa tarikan graviti yang akhirnya menyedut badan bintang itu sendiri.

Lohong putih pula setakat ini, hanyalah teori yang terhasil daripada semua kajian yang telah berjaya dilakukan melibatkan lohong hitam dengan teori pertama berkenaannya mula diperkatakan pada tahun 1964 oleh angkawasan Russia bernama Igor Novikov.

Sekiranya lohong hitam merupakan satu medan magnetik di mana tidak ada apa-apa unsur yang dapat melarikan diri daripadanya, sifat lohong putih pula berlawanan. Tidak ada satu apa pun unsur yang akan dapat masuk ke dalam lohong putih.

Teori ini diajukan kerana dalam kajian terhadap lohong hitam setakat ini, penyelidik belum menemui sebarang jawapan apa akan berlaku pada lohong hitam yang sudah matang atau tamat prosesnya.

Teori hubungan lohong hitam dan putih

white hole sains

Buat masa sekarang, teori berkenaan lohong putih dikaji sepenuhnya oleh dua orang ahli fizik bernama Hal Haggard dan Carlo Rovelli yang bertugas di Marseille, Perancis. Mereka percaya wujud hubungan yang jelas di antara lohong hitam dan lohong putih dengan idea mereka, bahawa lohong hitam yang telah mati akan bertukar menjadi lohong putih.

Pandangan ini diajukan berdasarkan kepada kiraan yang dilakukan oleh ahli fizik terkenal mendiang Stephen Hawking, yang percaya setiap lohong hitam mempunyai jangka hayat masing-masing, semakin lama semakin mengecil seterusnya lenyap apabila sampai masanya.

Pendapat ini disanggah pasukan tersebut kerana kiraan Hawking itu tidak mengambil kira sifat setiap unsur di dunia ini yang bersifat kuantum - dalam erti kata lain semua unsur yang disedut lohong hitam pasti akan wujud di dalam ruangan, tidak boleh lenyap begitu saja.

Kajian pasukan Haggard dan Rovelli mengandaikan sekiranya proses lohong hitam sudah sampai ke kemuncaknya di mana saiznya tidak lagi mampu dimampatkan ke satu bentuk yang lebih kecil - lohong hitam akan bertukar menjadi lohong putih.

Teori berkenaan lohong putih

gambaran white hole

Berdasarkan kepada teori graviti kuantum ulangan, Haggard dan Rovelli mengeluarkan beberapa cadangan dan teori baru. Teori graviti kuantum ulangan atau 'loop gravity quantum' merupakan teori di mana semua unsur yang ada dalam alam semesta ini mempunyai sifat yang senantiasa berulang-ulang walaupun berubah-ubah, tidak mungkin hilang begitu saja.

Secara hipotesisnya, perubahan lohong hitam ke lohong putih akan mengambil masa yang terlalu lama, hampir berbilion tahun lamanya jadi kita mungkin tidak akan sempat mengkaji lohong putih sekiranya pendapat ini ada kebenarannya.

Namun Haggard dan Rovelli berpendapat, kewujudan lohong-lohong hitam bersifat 'primordial' atau sudah wujud semasa masa sendiri bermula memberikan kita kemungkinan akan ada peringkat di mana kita mampu mengesan lohong putih.

Buat masa sekarang, semua perbincangan tentang teori lohong putih hanyalah teori semata-mata tetapi banyak pendapat yang diajukan, didorong daripada usaha untuk menjawab persoalan yang belum dapat dijawab berkenaan apa yang kita tahu tentang lohong hitam.

Jangan dilupakan, lohong hitam sendiri bermula hanya sebagai sebuah teori kerelatifan berdasarkan perkiraan Albert Einstein pada tahun 1916 sebelum kajian lebih mendalam dilakukan, berdasarkan idea tersebut. Rakan baik beliau, ahli fizik John Wheeler meneruskan kajian berdasarkan idea itu serta menjadi orang pertama memperkenalkan istilah 'black hole' pada masyarakat dunia pada tahun 1967.

Lohong hitam pertama ditemui pada tahun 1971 selepas penemuan bintang yang kita namakan sebagai Cygnus X-1, sebuah bintang mati yang didapati memancarkan radiasi pada tahap yang tidak pernah ditemui sebelum ini. Kita sendiri sudah mengetahui tiga pengekelasan lohong hitam - stellar, supermassive dan intermediate. Dr. Kevin Koay Jun Yi, seorang anak tempatan dari Pulau Pinang sendiri terlibat dalam pasukan penyelidik yang berjaya merakamkan gambar lohong hitam pertama dunia.

Lohong putih mungkin hanya sebuah teori sahaja buat masa sekarang, tetapi tak salah kalau kita nak katakan - segalanya mungkin berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)